PERKATAAN muzium cepat mengingatkan orang kepada artifak, koleksi antik dan ‘barang lama’. Biar apa sahaja penilaian dan pemikiran masyarakat, muzium sebenarnya mempunyai kedudukan tinggi dari sudut budaya, norma sosial dan nilai pengukuhan jati diri. Selain itu, jarang difikirkan bahawa muzium juga mampu menjana satu pelaburan yang menguntungkan.
Kebelakangan ini, media sosial telah mengambil tempat di hati masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda. Mereka lebih leka dengan gajet berteknologi dan hubungan sosial maya yang tidak mempunyai had dan ruang. Hal-hal bernilai budaya seperti muzium diabaikan. Dengan kata lain, mereka tidak dapat melihat muzium sebagai tempat memperkuat jati diri dan relevan dengan kehidupan urban yang menuntut ruang masa pantas. Persoalannya kini, di manakah masyarakat meletakkan muzium di minda mereka?
Sebenarnya, persepsi lebih jelas tentang muzium perlu difahami generasi kini, kerana tanpa muzium yang berkait sejarah, ketamadunan dan masa depan tidak akan terilham nyata. Muzium sebenarnya tempat yang perlu diterokai, kerana di situ terlukis kembara warisan tersendiri. Muzium bukan sekadar menyimpan koleksi dan khazanah negara, malah merupakan gedung ilmu yang sarat pelbagai maklumat sejarah, budaya dan alam semula jadi.
Seiringan peredaran zaman, fungsi dan peranan muzium semakin berubah. Muzium telah berubah dari tamadun Greek, menempuh zaman Dark Age (zaman kegelapan) memasuki zaman Renaisance (pembaharuan) sehingga kepada zaman kontemporari pada hari ini. Sifatnya tidak lari dari bentuk pemikiran manusia sejagat. Perkara ini telah diilhamkan dua pemikir agung dunia iaitu Ptolemy dan Socrates.
Muzium merupakan tempat kita berbincang tentang ciptaan manusia dan alam semula jadi. Sejak penubuhan muzium pertama, Muzium Iskandariah di Mesir pada abad kedua Masihi, muzium telah menjadi satu alat pendidikan sangat penting. Sehubungan itu, program 1P1M (satu pelajar satu muzium) telah dirangka pihak muzium agar kedudukannya lebih dekat dengan sistem pendidikan nasional. Menerusi pendekatan ini, diharap muzium dapat dijadikan sebagai agen kepada kepintaran kreatif, seterusnya mampu melakar keunggulan institusi permuziuman di negara kita.
Tiada sesiapa dapat mempertikaikan bahawa muzium merupakan tempat rujukan berkaitan bidang sejarah, budaya dan warisan. Menerusi koleksi warisan seperti senjata, busana, artifak arkeologi, seni bina, spesimen dan sebagainya, muzium pasti akan meninggalkan nostalgia berwawasan kepada kita semua. Kepakaran dalam bidang teksidarmi kurasi tulang haiwan, pengawetan serangga, moulding & casting serta zoologi dan botani, sentiasa menjadikan muzium gedung pelbagai cabang ilmu pengetahuan serta membuka ruang pemikiran pintar pengunjung yang inginkan kelainan dalam suasana santai.
Tidak ketinggalan program jangkau dalam (inreach) dan jangkau luar (outreach) mendekatkan muzium dengan masyarakat luar. Program Bermalam Muzium Perdana merupakan Program Strategi Biru Kebangsaan (NBOS) yang mampu menjadi tunas harapan kepada golongan muda untuk sentiasa dekat dengan muzium.
Muzium Diraja yang dibuka sempena Pertabalan Agong baru-baru ini adalah satu kejayaan hasil gabungan konvensional dan interaktif. Pameran ini bersifat realiti maya menggunakan teknik dan peralatan multimedia terkini untuk mencungkil idea-idea segar dalam persembahan muzium. Ia beredar melampaui zaman lalu dan dalam landasan tepat menuju ke arah TN50. Pengunjung pasti tertarik dengan penyampaian artifak lantas menepis tanggapan muzium sebagai tempat penyimpanan barang buruk dan lama semata-mata.
Pengalaman di muzium adalah berkonsepkan pembelajaran ringan, mudah difahami dan disesuaikan dengan masyarakat hari ini. Pembelajaran menerusi kepelbagaian pengalaman dan bukti nyata sejarah, menjadikan muzium tempat mesra dikunjungi semua golongan masyarakat. Muzium bukan lagi sekadar gambar hidup yang kurang berbicara tetapi merupakan perpustakaan maya yang pembelajarannya melangkaui sempadan masa dan waktu. Tidak dapat dipertikaikan Muzium Negara adalah ikon sejarah dan pemeliharaan warisan kebudayaan. Mendekati muzium adalah pilihan bijak anda, kerana terlalu banyak yang ada di muzium. Tepuk dada tanya selera.
0 Komentar untuk " Muzium gedung pelbagai ilmu "