Ramai dalam kalangan pemuda berasa tidak perlu menjaga adab terutama dengan guru sedangkan sebagai pelajar, mereka perlu mendidik diri, menjaga adab dan akhlak supaya ilmu diperoleh mendapat keberkatan serta kekal dalam diri.
Rasulullah SAW pernah membaca doa, "Ya Allah, janganlah sampai aku menemui satu zaman ketika manusia tidak lagi mengikuti orang alim sehingga manusia tidak lagi segan pada orang berakhlak baik. Hati mereka seperti hati orang asing dan apabila berbicara seolah-olah ahli agama tetapi hilang akhlak dan adab dalam hidupnya." (HR Ahmad)
Oleh itu, sewajarnya anak murid memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini ilmu gurunya. Ketika Imam Syafie RA menuntut ilmu bersama Imam Malik, beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu mengganggu gurunya. Imam Rabi' pula tidak berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya. Justeru, anak murid perlu belajar merendahkan diri terhadap guru dan mengelakkan perasaan bongkak termasuk serta bercakap dengan sopan santun.
Oleh sebab sifat rendah diri juga, Imam Syafie pernah ditegur gurunya yang sangat dipandang tinggi sehinggakan pernah menulis syair: "Saya sengaja merendahkan diri di hadapan mereka yang dimuliakan kerana ilmu yang ada padanya. Dan mana-mana jiwa yang tidak pernah menghinakan dirinya, dia tidak akan merasakan kemuliaan dalam dirinya."
Maka kita perlu tawaduk ketika berhadapan dengan guru kerana sekiranya berasa besar diri, ia akan menyebabkan hilangnya kemuliaan dalam diri. Ibnu Abbas RA yang terkenal dengan ketinggian ilmu, sangat berhemah dan cintakan ulama, akan menciumnya kerana sangat menghormati guru.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm turut berkongsi kisah Imam Ahmad yang berkata kepada Khalaf al-Ahmar, "Saya tidak akan duduk melainkan di samping kamu dan beginilah yang diajar kepada kami untuk menghormati guru."
🔥Ketahui hak guru🔥
Perkara lain perlu diberi perhatian ialah mengetahui hak guru. Murid tidak boleh melupakan budi pekerti dan jasa gurunya seperti perilaku Imam Syu'bah terhadap gurunya hingga beliau berkata: "Apabila saya belajar dengan guru, saya akan menjadi hamba kepada mereka selagi mereka hidup." Ini antara contoh bagaimana murid menghargai ilmu yang sangat bernilai dan meraikan jasa guru.
Selain itu, doakan guru agar dipanjangkan usia dan diberikan perkara baik. Sesungguhnya setiap doa baik yang ditujukan kepada guru akan kembali memberi kesan baik kepada murid kerana 10 kebaikan didoakan kepada orang lain, Allah akan menganjari 100 kebaikan. Malah, jika didoakan keburukan sekalipun, Allah akan membalas bertimpa-timpa keburukan terhadap pemohon doa terbabit. Doa buruk kepada orang alim juga mendatangkan akibat buruk seperti dalam hadis Qudsi, Rasulullah bersabda: "Sesiapa melakukan khianat kepada waliku, akan aku isytiharkan perang kepada orang sedemikian rupa."
Adab yang perlu dijaga juga ialah belajar untuk bersabar dengan ketegasan mereka yang mempunyai kerenah dan sikap seperti meninggikan suara dan menengking. Ibu bapa perlu berpesan kepada anak yang sedang menuntut ilmu agar sabar menghadapi kerenah guru kerana alim ulama turut menghadapi situasi sama ketika berguru.
Ketegasan guru mampu mendidik anak murid agar menjadi orang berguna dan menjadi contoh terbaik pada masa depan. Sebahagian ilmuwan berkongsi pengalaman menghadapi ketegasan guru dan menyedari tanpanya, mereka akan kekal dalam kejahilan. Malah sesiapa menuntut ilmu akan dijanjikan Allah dengan kemuliaan di dunia dan akhirat.
Imam Syafie pernah berkata kepada Sufyan Uyainah: "Begitu ramai yang datang menuntut ilmu denganmu tetapi sering kali kamu bersikap garang dengan mereka." Sufyan menjawab, "Mereka adalah manusia bodoh sekiranya mereka meninggalkan apa yang memberi manfaat disebabkan perilaku burukku terhadap mereka."
Bersopanlah ketika berada dalam majlis ilmu bersama guru, jagalah diri agar tidak mengganggu pandangan mereka atau leka melakukan perkara lain yang melalaikan serta menghalang proses pembelajaran. Sewajarnya mohon izin terlebih dulu untuk berada dalam majlis ilmu yang dikendalikan guru seperti yang dilakukan Ibnu Abbas sewaktu ingin menuntut ilmu bersama Zaid. Beliau sanggup menunggu di hadapan rumah gurunya apabila diberitahu gurunya sedang tidur. Ibnu Abbas tidak mahu gurunya diganggu dan lebih sanggup menunggu Zaid bangun untuk menuntut ilmu sehingga terbit matahari.
Ini menunjukkan kesabaran Ibnu Abbas dan sifat yang sangat mementingkan adab serta akhlak kepada guru. Seorang pelajar perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap setiap perkara disampaikan guru sekalipun pernah didengar kerana ia antara adab perlu dijaga ketika menimba ilmu.
Oleh Fairuz Noordin
Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm
0 Komentar untuk " Ibnu Abbas sanggup tunggu guru tidur "