Jangan mempersendakan mufti - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan mempersendakan mufti



BARU-baru ini heboh diviralkan seorang pengamal undang-undang mempersoalkan kedudukan mufti seolah-olah mufti mempunyai kuasa yang mutlak membuat hukum.

Sebenarnya dalam isu-isu yang masih tidak jelas umat Islam memerlukan fatwa bagi membimbing mereka melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Kedudukan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan oleh pihak kerajaan pernah dicabar di mahkamah beberapa tahun lalu. Dalam  kes  Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu, Mahkamah Persekutuan telah dihujahkan bahawa fatwa-fatwa mufti yang telah diwartakan itu adalah tidak berperlembagaan dan terbatal.

Ini adalah kerana institusi kefatwaan didakwa tidak mempunyai kuasa legislatif dalam membuat undang-undang.

Hujahan sebegini mempunyai implikasi yang besar terhadap institusi kefatwaan di negeri Terengganu khususnya dan di Malaysia amnya. Walau bagaimanapun Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan digazetkan bukanlah tidak berperlembagaan dan sah dalam kerangka undang-undang negara.

Kesan daripada penghakiman tersebut fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Malah terdapat kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri apabila seseorang itu melanggar fatwa mufti yang telah digazetkan dan boleh dihukum tanpa sebarang kegusaran lagi.

Selesai isu kedudukan di sisi undang-undang berkaitan fatwa mufti dengan penghakiman dalam kes Sulaiman Takrib, tetapi institusi mufti masih lagi diperlekehkan.

Pada masa ini masyarakat sudah tidak segan silu lagi mempertikai dan mempersenda fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti. Gambaran yang diberikan mufti mengeluarkan fatwa secara semberono dan tidak ada kajian dilakukan. Apabila ahli jawatankuasa fatwa membuat keputusan secara sebulat suara, hanya mufti sahaja yang menjadi sasaran kritikan seolah-olah mufti secara berseorangan membuat fatwa tersebut.

Fatwa mengenai ESQ contohnya yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu bukan sahaja dipertikai, malah dicabar di mahkamah juga. Namun mahkamah sivil telah enggan campur tangan dalam fatwa yang dibuat mengikut undang-undang dan hukum syarak. Juga fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengenai tarian poco-poco tidak berapa lama dahulu dipertikai termasuklah bekas mufti ketika itu ahli politik dan kalangan yang sengaja memperbesarkan isu agama.

Sebagai pengamal undang-undang saya membuat analogi dengan mahkamah apabila seorang hakim membuat suatu penghakiman dan seorang bekas hakim membuat suatu penghakiman yang lain, sudah pasti penghakiman yang dibuat oleh hakim itu yang berkuat kuasa bukan penghakiman bekas hakim.

Begitu juga dalam kes fatwa ini, fatwa yang dibuat oleh mufti akan berkuat kuasa apabila fatwa tersebut digazetkan.

Sebenarnya jika seseorang itu tidak bersependapat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti ataupun pandangannya, forum yang sesuai untuk membincangkan pandangan tersebut bukanlah melalui media. Sepatutnya orang yang tidak bersependapat tersebut hendaklah mengumpulkan segala bukti dan dalil yang menyokong pandangannya serta berdialog dengan ahli jawatan kuasa fatwa bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Pergeseran pandangan yang diuar-uarkan melalui media tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Ia hanya akan menambah kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam sahaja.

Mufti adalah ulama yang merupakan waris para Nabi. Fatwa yang digarap bukan dibuat dalam sekelip mata sahaja. Saya berkesempatan menghadiri beberapa dialog Jabatan Mufti dalam usaha mereka memutuskan fatwa yang difikirkan sesuai dan perlu kepada masyarakat.

Saya hadir sebagai rujukan dalam bidang perundangan dan saya mendapati perbincangan diadakan begitu mendalam termasuklah mengambil kira pandangan tertentu yang diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang lain.

Kita sebenarnya amat bernasib baik apabila penghakiman dalam kes Sulaiman Takrib di atas memihak kepada kita. Sekiranya ia tidak berpihak, fatwa mufti akan hanya tinggal seperti nasihat sahaja dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang pula.

Namun yang sedihnya fatwa sering dijadikan objek cemuhan khususnya apabila sesuatu fatwa itu diuji dengan parameter hak asasi manusia. Apabila sesuatu hak asasi manusia itu dilihat tidak selari dengan fatwa, maka ramailah yang mengeluarkan pandangan agar sesuatu fatwa itu tidak dilaksanakan, tidak adil dan zalim.

Medan cemuhan pula adalah di medan sosial bukan dengan membuat representasi supaya fatwa itu dipinda sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang.

Fatwa bukanlah sesuatu yang langsung tidak boleh diubah, namun terdapat cara dan adab dalam mengubah sesuatu fatwa.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Jangan mempersendakan mufti "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ