ISU dera, buli, samseng dan cabul dikaitkan sekolah bukan perkara baharu, tetapi kebelakangan ini, apabila beberapa kes besar lagi membahayakan dilaporkan media, ia menjadi semakin membimbangkan.
Sebab itu apabila saya dihubungi seorang rakan minggu lalu me-ngenai cucunya yang mengadu dibuli kawan-kawan sedarjah di sebuah sekolah agama dan bercadang mengeluarkan cucunya dari sekolah itu serta-merta kerana takut terus menjadi mangsa, saya tidak teragak-agak menyarankan dia berjumpa dan selesaikan masalah itu dengan pengetua sekolah itu.
Menurut sahabat saya itu, cucunya yang dalam Darjah Satu itu mengadu dadanya sakit. Dia barangkali disepak dan ditumbuk oleh dua tiga murid nakal.
Yang pasti ialah, entah kenapa, murid-murid itu telah merampas dan menyembunyikan sebelah kasut sekolah cucunya. Budak itu balik terincut-incut memakai kasut di sebelah kaki sahaja.
Apabila disiasat, pihak sekolah akhirnya kenal pasti ‘gengster’ yang menyembunyikan kasut cucunya, tetapi apabila disoal, budak itu diam seribu bahasa.
Sampai sudah kasut yang sebelah itu tidak dikembalikan. Dan kes itu tidak habis di situ sahaja.
Menurut cerita, seorang dari-pada tiga murid nakal itu bawa rotan dalam beg dan memberi amaran kepada cucu kawan saya dia akan disebat kalau dia mengadu kepada sesiapa pun.
Apakah mereka belajar bertindak demikian daripada filem di TV?
Ibu budak yang dikasari itu pun boleh tahan 'kedegilannya'.
Melalui guru sekolah, dia ‘paksa’ ibu bapa murid nakal itu ganti kasut yang disembunyikan itu.
“Bukan kerana mahal, tapi nak ajar ibu bapa budak itu bertanggungjawab atas kesalahan anak mereka. Sekurang-kurangnya anak mereka takut dan tidak buat perkara yang sama terhadap murid-murid lain,” katanya.
Rupa-rupanya, bukan sahaja kasut tidak dikembalikan, malah ketiga-tiga budak nakal itu tidak ke sekolah sehari selepas guru memaklumkan ibu bapa mereka tentang kenakalan anak mereka dan mahu budak-budak itu jumpa guru disiplin untuk menjawab soalan.
Memendekkan cerita, akhirnya sekolah pula ganti RM45 harga kasut itu. Sepatutnya, ibu bapalah yang bayar ganti rugi, bukan sekolah!
Begitulah ceritanya. Bayangkan, anak buat salah, ibu bapa pula bersubahat melindungi mereka. Tidak bertanggungjawab sungguh.
Saya tidak dapat mengelak untuk berfikir dan bertanya bahawa kalau dalam kes-kes kecil seperti itu pun ibu bapa sanggup melindungi anak-anak membuta-tuli, apakah mereka mampu bersikap adil sekiranya anak mereka terlibat dengan kes-kes berat apabila dewasa nanti.
Saya juga tidak dapat mengelak daripada membayangkan entah berapa ramai lagi pelajar dari beribu-ribu institusi pendidikan yang sedang menderita dibuli, didera atau sebagainya, sementara ibu bapa mereka membisu.
Saya percaya pembaca budiman sendiri dapat buat kesimpulan.
Saya setuju dengan seorang guru sekolah itu yang memberitahu, berdasarkan pengalamannya sendiri, memang ramai di kalangan ibu bapa yang sanggup menyebelahi anak-anak walaupun anak-anak mereka jelas terbukti bersalah.
Hairan sungguh. Apakah ibu bapa seperti itu tidak belajar daripada pengalaman atau se-kurang-kurangnya daripada laporan media.
Saya sarankan ibu bapa yang suka bersekongkol dengan anak-anak yang jahat supaya tonton filem Anak-ku Sazali bersama anak-anak mereka untuk jadikan iktibar.
Filem melodrama tahun 1956 itu diarah oleh Phani Majumdar dari India, dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai pembantu pengarah dan pelakon dua watak.
Melalui filem itu P Ramlee muncul sebagai pelakon lelaki terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik keempat pada 1957 di Tokyo, sementara Tony Castello, atau nama Islamnya Mohd Nor Abdullah, yang berlakon sebagai Sazali semasa kecil, jadi pelakon kanak-kanak terbaik.
Dalam filem Anak-ku Sazali, anak kecil yang nakal itu menjadi kepala gengster apabila dewasa, mengganas, merompak dan merogol anak bapa saudaranya sendiri, bahkan menjadi anak derhaka dan kurang ajar kepada bapa sendiri.
Kebejatan Sazali menjadi berita hangat di surat khabar hingga merosakkan nama baik bapa sendiri yang hampir-hampir bersekongkol dengan anak kesayangannya itu.
Semuanya kerana sikap seorang ayah yang terlalu memberi kebebasan, memanjakan dan melindungi anak walaupun diketahui menipunya serta terlibat dengan jenayah sejak kecil lagi.
0 Komentar untuk " Ambil iktibar filem Anak-ku Sazali "