SEBUAH lagi projek raksasa Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menemui jalan buntu – setidak-tidaknya buat masa ini.
Projek yang saya maksudkan ialah Bandar Malaysia di atas tapak bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi. Kalau kita masih ingat, ia adalah salah sebuah daripada banyak projek raksasa yang diilhamkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam perkembangan 3 Mei itu, anak syarikat Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd mengumumkan perjanjian pembangunan Bandar Malaysia dengan konsortium Malaysia-China telah luput.
Konsortium itu mengandungi syarikat tempatan bernama Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) dari China.
IWH dimiliki Tan Sri Lim Kang Hoo dan CREC pula adalah salah sebuah syarikat pembinaan antarabangsa milik Majlis Negara, Republik Rakyat China.
Pada 31 Disember 2015, TRX City Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian penjualan saham dengan IWH dan CREC. Pada 21 Julai 2016, TRX City Sdn Bhd memindahkan pemilikan dan tanggungjawab 60 peratus saham Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada IWH CREC Sdn Bhd. Bandar Malaysia Sdn Bhd adalah pemaju Bandar Malaysia.
Menurut TRX City Sdn Bhd, perjanjian itu luput kerana IWH CREC Sdn Bhd gagal memenuhi syarat pembayaran seperti yang dipersetujui di bawah perjanjian walaupun diberikan beberapa kali penangguhan.
Dengan pembatalan perjanjian itu, Kementerian Kewangan akan memegang 100 peratus pemilikan tapak tersebut. TRX City Sdn Berhad berkata, nilai tapak itu telah meningkat dengan banyak.
Maaf cakaplah kalau saya kata, saya mendapati aneh bagaimana nilai tapak itu boleh naik dengan banyak sedangkan rancangan pembinaannya sudah terhenti.
Seperti kita maklum, penilaian tapak itu telah dinaikkan beberapa kali sejak diambil alih oleh 1MDB pada 2014. Pada tahun itu, 1MDB meletakkan nilai wajarnya sebagai RM896.8 juta.
Tetapi setelah diubah syarat penggunaan dan dirancang menjadi Bandar Malaysia, nilainya naik melambung. Enam puluh peratus saham yang dijual kepada IWH CREC sahaja ditaksirkan bernilai RM7.41 bilion. Jadi dalam ukuran apa pun projek ini adalah sangat besar.
Oleh sebab itu saya mendapati pembatalan perjanjian dengan IWH CREC amat mengejutkan dan menimbulkan kecurigaan mengenai kerapian kerajaan merancang dan melaksanakan projek tersebut.
Apabila perjanjian dengan IWH CREC dimeterai, ia diuar-uarkan sebagai projek transformasi yang akan mengubah landskap pembangunan hartanah negara dan menjadi bandar bawah tanah terbesar di luar negara China. Ia dinobatkan sebagai mercu tanda kerjasama ekonomi dan keakraban di antara Malaysia dengan China.
Tetapi banyak pihak curiga dan mempertikaikan pemberian konsesi projek itu kepada sebuah syarikat milik China dan sebuah syarikat tempatan yang tidak begitu terkenal dalam sektor pembinaan dan hartanah negara.
Saya juga mempersoalkan pemberian kontrak kepada syarikat pembinaan asing kerana pada hemat saya ada banyak syarikat pembinaan dan hartanah tempatan, termasuk yang dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang telah membuktikan kemampuan memajukan pembangunan hartanah bersepadu.
Soalnya, mengapakah Kementerian Kewangan tergesa-gesa tanpa banyak cerita memberikan kontrak Bandar Malaysia kepada konsortium Malaysia-China itu dan baru sekarang bercakap mengenai tawaran terbuka bagi mencari pemaju utama yang baharu?
Mengapakah baru sekarang akan mengenakan syarat-syarat yang ketat seperti rekod pencapaian, kepantasan menyiapkan projek dan kemampuan kewangan?
Kita juga berhak tahu mengapa CREC tidak mampu atau tidak mahu membayar harga saham Bandar Malaysia seperti yang telah dipersetujui? Apakah ini kerana kerajaan China telah mengetatkan syarat membawa keluar modal untuk dilaburkan di luar negara atau kerana sebab-sebab lain?
Baru-baru ini kerajaan China telah mengetatkan kawalan ke atas pengaliran keluar modal dalam usaha menyekat kejatuhan nilai mata wangnya.
Kita semua tahu banyak urus niaga yang melibatkan syarikat milik kerajaan China sejak setahun dua ini berhubung rapat dengan usaha membayar balik RM50 bilion hutang 1MDB bagi mengelakkannya daripada diisytiharkan muflis.
Kesimpulannya, walaupun hutang dan tanggungan 1MDB telah dipindahkan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan, masalah dan beban yang dicetuskannya terus menghantui negara dan membebankan rakyat jelata dengan pembayaran balik hutang yang sangat banyak. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara
0 Komentar untuk " Projek Bandar Malaysia terbantut "