Sebagai pengamal perbankan Islam, saya sudah mendengar ahli bank dan bukan perbankan berkongsi persepsi mereka mengenai apa itu Perbankan Islam.
Selepas mendengar pandangan berbeza ini, ia mengingatkan saya terhadap kisah ‘orang buta dan gajah’.
Kisah ini menceritakan sekumpulan lelaki ditutup mata mereka dan diminta menyentuh gajah serta menggambarkan apa yang mereka rasa.
Orang yang menyentuh belalai gajah menggambarkan haiwan itu sebagai tali, orang yang menyentuh kaki mengatakannya sepohon kayu. Masing-masing mempunyai gambaran berbeza, disebabkan setiap seorang daripada mereka hanya menyentuh bahagian khusus haiwan terbabit.
Begitulah juga, perbankan Islam sudah diasingkan mengikut pengalaman berbeza setiap orang mengenainya. Ada yang menggambarkannya sebagai ‘perbankan bebas faedah’ manakala yang lain menerangkannya sebagai suatu bentuk perbankan di mana hanya ‘struktur asas hendaklah patuh syariah’.
🔥Kewangan bersifat sejagat🔥
Semua ini elemen penting, namun ia tidak menggambarkan gagasan sebenarnya.
Jadi, di sebalik berdebat lagi mengenai apa itu perbankan Islam, mari tinjau ‘kaedah Islam dalam perbankan’, sesuatu yang melangkaui definisi dan menyentuh prinsip kewangan Islam.
Pertama, kita tidak boleh memikirkan perbankan Islam sekadar untuk orang Islam sahaja. Kewangan Islam adalah bersifat sejagat kerana ia mempromosikan ‘ekonomi sebenar’ dan diwujudkan menerusi sistem kewangan, masyarakat yang memiliki pengagihan kekayaan dan kemakmuran yang saksama.
Negara yang sudah mampu mencapai pertumbuhan lebih tinggi, kadar pengangguran rendah, lebih banyak pelaburan, dengan pengagihan saksama kekayaan, pastinya sudah mencapai satu daripada matlamat kewangan Islam.
Fikirkan melangkaui sekadar struktur dan produk. Pengamal perbankan Islam menggunakan pelbagai struktur seperti musharakah (perkongsian) dan murabaha (berasaskan berdagang atas kos dicampur keuntungan) bertujuan mengelakkan ‘faedah’ yang tidak dibenarkan di dalam Islam.
Mari berhenti sejenak untuk memahami kenapa faedah dilarang. Mengikut prinsip Islam, wang bukan suatu ‘komoditi’, tetapi hanya ‘perantara untuk pertukaran’. Oleh kerana ia hanya perantara pertukaran, wang tidak boleh dijual pada harga lebih tinggi daripada nilai asasnya atau disewa.
🔥Keuntungan diraih menerusi ‘aktiviti ekonomi sebenar’🔥
Keuntungan seharusnya diraih menerusi ‘aktiviti ekonomi sebenar’ seperti berdagang, meraih fi daripada penyediaan perkhidmatan dan sebagainya, maka menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran yang lebih besar.
Oleh itu, dengan menggunakan struktur ini bagi mengelakkan faedah, apakah transaksi atau produk itu benar-benar menjadi patuh syariah? Ada yang berkata ya, tetapi ini akan mirip kepada memberi definisi perbankan Islam sebagai perbankan bebas faedah semata-mata, iaitu definisi yang sangat sempit.
Kaedah Islam dalam perbankan termaktub kepada memberi penekanan saksama kepada aspek perniagaan lain seperti ketelusan, pendedahan sepenuhnya kerosakan, eksploitasi sifar dan layanan adil kepada pelanggan.
Malah, memberi layanan adil terhadap penghutang yang tidak mampu membayar balik disebabkan alasan sahih seperti kehilangan kerja atau bencana kewangan.
Kita perlu memberi pertimbangan di dalam kes seumpamanya dan mengemukakan aturan dengan pelanggan berdasarkan alasan kemanusiaan sehingga pelanggan boleh membayar semula.
Jadi, sehinggalah atau bila kita mematuhi prinsip ini, kita bukan mematuhi kaedah Islam dalam perbankan. Ini adalah makna perbankan Islam yang lebih luas, bukan hanya sekadar struktur produk.
🔥Membezakan perbankan Islam🔥
Perbankan Islam hari ini berada di persimpangan jalan. Walaupun ia sudah muncul dengan produk yang patuh syariah, sumbangannya kepada masyarakat atau `ekonomi sebenar’ adalah hampir sama dengan perbankan konvensional.
Oleh itu, jika kaedah Islam, perbankan seharusnya menjadi lebih telus dan bertimbang rasa terhadap penghutang, maka ia seharusnya menawarkan pengalaman lebih mesra kepada pelanggan?
Barisan produk patuh syariah yang kita ada hari ini telah dibangunkan sejak 15 hingga 20 tahun lalu. Dalam usahanya mengejar perbankan konvensional, pembangun produk Islam `mereplikakan’ produk konvensional.
Hasilnya, dua produk yang mempunyai struktur asas berbeza, tetapi sama sahaja pengalaman kepada pelanggan.
Ketika perlumbaan pembangunan produk dengan produk konvensional kini hampir tamat, bank-bank Islam perlu membezakan diri mereka dari segi pengalaman pelanggan dan kembali kepada tujuan asal kaedah Islam dalam perbankan.
Semua pemegang saham, termasuk penggubal undang-undang mempunyai peranan untuk mewujudkan perubahan set minda.
Wajar diadakan usaha bersama bagi membangunkan model kewangan yang menjana ‘aktiviti ekonomi sebenar’ dengan mencipta model penyertaan pelaburan di dalam usaha sama perniagaan yang berdaya maju, melindungi hak pelabur dan pendeposit serta menyediakan peluang kepada usahawan dan perniagaan kecil untuk mempunyai akses kepada dana modal.
Inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai atau ‘Value Based Intermediation’ Bank Negara Malaysia adalah langkah yang menggalakkan dalam melangkah ke arah ini.
Ia bermatlamat untuk melakukan perbankan melangkaui keuntungan dan menumpukan kepada aktiviti yang mencipta impak positif ke atas ekonomi, masyarakat dan planet ini.
Kita perlu melaksanakan pendekatan yang lebih holistik terhadap perbankan Islam dengan memfokus kepada tujuan asalnya dan mencipta pengalaman pelanggan yang berbeza.
Hanya selepas itu, kita akan mampu menghargai nilai kesejagatan sistem kewangan yang bertujuan mencipta kemakmuran ekonomi sebenar dengan pengagihan kekayaan yang saksama.
Jadi, lagi sekali anda mendengar sesiapa menyebut mengenai perbankan Islam sebagai perbankan bebas faedah, fikirkanlah kisah ‘Orang Buta dan Gajah’!
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/11/503690/perbankan-islam-bukan-sekadar-produk
0 Komentar untuk " Perbankan Islam bukan sekadar produk "