Idea mengenai kebebasan sering mendapat tempat dalam perbincangan orang awam dan masyarakat berdasarkan interpretasi masing-masing. Ikuti perbincangan Kebebasan Dalam Beragama menerusi rancangan Suluh Budi, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran terhadap baik buruknya idea kebebasan mutlak
Mutakhir ini, dunia sering berbicara mengenai kebebasan. Namun sekiranya ditanya definisi kebebasan, setiap individu akan memberikan makna kebebasan mengikut intepretasi masing-masing. Prof Adler Mortimer melalui bukunya The Idea of Freedom yang mengkaji pandangan ahli falsafah dan pemikir besar dahulu hingga kini, pada akhir tulisannnya memberi kesimpulan nilai kebebasan tidak ada bersifat mutlak kerana kehidupan ini dibataskan pelbagai konteks dan lingkungannya.
Tokoh Islam masa kini Sheikh Hamza Yusuf juga pernah menyebut idea yang mengkehendaki kebebasan mutlak sejak akhir-akhir ini yang bermula dari Barat ialah idea baharu dalam sejarah kemanusiaan yang juga sebenarnya satu aliran ekstrim atau pelampau.
Secara asasnya setiap aspek dalam kehidupan mempunyai batas dan sempadan. Bermula dari rumah dengan kita meletakkan batasan membabitkan ruang antara anak-anak dan ibu bapa, sempadan juga dibuat antara jiran tetangga serta di tempat kerja dan tempat atau perkara lain baik dari sudut batasan fizikal, ruang, adab dan perbuatan.
Dalam Islam, masyarakatnya ditegakkan di atas asas kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Namun kebebasan bukan sahaja melihat kepada kepentingan adanya batasan dalam perbuatan dan amalan terhadap diri dan orang lain, bahkan batasan perlu ada dalam pemikiran. Memahami perkara yang membataskan dan sebaliknya penting dalam Islam kerana kebebasan pemikiran ini juga jika tidak dikawal dengan ilmu, akan membawa kepada penyelewengan ideologi yang akhirnya menatijahkan kesan negatif kepada masyarakat dan umat Islam khususnya.
🔥Cara bermuamalah dengan orang kafir🔥
Membincangkan Kebebasan Dalam Beragama menerusi rancangan Suluh Budi, Pengarah Pusat SYARAK IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata Islam menurut sumber utamanya, iaitu al-Quran menyebut firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 256)
Ayat ini menjelaskan dalam Islam, tidak ada paksaan dalam beragama kerana melalui al-Quran, Allah SWT menjelaskan yang mana petunjuk dan yang mana kesesatan. Sunnah Rasulullah SAW juga mengajar cara bermuamalah dengan orang kafir, iaitu melalui dakwah Islamiah dan hujah yang baik.
Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap mereka untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama yang membawa kesejahteraan kepada manusia.
Walaupun begitu, kebebasan menerusi hukum dan aturan turut diletakkan ke atas Muslim yang bertujuan mencegah mereka daripada perbuatan menyimpang dari agama. Ini menunjukkan Islam tidak membiarkan begitu saja orang yang sudah memeluk agama suci ini dengan kehendak dan kemahuannya sendiri tanpa panduan benar.
Justeru, adalah wajar pengikutnya untuk mematuhi setiap perintah dan larangan yang ditentukan oleh al-Quran dan hadis. Antaranya perintah mendirikan solat, puasa, zakat dan haji serta melarang mereka daripada meminum minuman keras, judi, zina dan mencuri serta keburukan lain. Bahkan Islam meletakkan menghukum orang yang melanggar perintah Allah dengan hukuman bersesuaian dengan tingkat pelanggarannya juga adalah bagi memelihara keamanan dan kebebasan kemanusiaan.
Jelaslah aturan dan batasan yang ditetapkan itu adalah untuk kepentingan manusia sendiri. Dengan kebebasan terbatas itulah kebahagiaan dunia dan akhirat setiap individu dan masyarakat akan terpelihara.
Oleh Mazlina Ismail
Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIM.fm
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/05/423062/batasan-kebebasan-pastikan-bahagia
0 Komentar untuk " Batasan kebebasan pastikan bahagia "