Riba punca kehidupan tidak berkat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Riba punca kehidupan tidak berkat



RIBA adalah 'ziyadah', 'kenaikan' atau 'berlebihan' pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal berlaku pada sesuatu jenis kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah. Contohnya, beri RM1,000 dan minta bayar balik RM1,100. Maka RM100 adalah riba sama ada wujud rasa tertindas atau tidak. Paling popular kini adalah pinjaman wang di bank konvensional untuk membeli rumah, kereta, pinjaman peribadi atau modal perniagaan dengan faedah. Penalti tambahan akibat lewat bayar juga dikira riba. Contohnya, perlu membayar RM2,000 dalam masa lima bulan tetapi penghutang tidak membayar dalam tempoh itu, lalu penghutang meminta tangguh dengan dikenakan syarat daripada RM2,000 menjadi RM2,050 kerana lewat bayar. Lebihan RM50 itu adalah riba.

Riba juga boleh berlaku dalam pertukaran barang dengan barang yang diklasifikasikan sebagai ribawi, antaranya tukar emas lama seberat dua gram dengan emas baharu dua gram. Jika ada pertambahan atau pengurangan, maka ia adalah riba. Imam an-Nawawi berkata, "Telah ijma' seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu', 9/391).

Penghuni neraka 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah sudah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. "Orang yang sudah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang sudah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Adalah menjadi fenomena amat malang bagi umat Islam, apabila mereka leka dan tidak ambil endah mengenai besarnya dosa riba. Dalil menjelaskan, pemakan dan pemberi riba seolah-olah berperang dengan Allah SWT serta Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba, sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 278) Jelaslah, sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan rasul-Nya.

Hidup tidak berkat 

Bentuk kehilangan berkat di dunia harta mereka yang terbabit dengan riba mudah hilang atau habis melalui jalan tidak berfaedah sehingga dia rasa miskin dan fakir walaupun mempunyai wang yang banyak. Malah, harta itu menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan dan menghinakan diri di sisi Allah SWT. Hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba. Daripada Ibn Mas'ud, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad)

Sementara di akhirat nanti, setiap amalannya di dunia tidak diterima. Berkatalah Ibn Abbas: "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.' Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka yang mengamalkan riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri kerana Nabi SAW bersabda: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (Riwayat Ibn Majah, sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat syafaat 

Kesan riba, terutama kepada mereka yang mengetahuinya lagi besar apabila orang yang memakan riba disamakan seperti seorang yang melakukan zina sebanyak 60 kali. Hakikatnya, riba termasuk dalam tujuh dosa besar di samping syirik, sihir, membunuh, makan harta anak yatim, lari dari medan perang serta menuduh perempuan suci dengan zina. Namun, sedarkah kita dan mereka yang berada di sekeliling, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba selepas pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu hingga terkeluar daripada senarai yang boleh mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.

Berhati-hati dan wajib bagi semua Muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita bimbang, rasa tidak peduli itu adalah satu keingkaran terhadap hukum haramnya, seterusnya boleh menjatuhkan seseorang dalam kekafiran yang melayakkan mereka kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti dan pelbagai lagi alasan orang di zaman ini untuk berubah daripada pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, tidak wajar sama sekali wujud dalam hati seorang Muslim.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199979
0 Komentar untuk " Riba punca kehidupan tidak berkat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ