Bahaya ideologi radikal, takfir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahaya ideologi radikal, takfir


PASCA serangan 11 September 2001 menggemparkan dunia apabila gerakan Islam dikaitkan dengan ideologi radikal yang mengakibatkan keganasan dan kemusnahan. Serangan balas dan tekanan dilakukan oleh Barat terhadap dunia Islam kononnya mereka menganggap diri sebagai polis dunia untuk mempertahankan keamanan sejagat.

Kenyataan Islam agama radikal jelas bertentangan dengan matlamat ia diturunkan, iaitu sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam, selain hakikat sebenar tindakan radikal agama turut wujud di dalam agama lain.

Namun apa jelas, tindakan ekstrim golongan pengganas itu merosakkan imej agama, sekali gus seolah-olah membenarkan tuduhan oleh Barat.

Pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff, berkata ideologi radikal mula terbentuk berikutan permasalahan semasa umat Islam pada ketika itu dan berkembang menjadi lebih serius serta diterjemahkan dengan tindakan ekstrim di akhir fasa gerakan kebangkitan Islam.

Katanya, evolusi radikal Islam melalui tempoh yang panjang dengan desakan permasalahan umat semasa dan menjadi lebih signifikan kerana situasi global hari ini yang kompleks.

"Kemunduran umat Islam berlaku di seluruh dunia sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniyah dan situasi menjadi lebih kritikal berikutan penindasan serta serangan sekularisme yang hebat khususnya di wilayah yang direbut oleh Eropah seperti Turki, Mesir dan India pada ketika itu.

"Dengan kepincangan ilmu, kejahilan dan perpecahan yang melanda, umat Islam dibelenggu pelbagai salah faham agama. Tekanan dan kegelapan dunia Islam membawa kepada kelahiran beberapa gerakan yang bangkit memperjuangkan islah dan tajdid," katanya pada Seminar Ekstrimis Takfiri dan Kewujudan Perpecahan dalam Dunia Islam di Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Kamaruzaman berkata, bermula abad ke-18, muncul beberapa gerakan Islam yang mewarnai pendekatan keras dalam menyampaikan dakwah Islam.

Katanya, beberapa fasa perkembangan ideologi radikal yang dibawa oleh gerakan Islam ini mula dikenal pasti iaitu ideologi Wahabi di Semenanjung Tanah Arab yang dibawa oleh Muhammad Ibnu Abdul Wahab, ideologi Sayyid Qutb ketika bersama gerakan Ikhwanul Muslimin dan ideologi radikal global yang bermatlamatkan penubuhan Khilafah Islamiah bagi mengembalikan kekuatan kerajaan Islam selepas kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniyah.

Beliau berkata, ideologi radikal global muncul seiring zaman globalisasi dan merujuk kepada dua kelompok besar, iaitu salafi jihadi dan salafi takfiri.

"Istilah Salafi Jihadi melambangkan pengaruh fahaman salafiyah yang dibawa oleh Ibnu Taimiyah dan gerakan ideologi Wahabi dengan konsep jihad qital (perang) yang ditekankan oleh Sayyid Qutb.

"Kedua-dua konsep ini digabungkan dan diadaptasi mengikut kesesuaian perjuangan gerakan radikal oleh Abdus Salam Faraj. Selain itu, ideologi ini turut memegang konsep al wala' wal barra' atas asas kalimah Allah SWT dengan memberi janji setia kepada Allah dan menjauhi sebarang kepercayaan serta amalan yang berlawanan dengan syariat-Nya.

"Mereka percaya konsep ini membantu mereka mengenalpasti musuh Islam sama ada umat Islam sendiri atau orang kafir. Ini membolehkan mereka melaksanakan jihad qital dan memansuhkan semua ajaran jihad lain dalam Islam," katanya.

Kamaruzaman berkata, Salafi Takfiri ialah kelompok dari pengamal ideologi Salafi Jihadi tetapi menggabungkannya dengan elemen takfiri yang diperkenalkan semula oleh Abu Muhammad al-Maqdisi.

Kelompok ini mengkafirkan golongan yang tidak sealiran dengannya dengan ideologi ini dipopularkan oleh gerakan Daesh yang diasaskan oleh Abu Mus'ab al-Zarqawi, gerakan serpihan dari al-Qaeda di Iraq dan memperjuangkan penubuhan negara Islam berkhalifah di Iraq dan Syria.

"Daesh banyak merujuk kepada ajaran Sayyid Qutb dan seperti penganut ideologi salafi Jihadi lain. Mereka mempercayai ciri ideologi salafiyah, tauhid hakimiyah, pegangan konsep al wala' wal bara', jihad qital dan matlamat akhir perpindahan dari negara kafir atau darul harb ke negara Islam atau darul Islam.

"Kesemua konsep ini disesuaikan dengan matlamat perjuangan gerakan, situasi semasa dan komplikasi pengikut dan jaringannya hingga menjadikan ia sangat ekstrim dan digeruni oleh masyarakat dunia termasuk Barat dan orang Islam sendiri.

"Berikutan semangat juang tinggi namun ketiadaan ilmu yang cukup dan benar, desakan serta pengaruh sekeliling yang mempengaruhi, ideologi ini menjadi ancaman paling radikal dewasa ini," katanya.

Tambah Kamaruzaman, konsep takfiri juga menyamai konsep perjuangan oleh puak Khawarij, iaitu kelompok pada abad pertama hijrah yang mengkafirkan golongan yang tidak sealiran dengannya.

Ideologi Salafi Takfiri ini memerangi bukan saja di kalangan orang kafir malah juga umat Islam yang bersekutu dengan kerajaan kafir. Justeru, mereka dilabel sebagai Neo-Khawarij atau Khawarij Baharu.

"Ciri-ciri Khawarij seperti kepatuhan yang tinggi terhadap agama, keberanian luar biasa, suka mencela dan bersifat tertutup adalah antara ideologi yang wujud walaupun terdapat beberapa pandangan lain yang mengatakan tidak semua gerakan radikal adalah kumpulan Neo-Khawarij.

"Selain itu, fahaman ini juga memberi hanya dua pilihan kepada dunia, iaitu sama ada bersetuju dengan perjuangan mereka atau dikira sebagai kafir.

"Konsep dua pilihan yang diperkenalkan oleh Sayyid Qutb ini menyebabkan Daesh memberi pilihan kepada pengikutnya sama ada umat Islam berhijrah ke darul Islam di Syria dan Iraq atau kekal bersama darul harb dan bakal diperangi," katanya.

Selain itu, Kamaruzaman berkata, keengganan negara Islam melaksanakan tuntutan al-Quran dan Sunnah sebaliknya melakukan pilihan raya serta sistem buatan manusia seperti demokrasi dan nasionalisme dikira membatalkan akidah, manakala pelakunya dihukum sebagai murtad dan perlu diperangi menerusi jihad.

"Justeru, jihad dianggap sebagai penyelesaian terbaik dan ia dilaksanakan dalam bentuk serangan pengebom berani mati, persendirian (lonewolf), propaganda ataupun jihad qital.

"Namun hakikatnya, serangan terhadap golongan yang dikategorikan 'kafir' ini tidak mengira agama, jantina mahupun usia. Apa yang penting bagi mereka adalah merealisasikan hasrat penubuhan negara Islam yang mereka perjuangkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Shamsudin, berkata gejala menjatuhkan hukum kafir dan fasik kelihatan semakin bercambah di kalangan umat Islam.

Katanya, trend itu lumrahnya menjadi amalan sesetengah puak kumpulan jihad dan dakwah di seluruh dunia Islam.

"Ia berkembang cepat sekali untuk menyebarkan permusuhan dan kebencian di antara anak bangsa. Tindakan ini bertanggungjawab dalam penyebaran jenayah pembunuhan dengan anggapan kumpulan yang mengikut doktrin tertentu menjadi kafir kerana mereka berurusan dengan Yahudi atau mana-mana hujah lain dengan alasan yang rapuh," katanya.

Abdul Ghani berkata, wujudnya golongan yang mentakfir individu atau golongan yang tidak sealiran juga disebabkan sikap jahil serta kekurangan ilmu pengetahuan dan jauh dari mendapat bimbingan sumber ilmu yang betul dari ulama dan ilmuwan yang betul.

Disebabkan mengikut hawa nafsu, cita rasa peribadi dan kepartian, beliau berkata, golongan itu dengan mudah mengkafirkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka di samping menyelar dan menjatuhkan nama baik lawan dengan menghukum orang berkenaan sebagai kafir tanpa tabayyun berlandaskan ilmu.

"Selain itu, sikap setengah ulama yang menganggap mudah perkara itu serta kecuaian mereka menjelaskan kebatilan golongan ini dan kelemahan dalam menyampaikan ajaran Islam dalam konteks ini.

"Pada masa sama, terdapat usaha menyingkir dan melenyapkan suara ulama yang lantang serta menggantikan mereka dengan pendakwah yang hadir sekadar untuk memeriahkan ruang media.

"Terdapat juga di kalangan pemuda yang ghairah berdakwah tetapi kelemahan pendidikan dan kedangkalan pengetahuan mengenai fiqh, usul fiqh, dan kaedah fiqh," katanya.

Abdul Ghani berkata, fenomena takfir membayangkan umat Islam dalam pelbagai lapisan masyarakat masih ramai yang jahil dan kurang menguasai ilmu akidah, syariah dan moral Islam.

Beliau berkata, golongan itu tidak dapat membezakan antara akidah dan ijtihad siasiyah (politik).

"Ada di antara golongan ekstrim mengeluarkan fatwa harta awam di bawah pemerintah halal dirampas atas hujah pemerintah negara sebagai kafir. Malah mereka cenderung mentakfir, menghalalkan darah orang yang dianggap atau dihukum kafir.

"Perkara ini juga dieksploit oleh kumpulan tertentu dari bukan Islam yang memburukkan nama Islam dan menyifatkan Islam sebagai agama terorisme dan pembunuh. Mereka menyandarkan tuduhan itu kepada realiti buruk yang dihadapi oleh umat Islam kini dan masyarakat minoriti bukan Islam yang tinggal bersama mereka," katanya.

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/08/457307/bahaya-ideologi-radikal-takfir
0 Komentar untuk " Bahaya ideologi radikal, takfir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ