SELAIN daripada perhimpunan membantah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hujung minggu lalu, nampaknya negara juga turut digemparkan dengan keputusan MCA yang meluluskan usul untuk membubarkan BN dan membentuk perikatan baharu dalam perhimpunan agung parti itu.
Terkini, ketika penulisan ini dibuat, khabar kurang enak juga turut membadai politik negeri di bawah bayu apabila ura-ura bahawa Umno Sabah bakal dibubarkan dengan empat lagi ahli parlimennya akan meninggalkan parti itu.
Dua situasi ini sudah cukup menggambarkan betapa tenatnya BN terutamanya Umno sebagai parti komponen yang dominan dalam BN.
Walaupun tindakan MCA itu sedikit ‘tidak gentlemen’ kerana sebagai parti komponen dalam BN, usul semberono itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat bersama parti-parti komponen yang lain.
Secara peribadi penulis bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa MCA tiada hak untuk membubarkan BN.
Ia sepatutnya dibuat secara kolektif dan setia kawan BN. Dengan membubarkan BN sebenarnya ia tidak mendatangkan apa-apa faedah, baik kepada BN mahupun MCA sendiri.
Sepatutnya MCA perlu muhasabah diri dan mencari kekuatan baharu selepas ditolak secara total dalam PRU14.
Malah sejak ‘tsunami’ Cina membadai parti-parti orang Cina dalam BN ketika pilihan raya umum 2008, 2013 dan 2018, kemerosotan sokongan orang Cina terhadap BN meningkat secara mendadak.
Dari 15 kerusi Parlimen yang dimenangi MCA dalam PRU12, ia berkurangan kepada 7 kerusi (PRU13) dan lebih malang lagi hanya menang satu kerusi sahaja ketika PRU14.
Teruknya prestasi MCA ini sehinggakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memerli MCA dalam Perhimpunan Agung parti itu apabila meminta MCA mengambil ‘viagra politik’ bagi menaikkan semangat ahlinya yang kian pudar.
Malangnya, sepanjang tiga PRU lepas, hanya sedikit tindakan yang diambil oleh MCA untuk membetulkan keadaan tersebut. Walaupun menukar kepimpinan tertinggi parti malah pernah berikrar untuk menolak sebarang jawatan Kabinet sekiranya gagal membantu BN dalam PRU13, MCA terus gagal memikat undi orang Cina kepada BN.
Pun begitu, Umno masih tetap sudi menghulur tangan dan memujuk MCA untuk sama-sama membentuk kabinet atas semangat setia kawan.
Jadi apabila MCA mengusulkan perkara tersebut, kira-kira apakah barangkali MCA sudah lupa diri sehingga sanggup bertindak mementingkan diri sendiri?
Di Sabah pula, nampaknya Umno sedang menghitung hari. Sepertimana Umno masuk dan berkuasa di Sabah dengan menamatkan pemerintahan kerajaan PBS yang sebelumnya menang tipis mengalahkan BN-Umno Sabah ketika pilihan raya negeri 1994 menerusi ‘katak’ yang melompat parti, bakal ia berulang kembali.
Cuma kali ini karma beralih kepada Umno. Sejak kelam kabut politik Sabah bermula sejurus PRU14 Mei lalu, Umno Sabah kelihatan semakin lemah.
Umpama tikus meninggalkan kapal yang karam, satu persatu ahli Parlimen mahupun Adunnya keluar parti.
Perkara ini bukan sesuatu yang baharu dan aneh di Sabah. Penulisan Ung Ho Chin dalam kertas kerjanya ‘Kataks’, Kadazan-Dusun Nationalism And Development: The 1999 Sabah State Election barangkali mampu membantu kita memahami dinamika politik Sabah.
Chin (1999) dalam penulisannya itu telah menggariskan empat ciri yang membentuk politik Sabah. Pertama, wujudnya persaingan kuasa politik yang sengit di antara Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Komuniti Cina.
Kedua, adanya perubahan kesetiaan politik yang berterusan. Ketiga, membeli undi menerusi wang atau lain-lain bentuk dorongan adalah bahan utama dalam mendapatkan sokongan (baca: undi) dan mobilisasi politik dan keempat; dinamika hubungan Sabah dalam Persekutuan Malaysia terutamanya yang berkait rapat dengan hal-hal autonomi dan hak perlembagaan Sabah.
Dengan penerangan Chin itu, maka yang berlaku di Sabah ketika ini tidak begitu mengejutkan. Malah ianya dianggap lumrah dan biasa dalam berpolitik.
Cuma barangkali di Sabah, ia berlaku disebabkan kepentingan dan laba politik berbanding soal prinsip dan maruah.
Agak sedikit menyedihkan kerana tindakan meninggalkan parti pada saat ia lemah dan terdesak mendamba sokongan padu dari ahli dan pemimpinnya memang tiada dalam kamus politikus di Sabah. Benarlah teori Lord Palmerstone bahawa dalam politik tiada yang kekal, yang kekal hanyalah kepentingan.
* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
0 Komentar untuk " Viagra dan katak dalam politik BN "