PADA 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan Putrajaya membuat penghakiman bersejarah apabila memutuskan individu yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah usia kepada Islam.
Panel lima hakim disidangi Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak guru TADIKA, M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang juga seorang mualaf.
Susulan keputusan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sedar bahawa dalam kes berkenaan, Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa semula jadinya (inherent power) untuk melakukan judicial review bagi menentukan sah (legality) Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan Pendaftar Muallaf Jabatan Agama Islam Perak di bawah Majlis Agama Islam Negeri Perak.
Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa perakuan itu tidak sah atau batal di sisi undang-undang lantaran 'anak-anak terbabit' tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004.
🔥Tiada kuasa membuat semakan🔥
PGSM berpandangan bahawa apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah disebabkan Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan dibuat oleh mana-mana jawatankuasa atau institusi di bawah majlis agama.
Disebabkan itu, apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan dibawa ke Mahkamah Sivil.
Maka, di situlah berlakulah campur tangan Mahkamah Sivil terhadap perkara yang sepatutnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
Oleh itu, PGSM menggesa dan mencadangkan semua kerajaan negeri agar meminda enakmen pentadbiran agama Islam negeri masing-masing.
Pindaan itu adalah dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan dibuat oleh majlis agama atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi majlis agama mengikut enakmen berkenaan.
Pindaan sedemikian telah dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mei 2015, dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015), iaitu Seksyen 66A mengenai bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah bagi semakan kehakiman.
🔥Perkemas enakmen syariah🔥
Ia menyebut, Mahkamah Tinggi Syariah boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh majlis agama atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah enakmen itu.
Keputusan mengejutkan Mahkamah Persekutuan sepatutnya menjadi wake-up call kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk segera memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing.
Langkah berkenaan agar dapat melindungi kepentingan orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam.
Oleh Musa Awang
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/02/384652/perkemas-enakmen-islam-negeri
0 Komentar untuk " Perkemas enakmen Islam negeri "