PERHIMPUNAN 812 adalah sebuah perhimpunan yang berjaya. Berjaya membuka mata banyak pihak bahawa ia menyatukan bangsa Melayu tidak kira sama ada mereka daripada parti Pas, Umno, Bersatu, Amanah, PKR dan lain-lain NGO.
Puncanya ialah kerana cadangan meratifikasikan ICERD supaya kita obligasi selepas menandatanganinya. ICERD menyentuh soal agama bahasa dan juga Raja-Raja. Dan kerana itu, ia dipercayai akan menggugat dan menggoyahkan ketiga-tiga elemen identiti orang Melayu.
Maka Umno dan Pas yang mula berpimpin tangan dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson telah duduk sepentas lalu mematerikan persefahaman mereka di Perhimpunan 812 secara terbuka. Ia bukan lagi persetujuan di antara para pemimpin kedua-dua parti, malah kali ini seluruh jentera akar umbi berarak berganding bahu sederap kaki pada 8 Disember. Ahli-ahli akar umbi Umno dan juga Pas kian selesa duduk semeja dan luka-luka lama mula dilupakan.
Pada hari itu juga 313 pertubuhan silat telah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon sokongan baginda untuk menolak terus ICERD. 313 pertubuhan silat yang hadir itu adalah manifestasi bahawa benteng fizikal bangsa Melayu telah bangkit untuk menyatakan kesiapsiagaan mempertahankan bangsa.
Kebanyakan NGO-NGO Melayu yang hadir juga menggambarkan bahawa kumpulan ‘the third force’ ini telah tampil untuk menzahirkan sokongan. Kita lihat juga personaliti dan selebriti, usahawan, akademik dan profesional yang turun berarak bersama. Justeru, yang menjadi impak sebenarnya bukan kepada parti-parti politik semata-mata, bahkan ia memberi kesan yang besar di minda bangsa Melayu itu sendiri.
Sudah bertahun-tahun lamanya sebilangan besar orang Melayu tidak berani mengaku Melayu. Puncanya ialah bilamana pengakuan diri itu Melayu dianggap rasis. Malah, pernah pemimpin politik didesak mengaku, dirinya ‘Malay first or Malaysian first?’ Upacara mencium keris yang melambangkan kecintaan dan keluhuran identiti Melayu itu ditafsir sebagai aksi hendak bergaduh. Kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan, maka kita menyimpan kemelayuan itu.
Oleh kerana ICERD, mulalah orang Melayu menyerlahkan dada untuk menyatakan diri mereka Melayu. Di antara yang berani dan tegar dengan pengakuan diri mereka anak Melayu ialah di antaranya anak-anak muda yang menggelar diri mereka The Patriots. Banyak lagi kumpulan-kumpulan anak muda Melayu yang bangkit dan mengupas identiti diri melalui hujah-hujah sejarah, sosiologi dan antropologi.
Golongan inilah yang meniup semangat marhaen Melayu untuk turut ke depan. Inilah Melayu Baru! Angka kehadiran Perhimpunan 812 pula boleh jadi 50,000, 55,000, 100,000 ataupun 500,000 orang. Jumlah spesifiknya hanyalah angka. Namun, yang kita lihat ialah jumlahnya ramai. Begitu ramai hingga menyamai ataupun melebihi jumlah kehadiran perhimpunan Bersih yang paling ramai.
Yang kita nampak, sebahagian besar daripada yang hadir pada perhimpunan itu adalah terdiri daripada ahli-ahli Pas. Pas memang pakar menggembleng tenaga berskala besar. Tatkala mereka sama-sama terlibat dalam perhimpunan Bersih, ahli-ahli merekalah yang memenuhkan jalan-jalan raya.
Apabila mereka ambil keputusan untuk tidak menyertainya, Bersih 4.0 mula kehilangan impak kehadiran manusia. Kita tidak boleh mengentengkan kekuatan dan ketaatan ahli-ahli Pas sehinggakan parti itu boleh menguasai Kelantan dan Terengganu tatkala banyak pihak yang mengatakan ia sudah nazak.
Setelah Perhimpunan 812 berlalu, kita tidak boleh berhujah untuk memperlekeh mereka yang berhimpun dengan tujuan untuk menafikan yang ramai orang Melayu telah turun. Untuk apa berada di dalam denial syndrome? Untuk apa berhujah untuk menafikan manifestasi fizikal yang telah berlaku di depan mata, bukan di Pasir Salak, Kodiang atau pun di Machang tetapi di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Faktanya ialah, perhimpunan yang paling bersejarah itu telah berlaku. Yang lebih mustahak diperhatikan ialah, ia akan menjadi trend. Dengan pengalaman modus operandi dan semangat yang telah dirangsang, silap hari bulan, perhimpunan berikutnya akan mudah berlangsung.
Orang Melayu sudah mula berani mengaku, ‘I am Malay, so what is the problem?’ Betapa pun, suara majoriti rakyat Malaysia ini perlu didengari. Tidak perlu gusar dengan kelantangan ini. Suara mereka perlu didengari kerana Melayu itu bangsa tunggak di negara ini. Mustahil mereka akan merosakkan tanah tumpah darahnya sendiri.
Bila Melayu berjaya, bangsa lain juga akan terjamin dibela hingga berjaya. Kita kena jujur untuk lihat dari sudut sejarah, sudut sosiologi, bukannya politik. Hakikat ini simple, bukannya bersimpul!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
0 Komentar untuk " Icerd katalis penyatuan Melayu "