Prof Khoo ilmuwan-sejarawan ulung - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Prof Khoo ilmuwan-sejarawan ulung



PROFESOR Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim dianggap Sejarawan Nasional. Bagi saya, Prof Khoo ilmuwan-sejarawan ulung.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika bertitah meluncurkan buku I, KKK: The Autobiography of A Historian pada 12 April 2017 menggelarnya ‘ensiklopedia berjalan sejarah Malaysia’.      

Ditulis oleh Prof Khoo dengan putera sulungnya Eddin, autobiografi itu mengisahkan kehidupan peribadinya. Ia bermula dengan prolog sepotong-ayat: “Kenangan datang dengan gambaran-gambaran, sejarah dengan fakta”.

Ayat ini mengingatkan saya pada kuliah pertama Prof Khoo yang saya ikuti sebagai mahasiswa tahun pertama (pengkhususan Sejarah) di Universiti Malaya (UM) pada 1981. Kata beliau, “Sejarah adalah fakta, bukannya apa yang anda fikir tentang masa lalu.” Katanya lagi, “Sejarah adalah juga pentafsiran fakta tersebut. Anda datang ke universiti untuk belajar mentafsir fakta sejarah. Kalau hendak menghafal fakta sahaja, anda tidak perlu masuk universiti.”

Beliau mengingatkan bahawa pentafsiran mestilah tepat. Dalam salah satu peperiksaan, kami diminta menjawab setiap soalan dengan tidak lebih daripada 40 patah perkataan. Rasionalnya, “Kalau anda tulis panjang-panjang, anda goreng saja!”

Prof Khoo pensyarah paling saya minati. Beliau mengajar dengan cara yang menarik. Kerana beliau minat mengajar. Menghadiri kelasnya umpama mengikuti cerita tentang negara. Begitulah juga buku ini. Ia seperti membaca buku cerita.

Menurut Sultan Nazrin, buku ini gambaran puitis sejarah negara yang diceritakan melalui lensa sejarah individu – kanak-kanak di Kampar yang menyaksikan kedatangan Jepun; remaja yang terperangkap dalam tembak-menembak antara tentera Gurkha dan komunis; mahasiswa di Singapura yang melihat perubahan politik yang radikal; perkahwinan inter-komuniti dengan isterinya Rathi; aspirasi, impian dan keyakinan seorang sejarawan muda tentang Merdeka; eulogi buat guru-guru; kasihnya pada negeri asalnya – Perak; dan kecintaannya terhadap bola sepak.”

Di samping kelas dan bukunya, saya banyak belajar daripada Prof Khoo melalui perbincangan santai di biliknya di tingkat atas Jabatan Sejarah UM, bilik yang masih digunakannya sehingga kini.

Prof Khoo telah menghasilkan banyak rujukan seminal tentang sejarah Malaysia. Beliau antara pelopor yang menulis sejarah Malaysia dari perspektif kita – historiografi berpusat-Malaysia, iaitu anjakan paradigma daripada penulisan terdahulu yang berpusat-Eropah.

Beliau pelopor penulisan sejarah sosial Malaysia. Baginya, untuk berbicara tentang Malaysia dengan bermakna, amatlah penting untuk memahami masyarakatnya dengan mendalam. Tanpa kefahaman yang rapi, adalah hampir mustahil untuk membuat analisis yang tepat akan proses sosial, politik atau perkembangan ekonominya.

Buku ini diakhiri dengan Pasca-skrip: “Saya sentiasa merasakan yang pencapaian saya amat sedikit. Saya membuat kesimpulan bahawa sekiranya anda rakyat Malaysia yang tulen, anda kesunyian”.

Saya hanya boleh mengagak mengapa beliau mencatatkan demikian. Sebagai seorang Peranakan yang menguasai bahasa dan budaya Melayu lebih baik daripada ramai Melayu, yang tahu bahawa 13 Mei 1969 bukanlah satu-satunya rusuhan kaum yang pernah berlaku, memainkan peranan penting dalam penggubalan Rukun Negara, dan menghidupkan naratif Malaysia yang tulen – berbilang kaum dan moderat – dalam keluarganya, maka, saya dapat merasakan bahawa segala usahanya yang bersungguh-sungguh selama ini untuk menjadi rakyat Malaysia tulen adalah satu perjuangan yang menyepikan.

Berbalik kepada fakta sejarah, Prof Khoo sentiasa mengingatkan pelajar-pelajarnya bahawa terasnya ialah primary sources (rujukan prima). Kami diajar tentangnya dengan menulis sejarah tempatan: kampung, sekolah atau daerah kami, dengan menggunakan dokumen-dokumen asal atau temu bual – primary sources.

Justeru, bertepatanlah apabila bahagian kedua autobiografinya – kehidupan intelektual dan khalayaknya – yang akan diterbitkan hujung tahun ini, berjudul Primary Sources.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan Pengarah (Strategik dan Pembangunan Masyarakat) Institut Darul Ehsan. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Prof Khoo ilmuwan-sejarawan ulung "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ