Mahkamah perlu saling melengkapi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mahkamah perlu saling melengkapi

KEPUTUSAN kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Azmi Mohamad Azam @ Roneey melawan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak di tengah-tengah kerancakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak minggu lepas menjadi topik yang hangat dibincangkan dalam kalangan aktivis undang-undang.

Kes ini adalah berkaitan dengan permohonan Azmi Mohamad Azam @ Roneey yang antara lain memohon deklarasi beliau adalah seorang Kristian dan memohon Jabatan Agama Islam Sarawak mengeluarkan ‘surat murtad’ kepada beliau kerana beliau berhasrat keluar Islam.

Mengikut fakta dalam penghakiman, kedua ibu bapa Azmi adalah daripada kaum Bidayuh dan beragama Kristian tetapi telah memeluk Islam pada tahun 1983 pada ketika beliau berusia lapan tahun. Azmi mendakwa beliau dibesarkan sebagai Kristian dan telah keluar agama Islam pada tahun 1999 dan dibaptiskan oleh Sidang Injil Borneo.

Hakim Datuk Yew Jien Kie telah memutuskan membenarkan permohonan Azmi. Tidak berpuas hati dengan keputusan ini pihak kerajaan telah merayu terhadap keputusan hakim bicara itu namun rayuan tersebut ditarik balik semasa kehangatan kempen PRN Sarawak. Isu penarikan balik rayuan ini ditimbulkan semasa kempen pilihan raya di mana ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan jadikannya sebagai bahan kempen pilihan raya.


Saya sengaja tidak menulis isu ini lebih awal kerana tidak mahu artikel ini diambil kesempatan oleh pihak tertentu dalam berkempen. Oleh kerana keputusan PRN Sarawak telah pun selesai barulah saya selesa menulis mengenai isu ini.


Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah mengapa pihak kerajaan menarik balik rayuan ini, tidakkah difikirkan semasak-masaknya dahulu sebelum keputusan dibuat untuk merayu? Keadaan ini menimbulkan tanggapan pelbagai pihak berkaitan penarikan balik rayuan tersebut.

Sebagai seorang pengamal undang-undang saya agak terkilan dengan penarikan balik rayuan tersebut. Setelah meneliti alasan penghakiman yang dikeluarkan, saya berpendapat terdapat beberapa isi alasan penghakiman yang perlu dirayu kerana ia bertentangan dengan penghakiman mahkamah yang lebih tinggi, yang memutuskan sebaliknya.

Mahkamah sivil memegang kepada konsep stare decisis iaitu keputusan mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah bawahannya. Adalah amat jelas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching ini amat bertentangan dengan prinsip yang telah digariskan oleh mahkamah lebih tinggi umpamanya kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Soon Singh Bikar Singh melawan Perkim, Teoh Eng Huat melawan Kadhi Pasir Mas dan banyak lagi. Kesemua kes tersebut adalah lebih tinggi dari mahkamah tinggi yang sewajarnya terikat dengan keputusan tersebut.

Oleh yang demikian sepatutnya mahkamah yang lebih tinggi diberikan peluang untuk meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Kuching tersebut dan rayuan tidak ditarik balik.

Walaupun ia merupakan hak litigan dalam sesuatu prosiding untuk menarik balik rayuan, seharusnya pihak kerajaan tidak membenarkan suatu penghakiman yang bertentangan dengan penghakiman mahkamah atasan tidak diperbetulkan. Isu pemelukan dan keluar agama Islam adalah isu agama Islam yang mana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutusnya.

Sudah menjadi undang-undang yang selesai (trite law) bahawa perkara sedemikian terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa mahkamah syariah bukan mahkamah sivil. Apatah lagi dengan adanya perkara 121(1A)  dalam Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil tidak lagi boleh mengganggu, meminda, mengakas ataupun tidak menghiraukan keputusan mahkamah syariah yang dibuat dalam bidang kuasanya.

Saya sering menulis di ruangan media berkenaan isu pertindihan bidang kuasa ini. Kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah hendaklah memainkan peranan sebagai saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, bukan bersaing antara satu sama lain. Namun, walaupun telah digariskan dengan jelas masih terdapat penghakiman yang tidak menjiwai semangat ini.

Natijahnya wujudlah konflik pertindanan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Persoalannya sampai bilakah konflik ini mahu dihadapi? Selagi kedua-dua mahkamah ini tidak menginsafi sempadan bidang kuasa yang telah diwujudkan maka selagi itulah konflik sebegini akan terus menjadi modal ahli politik meraih simpati rakyat.

Isu pemelukan dan keluar Islam ini bukan sekadar isu pentadbiran tetapi melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan persoalan mengenai tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu sudah sewajarnya mahkamah yang lebih tinggi memuktamadkan keputusan tersebut.

Tindakan pihak kerajaan menarik balik rayuan kes ini dilihat sebagai mempunyai agenda pilihan raya khususnya kerana ia dibuat semasa kehangatan PRN Sarawak.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Mahkamah perlu saling melengkapi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ