PENDEDAHAN sumber perisikan sekurang-kurangnya 53 rakyat negara ini dipercayai anggota Daesh dan masih berada di Syria membuktikan kuatnya pengaruh militan berkenaan menular dalam masyarakat kita.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa berdasarkan rekod dan perisikan bahagian berkenaan, ada sekurang-kurangnya 50 rakyat kita yang menyertai Daesh masih berada di Syria.
Daesh yang menguasai beberapa kawasan di Syria pada awal 2011 kononnya atas memperjuangkan nama Islam berjaya meraih simpati pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, termasuk mahasiswa.
Bijak mengambil peluang daripada ledakan kemunculan media sosial membuatkan kumpulan itu mampu menyebarkan ideologi mereka dengan meluas dan cepat. Ini termasuk meraih simpati golongan muda, terutama dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi di negara ini yang begitu teruja dan terpanggil untuk berjihad bagi membantu pihak yang digambarkan sebagai tertindas dan teraniaya di negara Asia Barat berkenaan.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sehingga Disember lalu, polis menahan 12 pelajar universiti kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ekstremis Daesh. Selain itu, empat lagi mahasiswa, termasuk seorang wanita pelajar perubatan dikesan masih di Syria bagi tujuan sama.
Ayob Khan dalam wacana bertajuk 'Pendekatan Islam Bagi Membendung Ekstremisme dalam Kalangan Mahasiswa' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, berkata statistik sejak 2013 mengenai pembabitan mahasiswa dalam kegiatan ekstremis, saban tahun meningkat.
🔥Ideologi ekstremis tetap aktif🔥
Keadaan itu membuktikan ideologi ekstremis tetap aktif, sekali gus menunjukkan ancaman masih ada biarpun realitinya, ramai penggerak utama Daesh dilaporkan sudah meninggal dunia.
Paling membimbangkan apabila kumpulan mahasiswa terbabit dengan fahaman militan berkenaan cuba pula untuk mempengaruhi orang awam di luar kampus menyokong dan bersimpati dengan ideologi menyeleweng mereka.
"Pensyarah sendiri memainkan peranan apabila ada juga yang kami dapati turut terbabit menghasut, sebarkan ideologi ekstremis ini. Malangnya alasan pihak universiti yang mengamalkan kebebasan akademik menyebabkan polis sukar bertindak terhadap sebilangan pensyarah berkenaan.
"Kami juga masih mengesan aktiviti beberapa pensyarah institusi pengajian tinggi yang cuba mempromosikan ideologi Salafi Jihadi yang menjadi pegangan kumpulan Daesh, dalam kalangan pelajar mereka," katanya dalam wacana itu.
Kebimbangan berkenaan menyebabkan polis sentiasa memantau universiti di negara ini bagi mengelak sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba merekrut mahasiswa untuk menyebarkan ideologi salah mereka.
Yang turut menjadi tumpuan pihak polis adalah pensyarah luar negara yang mengajar di universiti tempatan bagi mengelak kehadiran mereka boleh mencetuskan keganasan akibat penyebaran fahaman melampau berkenaan.
Jika di negara luar seperti Filipina dan Indonesia, isu kemiskinan dilihat sebagai daya tarikan utama rakyat negara terbabit menyertai kumpulan pelampau, berbeza pula dengan rakyat kita. Ideologi yang disebarkan kumpulan pelampau berkenaan menjadi punca utama mereka terjebak dalam kegiatan itu terutama, tertarik dengan pembentukan negara Islam.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Najmuddin Abdul Karim, berkata gerakan radikal atau ekstremis termasuk di IPT menjadi perhatian utama dan pemantauan pihak berkuasa bersama majlis agama negeri dan polis.
🔥Sukar ubah pemikiran🔥
Gerakan radikal dalam kalangan masyarakat di negara ini, ada di antaranya berpunca daripada aktiviti persatuan biasa yang pada awalnya tidak menampakkan ciri-ciri ekstremis atau melampau batas. Malangnya, apabila ideologi berkenaan sudah menjadi pegangan dan amalan individu atau kumpulan terbabit, ia akan mengambil masa untuk mengubah pemikiran mereka yang sudah termakan dengan dakyah yang dibawa.
Akibatnya perlakuan pengamalnya bukan sahaja boleh membinasakan diri sendiri, malah paling teruk mampu membinasa atau menyusahkan orang lain, terutama masyarakat secara keseluruhannya apabila ia kadang kala mampu mencetuskan keganasan.
Dua punca utama menjadikan manusia sesat dan menyeleweng adalah kerana kejahilan dalam diri yang sukar diterima selain memiliki ilmu dari jalan yang salah. Sehubungan itu, pemahaman betul mengenai ajaran Islam cukup penting selain asas pengetahuan dalam agama yang mampu menjadi benteng kepada penerimaan fahaman salah.
Norhafzan Jaafar
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/03/398867/fahami-ajaran-islam-elak-terjebak-ideologi-sesat
0 Komentar untuk " Fahami ajaran Islam elak terjebak ideologi sesat "