Ghurur punca leka keduniaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ghurur punca leka keduniaan


GHURUR adalah penyakit hati seperti dijelaskan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya 'Ulumiddin yang membahagikannya kepada empat golongan, iaitu ulama, abid (ahli ibadat), orang yang mengaku sufi, individu berharta yang tertipu dengan dunia.

Dari sudut bahasa, ia bermaksud tertipu dengan diri sendiri, manakala secara istilah pula, al-ghurur bererti seorang yang merasa bangga terhadap diri sehingga memandang remeh dan rendah segala sesuatu yang dilakukan oleh orang lain.

Firman Allah SWT bermaksud: "Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan syaitan tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata." (An-Nisa', ayat 120)

Al-Quran memberi amaran supaya kita tidak memiliki sifat ghurur sama ada disebabkan limpahan kekayaan, anak-pinak atau faktor pangkat dan kekuasaan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai manusia, apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? Tuhan yang mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan diadakan) serta menjadikan (binaan badanmu) sepadan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja dikehendaki-Nya, Ia menyusun kejadianmu." (Al-Infitaar, ayat 6-8)

🔥Jangan lupa diri🔥

Sekiranya manusia diberi pelbagai nikmat dan kelebihan, mereka perlu menyedari siapakah memberi nikmat itu, iaitu Allah SWT. Banyak kisah kebinasaan dalam al-Quran mengenai mereka yang memiliki sifat ghurur dan bersikap angkuh.

Iblis diusir dari syurga kerana sifat sombong yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam AS. Begitu juga kisah Qarun yang dikurniakan harta benda, bersikap sombong kepada kaumnya dan Allah SWT.

Firaun dan bala tenteranya menerima nasib sama apabila ditenggelamkan ke dasar laut apabila mengaku sebagai Tuhan. Kaum Nabi Lut menolak kebenaran yang disampaikan supaya meninggalkan tabiat buruk, seks songsang.

Mengapakah kita dilarang bersikap ghurur dan sombong? Manusia adalah makhluk lemah, tidak layak ciptaan yang lemah bermegah-megah dan sombong terhadap Allah SWT yang menjadikan alam semesta ini.

Bagaimanapun apa yang berlaku sebaliknya, masih ramai manusia lupa diri sehingga menjadi sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain dan menganggap diri sempurna.

🔥Tanda ghurur🔥

Rasulullah SAW mengingatkan bahaya sifat sombong seperti yang dilaporkan Abdullah Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya sedikit sifat sombong." (HR Muslim)

Antara faktor menyebabkan lahir ghurur ialah lalai bermuhasabah diri, melampau atau berlebih-lebihan dalam urusan agama, bergantung dengan amal ketaatan dan lupa bahawa rahmat Allah SWT yang memasukkan kita ke dalam syurga-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Ketahuilah tiada seorangpun dari kalangan kamu akan selamat dengan amalannya semata-mata." Sahabat bertanya: "Termasuk engkau wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Termasuk aku. Kecuali dengan rahmat dan kelebihan daripada Allah." (HR Tirmizi)

Tanda ghurur ialah berterusan menghina dan memperbodohkan hasil usaha orang lain meskipun usaha mereka baik, banyak memperkatakan kebaikan dilakukannya serta sukar tunduk kepada kebenaran yang datang daripada orang jujur dan dipercayai.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ketika kami berfirman kepada malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Ia enggan dan takbur, adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir." (Al-Baqarah, ayat 34)

🔥Sentiasa merendah diri🔥

Meneliti kisah salaf pasti menyentuh perasaan kerana mereka banyak beramal dengan ikhlas tetapi tidak bergantung padanya bahkan menganggap diri masih cuai. Apatah lagi kita insan biasa.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA berkata: "Kalaulah manusia mengetahui keadaanku, nescaya mereka melempar tanah ke atasku."

Imam as-Shafie RA ketika hampir wafat ditanya: "Bagaimanakah keadaanmu, wahai Abu Abdullah?" Beliau menjawab: "Aku dalam keadaan meninggalkan dunia, berpisah daripada saudara-mara, bertemu dengan amalanku yang buruk, berjumpa dengan Allah dan aku tidak tahu adakah akan dibawa ke syurga atau neraka."

Begitulah teladan ditunjukkan Abu Bakar dan Imam Shafie dalam memerangi sifat tercela, iaitu ghurur dan sombong.

Allah SWT berfirman: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Luqman, ayat 18)

Allah SWT memerintahkan kita bersikap tawaduk dan rendah diri. Kita semua berasal daripada setitis air mani, apalah yang hendak dibanggakan kerana akhirnya kita akan kembali kepada pencipta dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa.

Penulis adalah Perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/03/405306/ghurur-punca-leka-keduniaan
0 Komentar untuk " Ghurur punca leka keduniaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ