Umur perkahwinan pada umumnya bukanlah berbangkit apabila membicarakan kesahihan sesuatu perkahwinan. Malah umur tidak menjadi syarat kepada sahnya sesuatu perkahwinan berbanding dengan undang-undang sivil. Ini kerana dalam undang-undang Islam, secara umumnya tidak ada had umur minimum dalam sesuatu perkahwinan telah ditetapkan walaupun tahap umur pasangan dalam perkahwinan adalah penting dalam menentukan kematangan melaksanakan tanggungjawab perkahwinan.
Had minimum umur perkahwinan menjadi isu berbangkit apabila berlakunya perkahwinan paksa di kalangan kanak-kanak perempuan bawah umur 18 tahun yang selalunya akan berakhir dengan penganiayaan dan dalam kes tertentu menyebabkan kematian akibat didera oleh suami yang biasanya lebih berusia.
Keadaan ini banyak dilaporkan berlaku di negara Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan. Usaha-usaha untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak ini telah bermula seawal abad ke 20 di Turki di mana kerajaan Uthmaniyyah di saat akhir kejatuhannya telah pun berjaya mengkanunkan Ottoman Family Rights 1917 di mana umur perkahwinan telah ditetapkan kepada 18 tahun untuk lelaki dan 17 tahun untuk perempuan mengambil pandangan mazhab Hanafi.
Walaupun kanun ini tidak berjaya dikuatkuasakan di Turki tetapi telah menjadi panduan dalam pengkanunan undang-undang keluarga Islam di negara Islam yang lain termasuklah Malaysia. Umur perkahwinan telah ditetapkan melebihi umur baligh iaitu 15 tahun ke atas. Kebenaran dari pihak mahkamah adalah perlu jika perkahwinan perlu dilangsungkan melibatkan kanak-kanak bawah umur yang ditetapkan. Bagaimanapun, had minimum umur perkahwinan tidaklah membatalkan sesuatu perkahwinan jika ianya berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa.
Ini berlainan dalam undang-undang sivil kerana perkahwinan kanak-kanak adalah batal jika tidak mendapat persetujuan mahkamah. Ini dikuatkan lagi dengan Deklarasi Antarabangsa Pendaftaran, Persetujuan dan Umur Perkahwinan 1962 yang meminta negara anggota mengadakan undang-undang mengenai pendaftaran perkahwinan, persetujuan wanita yang hendak berkahwin dan juga had minimum umur perkahwinan dalam menanggani perkahwinan paksa dan perkahwinan kanak-kanak.
Kedudukan Umur Perkahwinan dalam Islam
Undang-undang Islam ada membincangkan tentang had umur yang sesuai untuk berkahwin walaupun tidak menyebut tentang had umur minimum. Ini dapat dilihat dalam al Quran:
Dan ujilah anak-anak yatim itu sehingga mereka telah sampai umur baligh (balaghu annikah), kemudian jika kamu melihat mereka telah mempunyai kematangan fikiran maka serahkanlah harta mereka…
Walaupun ayat di atas membincangkan tentang sifat-sifat jahiliyyah yang cuba untuk memonopoli harta anak yatim perempuan dengan mengahwini mereka atau dikahwinkan dengan anak lelaki dengan bertujuan untuk mendapat sebahagian dari harta mereka dan tidak memberikan kepada mereka maskahwin, ayat ini juga penting dalam mengambil kira bahawa umur baligh adalah umur yang sesuai untuk tujuan perkahwinan walaupun tahapnya berbeza dari seorang kepada seorang yang lain.
Kesempurnaan aqal fikiran akan terbentuk selepas anak tersebut mencapai umur baligh sehingga mereka dibenarkan untuk menguruskan harta sendiri. Atas dasar ini jugalah berlaku perkahwinan antara Aishah dengan Rasulullah SAW semasa berumur 6 tahun dan hubungan perkahwinan hanya berlaku apabila Aishah berumur 9 tahun (hadis ini menjadi pertakaian ulama muktabar sejak dahulu). Ibn Hazm, menghujjahkan bahawa keadaan itu hanya terpakai kepada Rasulullah SAW sahaja dan tidak boleh dijadikan hujjah untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak.
Apa yang dapat dilihat dari perbincangan tersebut ialah penekanan kepada kematangan fikiran iaitu umur baligh sebagai ukuran dalam menentukan kepada kelayakkan untuk berkahwin kerana faktor kematangan mungkin berbeza antara individu disebabkan oleh pelbagai faktor terutama faktor persekitaran dan juga peluang pembelajaran. Oleh itu tidak ada nas yang sahih meletakkan had umur tertentu sebagai umur minimum.
Walaupun begitu, tidaklah menjadi halangan untuk meletakkan satu tempoh had minimum berdasarkan kepada maslahah kanak-kanak itu sendiri terutama anak-kanak perempuan yang memikul tanggungjawab rumahtangga, mengandung dan melahirkan anak yang boleh membahayakan kesihatannya jika mereka tidak bersedia dan peringkat umur yang terlalu muda.
Ulama Islam terutama dalam mazhab hanafi sudah meletakkan umur perkahwinan kepada 18 bagi lelaki dan 16 bagi perempuan sebagai had umur maksimum baligh. Kebanyakkan ulama meletakkan umur baligh 15 tahun berdasarkan kepada hadith yang berkisar tentang kebenaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Usamah bin Zaid yang masih kanak-kanak pada masa itu untuk keluar berperang.
Perbincangan di atas menunjukkan umur perkahwinan adalah sesuatu yang juga dititikberatkan dalam mencapai objektif perkahwinan dan memenuhi kontrak dan tanggungjawabnya. Sudah tentu taklif ini tidak boleh dipikul oleh kanak-kanak yang belum mencapai umur kematangan (baligh dan al rushd).
Kedudukan dan Peranan wali
Secara umumnya, anak-anak yang belum mencapai umur baligh hanya boleh berkahwin jika mendapat kebenaran dari bapanya sebagai wali. Tujuannya adalah untuk memastikan kebajikan anak tersebut terjamin apabila tanggungjawab menjaga perempuan itu bertukar tangan kepada suaminya.
Ini yang menjadi asas kepada perundangan dalam Mazhab Hanafi yang memberikan kebebasan mutlak kepada anak perempuan itu untuk membuat keputusan apabila telah mencapai umur baligh. Manakala Imam Shafi’e memakai prinsip yang lebih ketat iaitu wali masih bertanggungjawab selagimana anak perempuan itu masih anak dara. Persetujuan wali untuk berkahwin tidak diberatkan kepada janda.
Walaupun tujuan perundangan ini sebenarnya lebih untuk memberi perlindungan kepada wanita Islam yang ingin berkahwin dan bapa sepatutnya bertanggungjawab menentukan kelayakkannya, tetapi kejahilan tentang maqasid perundangan telah mengundang banyak masalah dalam perlaksanaan kerana sifat bapa yang terlalu mengongkong dan dalam keadaan yang lain anak perempuan tersebut ingin berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu atau sama taraf dengan nya.
Dalam hal yang lain, bapa juga bersubahat mengahwinkan anak perempuan bawah umur kepada orang tertentu disebabkan faktor budaya dan juga masalah kewangan disebabkan kemiskinan. Tujuan pewalian dalam hal ternyata telah disalahtafsir dan bersalahan dengan undang-undang Islam. Keadaan ini juga memberi justifikasi bahawa had umur perkahwinan perlu dikanunkan untuk mengelakkan dari berlakunya pertembungan budaya yang meletakkan kanak-kanakperempuan dalam ancaman keganasan.
Umur Perkahwinan dalam Undang-undang Malaysia
Pengkanunan undang-undang tentang had umur perkahwinan telah pun dilakukan di seluruh dunia kecuali di negara yang tidak mempunyai kanun undang-undang seperti Saudi. Seluruh negara Islam yang lain sudah pun meletakkan had minimum umur perkahwinan di antara 15 hingga ke 18 tahun. Jika perkahwinan bawah umur 15 tahun hendaklah mendapat kebenaran dari pihak mahkamah.
Di Malaysia, umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Peruntukan ini terpakai di semua enakmen negeri-negeri di seluruh Malaysia. Manakala bagi bukan Islam had umur minimum juga sama. Perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang ditetapkan adalah sangat tidak digalakkan.
Bagaimanapun perkahwinan tersebut jika dilangsungkan dengan kebenaran mahkamah, perlahwinan tersebut adalah sah. Walaupun perkahwinan kanak-kanak bawah umur jarang berlaku, terdapat juga keadaan di mana pihak mahkamah terpaksa memberi kebenaran berkahwin untuk mengelakkan berlakunya perbuatan yang tidak bermoral seperti zina atau khalwat yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
Bagaimanapun perkahwinan tersebut diuruskan oleh pihak-pihak tertentu dengan persetujuan bersama. Keadaan ini juga mungkin disebabkan oleh polisi pembelajaran yang tidak mewajibkan kanak-kanak belajar sehingga ke peringkat menengah. Ini memberikan kelonggaran kepada anak-anak remaja yang tidak mahu meneruskan pelajaran memilih untuk berkahwin lebih awal.
Kesimpulan
Keadaan di atas menjelaskan bahawa terdapat beberapa pembaharuan perlu dilakukan sama ada dari aspek perundangan, perubahan polisi yang positif kepada pembangunan kanak-kanak, perubahan polisi pendidikan yang memberi peluang kepada semua peringkat kanak-kanak untuk belajar dalam bidang-bidang yang boleh membantu kehidupan di masa akan datang untuk mengelakkan keciciran dan seterusnya terjerumus dalam kemiskinan dan penyakit sosial yang lain.
Oleh itu saranan untuk meletakkan had minimum umur perkahwinan kepada 18 tahun secara positifnya boleh menjayakan maksud ini jika dibantu oleh polisi-polisi lain terutamanya di Malaysia di mana kebanyakan syarat minima untuk mendapat pekerjaan dalam sektor tertentu memerlukan kepada SPM. Di samping itu juga pengecualian masih lagi boleh diberikan oleh pihak mahkamah jika perkahwinan perlu dijalankan bawah had umur minimum tersebut. – Wanita Ikram/ Jawi / E-Fatwa Malaysia/ Undang-Undang Keluarga Malaysia/ www.Tarbawi.Com/
http://www.mdn.org.my/?p=2061
0 Komentar untuk " Had Umur Perkahwinan Islam Menurut Hukum Syarak "