SILATURAHIM ialah amalan dianjurkan Islam dan wajib dilaksanakan oleh orang beriman kerana banyak ayat al-Quran menjelaskan kepentingan memelihara silaturahim dan ukhwah sesama manusia.
Memelihara silaturahim akan membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya, sekali gus menyuburkan hubungan sesama manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan suatu apa jua; hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawatan, musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri." (An-Nisa: 36)
Allah SWT memperincikan tuntutan memelihara silaturahim bukan hanya dengan golongan tertentu saja, bahkan seluruh umat manusia amnya dan sesama mukmin khususnya.
Terdapat banyak kebaikan dan keberkatan bagi mereka yang sentiasa berusaha menjaga hubungan dan mengeratkan silaturahim.
Begitu indahnya ajaran Islam yang sentiasa memberi panduan kepada Mukmin untuk berbuat baik sesama manusia kerana dari kebaikan akan menatijahkan akhlak indah, budi pekerti mulia dan amal ibadat terpuji kepada Allah SWT seperti dituntut agama.
Ganjaran orang yang mengutamakan agama Allah SWT sangat tinggi nilai di sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim."
Hadis ini jelas menyebut kebaikan dan ganjaran bagi mukmin yang mengikuti seruan serta taat perintah-Nya. Setiap mukmin sangat mendambakan rezeki yang murah dan usia yang panjang agar dapat menambah bekalan amal untuk dihitung di akhirat.
🔥Tuntut kesabaran🔥
Setiap manusia yang berusaha melaksanakan kebaikan tentunya akan berdepan dengan ujian yang bertujuan mengukur nilai keikhlasan. Begitu juga dalam perkara berkait soal silaturahim, mereka akan turut berdepan dengan cabaran kehidupan.
Namun, setiap ujian pastinya menuntut kesabaran dan hati yang tabah. Dalam berdepan dengan ujian hidup, terdapat banyak kisah teladan dari lembaran sirah nabi dan sahabat yang boleh dijadikan panduan hidup.
Sebagai contoh kisah Nabi Yusof AS yang dibenci adik-beradik tiri tetapi berkat kesabaran dan keimanan tinggi terhadap takdir Allah SWT, akhirnya ia memberi kemenangan kepada baginda.
Kisah dari al-Quran ini boleh memberi inspirasi kepada mukmin hari ini untuk mencari kekuatan saat melalui ujian sikap manusia yang penuh kebencian, sakit hati dan dengki.
Begitu juga ujian dilalui Rasulullah SAW yang berdepan pelbagai tentangan dan kebencian puak jahiliah.
Namun, setiap kejahatan dan kezaliman itu dibalas oleh Rasulullah SAW dengan kemaafan dan kesabaran tinggi.
Kemuliaan akhlak ini akan menatijahkan keperibadian terpuji dan kemenangan abadi bukan saja di dunia, bahkan di kampung akhirat, iaitu tempat kekal selama-lamanya.
Pengurus Berita Radio IKIM
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/04/410565/silaturahim-ganda-rezeki-buka-pintu-kasih-sayang
0 Komentar untuk " Silaturahim ganda rezeki, buka pintu kasih sayang "