'Jangan semberono hukumkan sesat, bidaah dholalah' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

'Jangan semberono hukumkan sesat, bidaah dholalah'


Khilafiah atau perselisihan pendapat dalam hukum agama berlaku disebabkan percanggahan pandangan dalam kalangan mujtahid. Ia kebiasaannya merujuk kepada perkara yang tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan sunnah, lalu memerlukan ijtihad ulama mengenainya.

Malangnya khilaf yang berlaku dalam cabang agama selalu dilemparkan dengan pelbagai tuduhan secara semberono antaranya dituduh sebagai amalan sesat atau bidaah dhalalah.

Umat Islam sewajarnya diberi pemahaman bahawa bidaah dhalalah dan amalan yang bersifat khilafiah adalah dua perkara yang berbeza.

Khilaf tidak akan membawa kepada kesesatan, sebaliknya kita perlu lebih peka kepada sesetengah amalan bidaah yang bertentangan dengan hukum Allah SWT.

Pendakwah bebas, Muhadir Joll berkata, bidaah dhalalah dianggap sesat kerana amalan yang dilakukan tidak bersandar kepada dasar atau dalil daripada syarak dan sekiranya wujud dalil yang kuat atau qath’i tetapi hanya mempunyai satu makna ia tidak boleh diijtihadkan.

“Bagaimanapun dalam konteks perkara khilafiah, ia ada dalil syarak sama ada dalil yang berbentuk khusus ataupun umum. Perkara khilafiah juga membabitkan dalil yang tidak jelas atau zhanni yang mempunyai beberapa makna dan memungkinkannya untuk diijtihadkan oleh ulama.

“Malah melakukan amalan disebabkan wujudnya khilafiah ini tidak berdosa tetapi mendapat pahala jika melakukan amalan tertentu. Ulama juga bersepakat bahawa melakukan amalan bidaah dhalalah ini berdosa dan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan kitab tulisannya, Bingkisan Buat Umat dalam Program Penghayatan Thurath Islami Sempena Sambutan Maal Hijrah 1440H di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

🔥Jangan cipta bidaah🔥

Dalam membahaskan perkara atau amalan yang dianggap bidaah dholalah, Muhadir berkata, ancaman daripada syarak terhadap orang yang melakukannya sangat berat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mencipta (mengadakan) sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini, yang bukan daripadanya, maka ia ditolak.” (HR Bukhari)

Malah dalam membahaskan pembahagian bidaah ini, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenainya. Namun Muhadir berkata, sebagai umat yang berpegang kepada manhaj Imam Syafie perlu menerima pendapat yang dikeluarkan ulama besar terbabit.

Imam Syafie membahagikan bidaah kepada dua jenis, iaitu bidaah dipuji dan bidaah dikeji, iaitu apa yang selari dengan sunnah, maka ia dipuji, manakala perkara yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji.

Malah ramai ulama yang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Imam Syafie seperti Imam Ibnu Abd al-Barr dalam kitabnya, al-Istizkar; Imam Ghazali (Ihya’ ‘Ulum ad-Din) dan Imam Nawawi (Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat).

Bidaah hasanah ialah perkara atau amalan baharu yang tidak ada contoh daripada Nabi Muhammad SAW tetapi ia mempunyai dalil yang umum atau tidak bertentangan dengan syarak, manakala bidaah dhalalah pula ialah perkara atau amalan baharu yang tidak ada contoh daripada Baginda serta tidak mempunyai dalil yang umum atau bertentangan dengan syarak.

🔥Pahala amalan sunnah🔥

Muhadir berkata, walaupun ada golongan yang menolak pendapat mengenai ada bidaah hasanah, ada dalil yang menyebut mengenainya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengadakan dalam Islam sunnah yang baik lalu diamalkan orang kemudian sunnahnya, diberikan kepada-Nya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan barang siapa membuat sunnah yang buruk, kemudian sunnah itu menjadi teladan, maka ia akan mendapatkan dosa dari perbuatannya secara sempurna berserta dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” (HR Ibnu Majah)

Menjelaskan hadis itu, Muhadir berkata, ia menunjukkan Rasulullah SAW membenarkan untuk mengadakan, membuat dan mewujudkan sunnah baik asalkan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

“Dalam konteks ini mengadakan bidaah hasanah adalah suatu galakan daripada Rasulullah SAW dan mendapat pahala, manakala mengadakan amalan bidaah dhalalah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah adalah dilarang,” katanya.

🔥At-Tark tidak menatijahkan hukum🔥

Muhadir berkata, dalam membahaskan mengenai bidaah juga tidak boleh lari daripada perbahasan mengenai at-tark (apa-apa yang tidak dibuat oleh Nabi SAW). Ini kerana at-tark menjadi alasan untuk mengatakan sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh Baginda sebagai bidaah.

Berdasar kaedah fiqh itu, tegas beliau, at-tark tidak menatijahkan hukum makruh atau haram, iaitu sesuatu amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW tidak semestinya haram atau tidak boleh dilakukan.

“Hakikatnya ramai Sahabat RA yang melakukan perkara dan amalan yang tidak pernah dibuat serta diajar oleh Rasulullah SAW atau tidak disuruh oleh Baginda kerana memahami bahawa ia tidak haram dilakukan. Antaranya Nabi SAW tidak makan daging dhab kerana tidak biasa memakannya, namun bukan bermakna daging dhab itu haram.

“Malah ada riwayat yang jelas menunjukkan Rasulullah SAW membolehkan inisiatif baharu yang berkaitan dengan doa dan bacaan termasuk dalam ibadat seperti solat walaupun tidak diajar dan diamalkan oleh Baginda selagi tidak keluar dari batasan syariat.

“Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Sahabat RA dan ulama tersohor seperti Imam Syafie serta Imam Ahmad yang terkenal dengan keluasan ilmu dan kefahaman agama melakukan perkara dan perbuatan yang tidak pernah dilakukan Baginda. Hal itu menunjukkan bukti jelas bahawa melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dibolehkan dan bukannya bidaah dhalalah,” katanya.

🔥Jangan cepat menghukum🔥

Justeru, Muhadir menasihatkan masyarakat agar tidak disempitkan dengan perbezaan pendapat yang wujud dalam mazhab kerana perbezaan pemahaman dan istinbat adalah lumrah dan tabii bagi akal manusia, sebaliknya umat Islam harus berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan.

“Ia sebagai bukti betapa ilmu fiqh ini berkembang dengan subur dan pemikiran fuqaha yang luas dalam melaksanakan kewajipan mereka serta memberi khidmat kepada syariat Islam. Malah kita wajib untuk menghargai usaha yang dicurahkan oleh ulama mujtahidin pelbagai mazhab ini,” katanya.

Namun pada masa sama, tegas Muhadir, seseorang itu tidak harus memaksa orang lain untuk menerima pandangannya dalam masalah khilafiah.

“Kita tidak perlu menentang amalan khilafiah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang dianuti, sebaliknya hendaklah menentang amalan yang bercanggah dengan hukum yang disepakati oleh ulama.

“Malah kita mesti beradab dengan ulama yang berbeza pandangan dan tidak melemparkan tuduhan bidaah dhalalah di atas amalan khilafiah.

“Selain itu, jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat sebagai sesat, pembuat bidaah atau khurafat sebaliknya menghormati hujah dan alasan yang diberikan,” katanya.

🔥Tolak pandangan sempit🔥

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, berkata perkara khilafiah yang wujud disebabkan perbezaan pandangan dalam mazhab perlu diperbetulkan.

Engku Ahmad Fadzil berkata, golongan yang berpendapat mazhab tidak diperlukan sebaliknya cukup dengan pegangan al-Quran dan Sunnah, dianggap sebagai pandangan yang sempit dan dangkal.

“Mereka kurang jelas dalam kaedah memahami interaksi dengan al-Quran dan Sunnah. Ini kerana dalam memahami ayat yang kurang jelas memerlukan penjelasan lanjut yang memerlukan ulama untuk memberi pandangan.

“Jika wujud kefahaman sama, ulama akan bersepakat atau ijmak tetapi jika wujud pandangan yang berbeza, di situ wujudnya mazhab,” katanya.

Engku Ahmad Fadzil berkata, pandangan yang menyatakan, pada zaman Rasulullah SAW tidak mempunyai mazhab juga adalah pandangan yang sempit.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menjadi tempat rujukan bagi sahabat, jadi sebarang kekeliruan yang timbul, sahabat boleh terus bertanyakan kepada Baginda.

Pada masa sama, Engku Ahmad Fadzil berkata, Baginda juga meraikan pendapat dan pandangan yang diutarakan oleh Sahabat RA.

“Ketika dua Sahabat RA bermusafir, mereka tidak mempunyai air untuk berwuduk, lalu bertayamum. Namun tidak ada dalil yang jelas bahawa perlu diulang solat sekiranya berjumpa dengan air. Lalu kedua-duanya berijtihad, iaitu seorang kata perlu ulangi solat dan seorang lagi berkata tidak perlu mengulangi solat.

“Namun sikap Nabi SAW tidak melemparkan bidaah sebaliknya bagi individu yang mengulangi solat Baginda bersabda bahawa mereka diberikan dua pahala, sekali gus jelas menunjukkan Baginda meraikan pendapat yang berbeza.

“Kefahaman yang Rasulullah SAW cuba tonjolkan ialah Baginda mengiktiraf mazhab. Walaupun wujud pandangan berbeza dalam memahami dalil, Baginda tidak marah kepada sahabat yang berijtihad,” katanya.

Engku Ahmad Fadzil berkata, pandangan yang menyatakan perpecahan berlaku dalam umat Islam disebabkan oleh perbezaan mazhab dan hanya al-Quran dan Sunnah yang boleh menjadi ejen penyatuan juga adalah pendapat yang sempit.

“Orang ini berada dalam dunia khayalan dan tidak berada dalam dunia realiti. Jika diperhatikan, sejak zaman selepas kewafatan Rasulullah SAW, perpecahan wujud disebabkan oleh politik.

“Saidina Usman RA dijatuhkan kerana difitnah kerana kononnya mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pemerintahannya. Begitu juga pertikaian yang membabitkan Saidina Ali RA dan Muawiyah RA juga berlaku disebabkan politik,” katanya.

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/09/473428/jangan-semberono-hukumkan-sesat-bidaah-dholalah
0 Komentar untuk " 'Jangan semberono hukumkan sesat, bidaah dholalah' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ