KENYATAAN supremo DAP, Lim Guan Eng, bahawa kerjasama UMNO dan Pas satu “pengisytiharan perang” terhadap bukan Melayu bukanlah mengejutkan sangat. Kebanyakan orang yang “celik politik” mengetahui ideologi dan identifikasi politik DAP boleh memahami kebimbangan ini. DAP tidak senang dengan keadaan politik Malaysia yang memberi ruang dan keistimewaan kepada Bumiputera dan Islam.
Sepanjang masa DAP mengaut laba politik melalui perpecahan orang Melayu. Pada 1969 DAP menang banyak kerusi sehingga mencetuskan Periswa 13 Mei. Mereka menang kerana perpecahan orang Melayu. Orang Melayu berpecah kepada kumpulan nasionalisme (Tunku Abdul Rahman), ultra-Melayu (Dr Mahathir Mohamad) dan konservatif Islam (Pas).
Peristiwa 13 Mei 1969 dan penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1970 memberi kesan cukup besar kepada DAP. Mereka dilihat sebuah parti cauvinis anti-Bumiputera dan Islam. DAP dilihat parti sosialis berkiblatkan Singapura. DAP terpaksa menunggu bertahun sebelum memulihkan imej mereka.
Kesempatan ini muncul apabila UMNO sekali lagi berpecah pada 1988. DAP mengambil kesempatan memulihkan imej mereka dalam kalangan orang Melayu melalui kerjasama dengan Tengku Razaliegh Hamzah. Perpecahan UMNO pada 1998 sekali lagi membantu DAP menghakiskan stigma sebagai parti cauvinis Cina yang mengancam kedudukan dan kepentingan Melayu-Islam.
Karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja berjaya menaikkan imej DAP dalam kalangan masyarakat bukan Cina, malah menyatukan DAP dan Pas buat kali pertama secara langsung. Pada 2008, gabungan DAP-Pas-PKR dalam Pakatan Rakyat membolehkan parti tersebut menguasai Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Apabila sekutu kuat DAP, Mohamad Sabu kalah teruk dalam pemilihan Timbalan Presiden Pas pada 2015, DAP sedar arus dalaman parti tersebut sudah menolak mereka. Lalu DAP membantu Mohamad Sabu menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai serpihan Pas.
Peluang DAP lebih terbuka apabila UMNO turut berpecah. Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Daim Zainuddin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Selebihnya adalah sejarah apabila DAP muncul antara parti yang memenangi banyak kerusi dan menguasai Pakatan Harapan.
Justeru tidak hairanlah mengapa DAP begitu takut dengan kerjasama UMNO-Pas. Sejarah menunjukkan kedua parti Muslim terbesar negara ini tidak pernah menindas, menghalang atau menganaktirikan rakyat bukan Bumiputera. Patung Buddha terbesar dibina di Kelantan ketika pemerintahan Pas. Kuil Hindu terbesar terpelihara elok di bawah kerajaan BN pimpinan UMNO di Selangor.
Sejarah sejak sebelum merdeka juga membuktikan ada apa yang perlu dibimbangkan oleh masyarakat Cina dan India dalam kerjasama ini. Pas adalah sebahagian UMNO ketika bersama menentang Malayan Union dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Ketika itu ada hak, kepenngan dan perniagaan orang bukan Melayu diancam. Penyatuan umat Islam Tanah Melayu suatu masa dahulu bukan sahaja telah berjaya memerdekakan negara ini, malah telah menjamin kerakyatan masyarakat imigran, hak mengamalkan budaya, bahasa dan agama masing-masing.
Hanya sebelum kemerdekaan sebahagian ulama dalam UMNO keluar menubuhkan Pas. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Pas bekerjasama dengan UMNO melalui penubuhan Barisan Nasional. Antara 1970-1978 tidak ada sebarang bukti menunjukkan kerjasama dua parti terbesar ini telah menyebabkan hak dan kepentingan masyarakat Cina dan India telah terhakis.
Hak mereka terus dipelihara dan disuburkan melalui kerjasama dengan MCA dan MIC. Malah masyarakat Cina telah mengaut kekayaan negara dari hutan balak di Kelantan, perniagaan besar di Lembah Klang sehingga ke Tanah Tinggi Genting dan Cameron tanpa sebarang ancaman dan sekatan.
DAP sendiri pernah bekerjasama dengan Pas. Ini menunjukkan Pas bukan ancaman kepada orang bukan Islam. Malah Pas sendiri selama ini mempunyai Kelab Penyokong Pas yang dianggotai oleh bukan Islam. Majoriti orang Melayu hanya anti-DAP dan bimbang dengan ideologi dan pemimpin parti tersebut; bukannya terhadap masyarakat Cina atau India keseluruhannya.
Malangnya, pola pengundian kaum Cina dan India dalam PRU dan PRK sejak kebelakangan ini juga tidak membantu mengurangkan kebimbangan orang Melayu. Seolah-olah ada dokongan dan sokongan keterlaluan terhadap DAP di kalangan bukan Bumi untuk mencabar status quo Bumiputera dan agama Islam di negara ini. Ia terserah kepada masyarakat bukan Melayu untuk menghantar isyarat yang bagaimana kepada majori muslim di negara ini dalam PRK-PRK mendatang.
* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
0 Komentar untuk " Bila DAP anggap “perang” "