Sentuhan jari boleh memudaratkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sentuhan jari boleh memudaratkan



Islam adalah agama yang indah kerana ia datang daripada Allah SWT. Islam sentiasa benar, tetapi kerana kesilapan penganutnya mengamalkan ajaran Islam, maka ia memberikan wajah yang salah kepada agama ini. Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Azizul Asri Ahmad Tajuddin yang mengupas tajuk 'Bila Tangan Berbicara' berkata, banyak hadis dan ayat al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya menjaga lisan dan lidah. Melalui kata nista dan bercakap tidak benar akan menghumban kita ke dalam api neraka. Namun, perkembangan teknologi yang canggih dengan pelbagai aplikasi, manusia bukan hanya berbicara melalui mulut atau lisan, tetapi juga jari jemari. Sabda Rasulullah SAW: "Seseorang Muslim itu ialah apabila Muslim yang lain selamat daripada gangguan tangan dan mulutnya."

Pastikan maklumat sahih 

Jika dahulu mulut yang menyampaikan sesuatu berita, tetapi hari ini cukup dengan aplikasi dalam telefon atau komputer, seseorang boleh berinteraksi dengan orang lain. Hendaklah dipastikan setiap berita, maklumat yang diterima atau disampaikan benar-benar sahih dan jangan terlalu cepat untuk berkongsi sesuatu maklumat yang diterima. Sungguhpun berita yang diterima itu benar, tetapi jika ia boleh mendatangkan keaiban atau fitnah, sebaik-baiknya jangan sesekali dipanjangkan maklumat atau berita berkenaan. Tanpa disedari perbuatan itu boleh mengundang dosa. Contohnya, apabila menerima berita seperti kes ragut dalam aplikasi kumpulan WhatsApp, ramai ahli kumpulan yang membuat komen negatif sehingga kepada menghina ciptaan Allah SWT. Perbuatan meragut itu satu kesalahan dan dosa, tetapi yang mengata dan mengutuk dengan bahasa kasar juga tidak lari daripada melakukan dosa.

Oleh itu, perlu ada sikap berhati-hati menyebar sebarang berita atau membuat 'komen' kepada cerita yang diterima. Sesungguhnya, seperti yang disebut oleh Baginda Rasulullah SAW, seorang Muslim yang baik akan menjaga lidah dan tangannya daripada perbuatan yang mengundang dosa. Pada hari ini, sesiapa sahaja yang memiliki telefon tidak terlepas daripada terdedah dengan pelbagai berita yang singgah tanpa diundang atau yang sengaja dicari. Sehingga ada istilah 'keyboard warriors', iaitu mereka yang bertindak seperti 'hakim' yang membuat hukuman. Perkara ini tidak sihat bagi pembangunan ummah dan pembinaan keperibadian seorang individu. Begitu juga berkongsi mesej positif dalam media sosial, pada masa sama membuat komen negatif tanpa sempadan tetap akan mencerminkan keburukan akhlak individu berkenaan.

Usah buka aib orang lain 

Barangkali ada pihak mempunyai alasan untuk menegur perbuatan seseorang, tetapi jika cara teguran itu mendatangkan dosa, sesungguhnya perbuatan berkenaan dikutuk Allah SWT. Setiap manusia perlu menjaga hak manusia lain. Jangan sesekali gemar membuka aib orang lain kerana perbuatan itu dimurkai Allah SWT. Jangan menjadi orang yang tangannya lebih laju daripada fikirannya. Jika mahu membuat teguran atau menyampaikan hujah tertentu, lakukan dengan penuh tanggungjawab. Setiap yang dilakukan memberi nilai kepada diri kita.

Oleh itu, jadilah orang yang sentiasa memberi dan membawa kebaikan kepada orang lain. Ambil ibrah dan iktibar daripada sahabat yang sentiasa berlumba mengejar syurga Allah SWT melalui perbuatan serta amalan baik. Justeru, setiap Muslim hendaklah sentiasa bijak dalam menilai perbuatan dan menggunakan lisannya ketika berkata-kata. Berkatalah sesuatu yang baik dan jika tidak, diam adalah lebih baik.

Oleh Nik Hasnah Ismail
Penulis adalah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/278773
0 Komentar untuk " Sentuhan jari boleh memudaratkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ