ISLAM ialah cara hidup merangkumi segenap aspek dan ceruk kehidupan manusia di mana-mana sahaja dan pada masa bila-bila, berasaskan risalah atau misi dibawa Rasulullah SAW yang berpaksikan untuk mewujudkan suasana sejahtera, baik dan damai.
Segala suruhan dan tegahan serta penyelesaian ditawarkan Islam, mencerminkan aspek kesejahteraan, kebaikan dan kedamaian berkenaan. Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekian alam (rahmatan li al-‘alamin).” (Al-Anbiya’: 107)
Istilah rahmah seperti dicatat al-Jurjani - ulama besar awal abad ke-9 Hijrah yang mengarang al-Ta’rifat yang tersohor - merujuk kepada suatu keinginan menyampaikan kebaikan. Ini bermakna risalah Rasulullah SAW yang membawa rahmatan li al-‘alamin itu, suatu bentuk keinginan Allah SWT untuk memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada seluruh alam semesta terutama manusia yang semestinya terlaksana menerusi penghayatan yang tepat.
Justeru, ungkapan yang menjadi falsafah dan polisi pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini, mesti ditafsirkan secara tepat menurut tafsiran muktabar dalam kalangan ulama tersohor untuk mengelaknya daripada terseleweng.
Menurut mufassir, Ibnu Kathir dalam kitab tafsir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ayat itu perlu difahami dalam pengertian Allah SWT mengkhabarkan Dia menjadikan Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Sesiapa menerima rahmat dan bersyukur atas nikmat ini, dia akan bahagia di dunia dan akhirat, manakala orang menolak serta mengingkarinya, akan rugi di dunia dan akhirat.
Ulama tersohor abad ke-20, Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Tafsir al-Munir menjelaskan ‘bahawa Kami (Allah SWT) tidak mengutusmu wahai Muhammad dengan syariah, petunjuk dan hukum al-Quran kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam dalam kalangan manusia serta jin di dunia dan akhirat.
Kedua-dua tafsiran itu menghubungkan aspek rahmatan li al-‘alamin dengan syariat atau risalah dibawa Rasulullah SAW. Unsur rahmat akan hanya diperoleh apabila tidak diasingkan daripada syariat atau risalah Baginda, iaitu datang menerusi dan bersama pelaksanaan setepatnya isi kandungan risalah.
Rahmat tidak akan datang di luar daripada kerangka dan isi keseluruhan hukum-hakam serta suruhan dan larangan yang terkandung dalam Islam.
Satu aspek boleh diketengahkan dalam hubungan ini ialah wujud kaitan antara konsep rahmatan li al-‘alamin dengan akhlak Islam, khususnya apabila ditafsirkan keseluruhan ayat terbabit berasaskan hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.
Justeru, konsep itu bermakna menerusi penghayatan syariat secara keseluruhan dan sempurna akan melahirkan manusia berakhlak mulia yang akan menaburkan pelbagai bentuk kerahmatan, kebaikan serta kemakmuran alam.
Secara umumnya, Muslim sebagai penjana kesejahteraan dan kebaikan dalam kehidupan sudah terlihat. Muslim yang bertindak menghayati setepatnya akhlak mulia tuntutan Islam, pasti berupaya menaburkan pelbagai kebaikan dalam kehidupan harian di tengah-tengah masyarakat.
Bagaimanapun, untuk hal ini menjadi lebih jelas, wajar diperhatikan beberapa aspek tuntutan ajaran Islam supaya dihayati dalam kehidupan Muslim seperti terungkap dalam risalah Rasulullah SAW.
Ruang pertama perlu diberikan perhatian dalam proses pembinaan diri ialah institusi keluarga yang menjadi permulaan kehidupan sebagai manusia. Dalam Islam, institusi keluarga ialah komponen masyarakat yang amat penting. Ia bermula dengan perkahwinan diasaskan atas mawaddah wa rahmah (kasih sayang dan belas kasihan) yang sedia dicipta serta diterap Allah SWT dalam lelaki dan perempuan seperti tercatat dalam surah al-Rum, ayat 21.
Daripada perkahwinan, lazimnya akan lahir zuriat yang juga amanah yang mesti dipelihara sebaik mungkin serta diberikan pendidikan cukup dan terbaik mengikut kemampuan.
Sebagai timbal balik, anak-anak mesti mentaati ibu bapa dan menjaga mereka dengan baik apabila sudah tua. Suasana kehidupan sebegini dalam institusi keluarga, bersama dengan salutan pendidikan sempurna, berupaya melahirkan warga keluarga baik dan berakhlak mulia.
Warga keluarga yang baik dalam kehidupan seterusnya, perlu berinteraksi dengan pelbagai pihak dalam masyarakat. Kumpulan orang lain paling hampir ialah jiran tetangga. Islam menginstitusikan suatu konsep cukup baik dan teratur bagaimana pergaulan serta interaksi mesti berlangsung dalam kalangan jiran tetangga, termasuk bukan Muslim.
Seseorang manusia terdedah kepada lapangan hidup lebih luas membabitkan warga masyarakat pada peringkat nasional dan antarabangsa. Islam menyediakan peruntukan untuk dihayati Muslim yang terbabit dalam peringkat kehidupan.
Islam menginstitusikan konsep ukhuwah (persaudaraan) yang mengikat sesama Muslim atas dasar iman hingga tetap bersaudara walau di mana berada dan dituntut melaksanakan tugas persaudaraan.
Dalam konteks hubungan dengan bukan Muslim, syariat Islam menjelaskan hubungan baik dan toleransi boleh berlangsung asalkan tidak menceroboh umat Islam seperti firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang (bukan Muslim) yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
Dalam bentuk lebih universal, ajaran Islam menjelaskan kriteria manusia paling baik dan dicintai Allah SWT, iaitu golongan dijelaskan hadis: “Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat kepada manusia lain.” (HR al-Tabrani dan al-Daruqatni)
Jelas kriteria diambil kira Islam dalam menentukan ciri manusia terbaik dan amat dicintai Allah, merujuk sebanyak mana seseorang dapat menyumbangkan manfaat kepada orang lain dalam kehidupan ini. Ini bermakna Islam menggesa umatnya sentiasa berusaha secara berterusan memberi sumbangan terbaik yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia.
Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan kerja dan penjanaan yang boleh menyebabkan manusia lain terperangkap dalam kesukaran serta kesusahan, sekali gus tidak menjadi sumber dan punca kesukaran orang lain.
Perlu diperhatikan, perkataan ‘manusia’ sebagai penerima manfaat berbentuk umum dan tidak dikhususkan sama ada Muslim ataupun bukan.
Ini bermakna gesaan sesuatu bermanfaat yang menjadi indikator manusia Muslim terbaik dan dikasihi Allah SWT, bersifat sejagat yang golongan penerimanya tidak dibatasi oleh apa-apa bentuk sempadan biasa kemanusiaan seperti agama, bangsa dan warna kulit. Malah, ia merangkumi semua asalkan sahaja manusia dan meliputi pelbagai perkara dan perlakuan.
Di sinilah terpacak kukuhnya nilai terbaik Muslim yang berfungsi sebagai penjana dan peneraju kesejahteraan dalam kehidupan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sesungguhnya manusia Muslim mempunyai prasarana dan potensi cukup untuk muncul sebagai peneraju dalam kerja penjanaan kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Islam menyediakan trek laluan kukuh, munasabah dan praktikal untuk digunakan dalam proses pembinaan personaliti Muslim kuat dan tahan uji bagi melaksanakan tugas berat sebagai penjana kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Ini bermakna seandainya kalangan Muslim didapati tidak dapat melaksanakan tugas sebagai penjana kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, ia isyarat jelas tidak menyempurnakan tuntutan agama yang dianuti.
Justeru, Muslim perlu sedar dipertanggungjawabkan sebagai pembawa obor rahmatan li al-‘alamin yang perlu berfungsi sebagai penjana kesejahteraan hidup dunia. Hakikatnya orang Islam tiada pilihan selain terjun sepenuh masa mempersiapkan diri mengambil tanggungjawab berkenaan.
Persiapan diri merujuk kepada keperluan memperkukuhkan jati diri keislaman dalam kehidupan harian, terutama menyuburkan penghayatan nilai akhlak mulia. Bagaimanapun, semua ini bukanlah suatu perkara mudah dilaksanakan tetapi menjadi wajah jihad perlu didepani umat Islam semasa.
Penulis adalah Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Oleh Prof Datuk Zakaria Stapa
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/11/494790/sifat-bermanfaat-rahmah-muslim-tidak-mengira-sempadan
0 Komentar untuk " Sifat bermanfaat, rahmah Muslim tidak mengira sempadan "