Kisah mi bandung Muar di Shah Alam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kisah mi bandung Muar di Shah Alam



APA ada pada nama? Ada rezeki, sekiranya nama itu disertai dengan jaminan kualiti. Dalam dunia yang ada sekian banyak pilihan, nama penting untuk menarik pelanggan.

Satu ketika dahulu nama Kajang dikaitkan dengan sate. Di mana sahaja ada orang menjual sate, akan ditampal tanda ‘Sate Kajang’. Maka di JB ada sate Kajang, begitu juga di Alor Setar, di Besut, hatta di Kuching, Sarawak.

Tetapi oleh sebab sate Kajang tampalan rasanya tidak selazat sate ori, jenama Kajang tidak bertahan lama. Mereka yang biasa dengan produk asli Kajang, tidak akan singgah lagi di restoran atau gerai tampalan.

Alkisah, ada pelanggan kompelin, dalam dialek daerah: “Guane, kuoh sate Kajang rase macang cuka ikang celuk tepong...” Erti dalam bahasa baku: Macam mana kuah sate Kajang rasa macam sos ikan celup tepung...

Sama juga halnya dengan nasi kandar, semua menggunakan nama ‘Penang’ @ Pulau Pinang sebagai tarikan pelanggan. Pantang ada restoran baharu dibuka pasti ditampal tanda ‘Nasi Kandar Penang’.

Sebagai penggemar tegar nasi kandar, saya tahu yang mana ori yang mana palsu. Pernah saya masuk ke sebuah restoran baharu kerana tertarik dengan poster ‘Nasi Kandar best punya dari Penang’.

Namun, sebaik masuk dan melihat hidangan yang dipamerkan, saya tahu ini bukan nasi kandar sebenar. Lucu, antara lauk-pauk yang ditawarkan ialah ikan keli goreng bercili, dan tempe goreng berempah.

Sejak zaman Francis Light, tidak pernah tercatat dalam sejarah nasi kandar dimakan dengan sambal ikan keli, lebih-lebih lagi dengan tempe. Maaf cakap, tempe sinonim dengan Johor (Jawa), bukan makanan asal orang Pulau Mutiara, negeri kelahiran nasi kandar.

Di KL sekarang, Kak Wok dijadikan jenama di restoran dan gerai menjual nasi bungkus. Sana-sini ada nasi Kak Wok. Saya mula diperkenalkan dengan nasi ori Kak Wok ketika bertugas di Kota Bharu, Kelantan kira-kira sedekad lalu. Sekali rasa terus mesra, dan jatuh cinta.

Ciri utama nasi Kak Wok ialah lauknya biasa sahaja, iaitu nasi putih, bersama ayam goreng, ayam gulai, sedikit timun dan sambal. Baik di KL mahu pun di negeri asal, satu lagi cirinya ialah murah. Rasanya? Hanya yang pernah makan yang ori, dapat membezakan.

Penjual keropok lekor di pasar-pasar malam sekitar KL menggunakan nama Losong sebagai menarik pelanggan. Pada hal mereka yang arif tentang makanan kegemaran orang Negeri Penyu itu tahu antara Losong auta dengan Losong fakta.

Kadang-kadang orang membeli betul-betul terikut-ikut – dan terpengaruh – pada nama, pada hal mereka sendiri tidak pasti kesahihan dan kualiti nama itu. Penjual durian selalu mendakwa buah yang dijual datang dari Batu Kurau, Perak. Penjual mangga harumanis mendakwa buahnya dari Perlis.

Siapa yang betul-betul tahu dan dapat membezakan buah Batu Kurau, buah Perlis, atau buah-buah lain yang berkenaan? Pada hemat saya, hanya si penjual yang betul-betul tahu buahnya!

Sama ada nama pada makanan, minuman, buah-buahan, atau apa sahaja produk, sekiranya tanpa rasa ori, lama-lama pelanggan akan lari. Pelanggan bukan sahaja memilih nama, tetapi juga mahukan kualiti.

Maka teringat saya bumi kelahiran, Muar. Bandar kedua terbesar di Johor ini – disebut juga Bandar Maharani – terkenal dengan mi bandung. Siapa sahaja ke bandar tepi sungai ini pasti akan menikmati mi bandung asli yang dijual di banyak lokasi.

Nama mi bandung Muar dijajakan juga di luar Johor. Di KL banyak restoran meletakkan mi bandung Muar dalam menu. Malah gerai bawah pokok dan tepi jalan pun menampal makanan tersebut sebagai salah satu hidangan pilihan.

Sebagai anak jati Muar, sejak zaman persekolahan lidah saya sudah biasa sangat dengan makanan berkenaan. Malah, hidung saya amat peka dengan aroma perencah udang kering yang menjadi ciri utama mi popular itu.

Banyak restoran di KL telah saya singgah untuk menikmati mi tersebut. Ada satu dua tempat yang menghidangkan mi bandung Muar betul-betul ‘ngam’ dengan lidah dan hidung saya.

Sebaik dihidangkan masih panas berasap, segera bau udang kering menusuk hidung. Warna kuah, keadaan mi yang kenyal berkilat, telur yang kuningnya sedikit memecah dalam kuah, sayuran segar, seekor dua udang basah, semuanya menepati spesifikasi mi bandung sebenar.

Sekali dihirup kuah yang masih berwap, terus meresap keaslian rasanya, betul-betul macam menikmati mi bandung di restoran berhadapan stesen bas sebelah pasar di bandar Muar.

Tidak sangka rasa ori Muar itu ada di Restoran MM Yankeez, Seksyen 15, Shah Alam. Maka saya tidak perlu lagi membayar tol RM40 untuk balik kampung, melepas gian makan mi berencah udang kering ini.

Maaf, ini bukan iklan. Dan sumpah, saya tidak ada share dalam restoran ini!

0 Komentar untuk " Kisah mi bandung Muar di Shah Alam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ