BAYANGKAN anda tanya beberapa mahasiswa soalan yang terlalu mudah ini: "Anda nak jadi apa?" Kemungkinan mahasiswa akan memberi respons bersemangat seperti "saya nak jadi peguam atau jurutera atau menteri dan lain-lain".
Tetapi jangan terkejut kalau ramai yang menunjukkan wajah yang celaru, murung dan berkata, “Saya tak tau nak jadi apa!”
Ini adalah kerana pada hakikatnya Malaysia bukan sekadar menghadapi masalah hutang negara yang paling besar dalam sejarah negara tetapi kita juga menghadapi tsunami sakit jiwa di Malaysia. Kita dilanda peningkatan mendadak sebanyak 50 peratus pesakit jiwa sejak 2011.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017, hampir 30 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan atau depresi dan gangguan kecelaruan. Maknanya bagi setiap 10 rakyat Malaysia, tiga orang sakit jiwa atau mental.
Menurut WHO, pada tahun 2020, dijangka penyakit kemurungan akan menjadi pembunuh nombor satu di dunia. Bagaimana kita menghadapi globalisasi sakit jiwa ini?
Mungkin anda akan rasa tenang kalau ramai mahasiswa bercakap besar tentang cita-cita mereka untuk menjadi peguam, jurutera, menteri, doktor dan lain-lain. Anda rasa mereka inilah yang akan memajukan negara kerana mereka jelas dengan masa depan mereka.
Dr M. Scott Peck telah menulis sebuah buku yang terkenal bertajuk “People Of The Lie”. Peck merupakan seorang pakar psikologi. Beliau mendapati bahawa tamadun moden yang terlalu fokus pada pembangunan ekonomi dan kebendaan telah gagal mendiagnosis satu penyakit jiwa yang membunuh kemanusiaan iaitu “Human Evil” atau kesetanan manusiawi.
Beliau telah memberi contoh kes di mana seorang budak telah berkali-kali melukakan dirinya dengan menghiris jasad sendiri. Beliau mendapati ibu bapanya berpendidikan tinggi, berkerjaya bagus dan merupakan peguam berjaya. Tetapi selepas menemu duga mereka, beliau mendapati punca masalah sakit jiwa bukan terletak pada anak, tetapi pada virus “Human Evil” yang ada pada diri ibu bapa ini dan mereka tidak sedar.
Salah satu tanda ialah mereka meletakkan kesalahan kesemuanya atas bahu anak mereka seolah-olah mereka adalah ibu bapa yang sempurna dan tak akan buat kesilapan dalam mendidik anak. Mereka adalah “setan” sebenarnya yang terlalu bongkak dan takjub dengan kerjaya ekonomi diri mereka sendiri. Mereka dilanda narsisisme tetapi mereka fikir diri mereka sihat walafiat! Sebenarnya sifat kesetanan telah membunuh kemanusiaan mereka.
Maka, respons jelas mahasiswa tentang cita-cita kerjaya mereka tidak semestinya menunjukkan yang mereka ini lebih sihat jiwa dari mahasiswa yang celaru tak tahu nak jadi apa!
Kajian Statistik Internet Dunia (Internet World Stats) pada akhir tahun 2017 telah melaporkan bahawa 92.5% remaja umur 13-17 ketagih internet. Bila remaja ketagih pada dunia yang terpapar pada skrin gajet, adakah ini menjadikan mereka lebih pandai dan lebih berinformasi?
Dr Maszlee berkata bahawa pendidikan bukan sekadar perlu melahirkan pelajar yang pandai tetapi juga bersifat peduli. Seorang pelajar yang pandai 3M iaitu menulis, mengira dan membaca, adakah semestinya dia bersifat peduli?
Generasi akan datang adalah yang akan menghabiskan kebanyakan masa dengan skrin gajet dari bersemuka dengan manusia. Maknanya dia akan mahir dalam 3M tetapi jahil dalam menghayati emosi kemanusiaan kerana penghayatan ini hanya akan berlaku dalam dunia realiti, bukan dunia skrin. Akhirnya, dia juga akan dilanda “human evil” bila dia tidak lagi bersifat peduli pada emosi kemanusiaan di dunia realiti.
Maka walaupun di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara, kerajaan PH telah melangkah bijak untuk memperuntukkan belanjawan yang paling banyak dalam pendidikan.
Dr Maszlee akan memperjuangkan falsafah 4M di mana beliau higlight perlunya tambah prinsip “Manusiawi” dan bukan sekadar Membaca, Mengira dan Menulis. Beliau sedang mengusahakan sebuah manual tentang nilai-nilai kemanusiaan yang baik. Beliau juga akan mewajibkan falsafah dan etika bermula di universiti-universiti.
Beliau juga sedang berusaha keras untuk menghapuskan sistem peperiksaan di sekolah rendah supaya lahir generasi masa depan yang bila ditanya anda nak jadi apa, dia akan tegas menjawab, “Saya nak jadi manusia yang sejati!”
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
0 Komentar untuk " Maszlee, bukan sekadar 3M "