ADA dalam kalangan masyarakat yang menolak penggunaan akal dalam agama kononnya kerana bersandarkan kepada pesanan Saidina Ali RA yang menyebut: "Sekiranya agama itu dengan ra'y (pandangan), maka nescaya bahagian bawah khuff (sejenis kasut) itu lebih patut untuk disapu berbanding dengan bahagian bawah, tetapi aku melihat Baginda SAW menyapu bahagian atasnya."
Dalam hal ini, Dr Mohd Zaidi menjelaskan keperluan untuk memahami apakah yang dimaksudkan akal terlebih dahulu kerana kerap kali terjadi apa yang dimaksudkan itu sebenarnya berbeza daripada apa yang sebenarnya difahami.
Dalam hal ini, kata-kata yang disandarkan kepada Saidina Ali itu sendiri, ada beberapa riwayat yang menyebut beliau menggunakan kalimah ra'y dan ada juga diriwayatkan menggunakan kalimah aql. Di sini kita tidak pasti riwayat manakah yang sahih dan untuk menentukan riwayat yang sahih itu sendiri juga memerlukan akal untuk memastikan kesahihannya.
🔥Penting peranan akal🔥
Peranan akal dalam agama amat jelas sekali, khususnya apabila membabitkan hal ayat mustashabihat apabila dalam al-Quran ada disebut Allah SWT tidak menyerupai sesuatu pun (laysa ka mithilihi shay), namun dalam ayat dan hadis lain pun kita bertemu dengan nas yang menyebut yad, istaw dan bermacam-macam lagi sifat makhluk yang sering disalah terjemah sebagai tangan dan bersemayam yang seolah-olah menyamai sifat makhluk.
Di sini pentingnya peranan akal untuk sampai kepada maksud sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT dan mengharmonikan seolah-olah semacam wujud pertentangan dalam nas yang disebutkan. Ada nas yang sifatnya utama dan primer, manakala ada nas yang sifatnya menyokong nas utama itu tadi serta menjelaskan lagi maksud nas berkenaan.
Setiap nas yang ditemui mujtahid tidak dilihat sebagai semuanya setaraf, tetapi memerlukan penelitian, pengamatan dan pengkajian yang mana lebih utama dan yang mana pula sifatnya menyokong.
Di sini peri pentingnya akal untuk melihat perkara ini kerana nas al-Quran dan al-Hadis itu hanyalah bahan mentah yang masih perlu diproses. Alat untuk memproses bahan mentah itu ialah akal.
Sebab itu dalam pengajian ilmu mantik, ilmu yang amat penting untuk memandu berfikir dengan baik dan merumuskan sesuatu perkara yang suatu ketika dulu pada zaman kegemilangan Islam menjadi mata pelajaran wajib.
Malangnya hari ini amat kurang diajar sama ada pada peringkat menengah atau universiti melainkan untuk segelintir pelajar aliran agama di sesetengah universiti, iaitu penuntut diajar bab qias.
Bagaimanapun, qias dalam ilmu mantik tidak sama dengan qias dalam ilmu usul fiqh.
💜Berlaku pertentangan💙
Dalam membicarakan qias, pelajar diajar membezakan antara 'madah al-Qiyas' dengan 'surah al-Qiyas' dengan yang pertama merujuk kepada 'bahan mentah' untuk difikirkan, manakala perkara kedua merujuk kepada 'teknik/tatacara/kaedah berfikir.'
Apabila membicarakan persoalan berfikir, akal hanyalah memproses bahan mentah itu sahaja dan ada ketikanya bahan mentah itu berada di luar seperti nas al-Quran dan al-Hadis serta ada ketikanya juga bahan berfikir untuk dari dalam akal itu sendiri.
Justeru, apa yang sering dilihat berlaku pertentangan sebenarnya membabitkan kepada teknik berfikir dengan yang perlu diharmonikan adalah perkara yang seakan-akan berlawanan atau bertentangan. Naql ialah bahan mentah, manakala hukum mengenai tidak boleh wujud pertentangan itu sebenarnya adalah kaedah berfikir.
Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad
Penulis adalah Pengarah Pusat Media IKIM
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/03/396168/akal-harmonikan-nas-al-quran-hadis-dianggap-berlawanan
0 Komentar untuk " Akal harmonikan nas al-Quran, hadis dianggap berlawanan "