Kembalikan kecemerlangan umat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kembalikan kecemerlangan umat

KEMUNDURAN umat Islam antara lainnya disebabkan kesilapan meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan. Mereka seharusnya melakukan anjakan paradigma bermula daripada diri sendiri sebelum memperbetulkan orang lain.

Umat Islam perlu beralih daripada lensa konvensional kepada yang lebih terkini, daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Juga beralih daripada perdebatan yang hanya mahu mementingkan kemenangan kepada cetusan idea membuahkan hasil serta meminggirkan sikap emosional kepada menguasai ilmu.

Anjakan paradigma atau melakukan penghijrahan minda dan tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam.

Penghijrahan ini merupakan proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah yang ditunjukkan melalui sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah dalam usaha memartabatkan agama ALLAH, iaitu Islam yang akhirnya, Islam berkembang ke seantero pelosok dunia.

Menurut Syeikh Naquib Al-Attas dalam lembaran sejarah peradaban Islam, mendefinisikan tamadun sebagai pembangunan yang seimbang antara lahiriah (fizikal) dan rohaniah (spiritual).

Kedua-dua aspek ini adalah saling kait-mengait dan sangat penting di dalam membentuk jati diri umat Islam yang sempurna. Inilah kehebatan Islam melalui bimbingan wahyu ALLAH serta penjelasan hadis daripada Rasulullah SAW.

Islam juga mempraktikkan konsep syumul, tidak terikat asalkan ia menepati kehendak syariat Islam. Sifat Islam yang fleksibel dalam kehidupan manusia menjadikan agama suci ini memberi ruang dan peluang untuk mencapai kecemerlangan asalkan tidak menidakkan perintah ALLAH SWT.

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu di rantau ini, perubahan yang fundamental bermula daripada sektor perdagangan (zaman kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) telah membawa impak besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam.

Perkara ini dapat dilihat daripada segi sikap, pandangan hidup orang Melayu itu sendiri. Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sekadar sederhana mencorakkan pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani dan berpandu untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun itu wahananya adalah ilmu. Rasullullah SAW yang bermaksud “Jika kamu ingin berjaya di dunia dapatkanlah dengan ilmu begitu juga di akhirat sana.”

Dengan ilmu, umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan yang melanda khususnya segala permasalahan yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam. Ketirisan minda umat Islam ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh golongan kuffar untuk menghancurkan Islam secara senyap (silent-movement) mahupun terang-terangan dari segi akidah dan akhlak umat Islam.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ketika ini ialah pelbagai isu yang melanda negara diukur dari parameter politik kepartian semata-mata di kalangan orang Melayu/Islam. Hal yang sama tidak berlaku di kalangan orang bukan Islam yang sentiasa melihat sesuatu dari lensa yang menguntungkan kepentingan kaum dan bangsa mereka.

Isu penggunaan kalimah ‘ALLAH’ di kalangan orang bukan Islam umpamanya diungkapkan sebagai tindakan politik kepartian oleh pihak tertentu walaupun sepatutnya dilihat dari kaca mata agama disesuaikan dengan uruf tempatan. Sikap fanatik kepada politik kepartian dan tidak memahami waqi setempat menjadi faktor mengongkong kegemilangan umat Islam.

Ketika ini masyarakat lebih mementingkan hak asasi berbanding dengan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan. Hal demikian menjadikan seseorang itu lebih mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan awam. Natijahnya umat Islam secara keseluruhannya tergelincir dari landasan kegemilangan itu sendiri.

Jika kita ingin membina sebuah rumah mestilah mempunyai asasnya seperti daripada bahan mentah seperti pasir dan simen, serta  tiang dan batu bata selain bahan-bahan lain.

Analogi ini saya garapkan dalam usaha membina asas kecemerlangan umat Islam iaitu ia mestilah dibentuk dengan adunan asas utama iaitu ilmu, iman dan akhlak yang menjadi tunjang kepada pohon yang berbuah manis dan lebat kelak.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Kembalikan kecemerlangan umat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ