hoUSe beri ruang tentukan reka bentuk rumah idaman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

hoUSe beri ruang tentukan reka bentuk rumah idaman

Di negara kita, harga rumah yang dianggap melampau kerana kediaman bertanah yang keluasannya cukup minimum hinggakan yang paling murah berharga RM400,000 pada masa ini. Begitu juga dengan pangsapuri yang mencecah harga sama, menyebabkan ramai mengeluh terutama golongan muda yang baharu memulakan kehidupan berkeluarga, walaupun permintaan terhadap hartanah jenis ini sangat tinggi. Keadaan ini juga mendatangkan keresahan dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana kerana harga berkenaan bukanlah sesuatu yang dianggap dapat dijangkau dengan mudah dan dianggap sangat membebankan bagi golongan berpendapatan rendah. Apa yang lebih sukar difahami, harga tinggi itu bukan sahaja membabitkan kediaman di kawasan bandar, tetapi juga di kawasan yang jaraknya sehingga 50 kilometer dari pusat bandar. Ini menyebabkan banyak pihak memberikan reaksi pelbagai mengenai situasi itu yang memperlihatkan tidak ada kawalan terhadap harga yang tinggi manakala pemaju perumahan pula dilihat lebih memberikan tumpuan terhadap pembinaan rumah berharga tinggi. Ini menjadikan banyaknya projek yang sedang dilaksanakan ketika ini menjadi rumah mampu tengok kepada sebahagian besar penduduk, manakala rumah yang benar-benar mampu milik hanya sedikit ditawarkan.

Kos pembinaan berpatutan 

Kurangnya bilangan projek perumahan yang mampu dimiliki kebanyakan rakyat negara ini menyebabkan ada yang mengambil pendekatan sendiri dalam menyediakan kediaman dengan antara kaedah dilihat agak trending pada masa ini adalah membina rumah kontena yang mana kos pembinaannya yang agak berpatutan selain mampu memenuhi cita rasa pemiliknya. Walaupun sesetengah orang mungkin menganggap kaedah ini kurang praktikal dan mungkin tidak bersesuaian dengan iklim tempatan bagi dijadikan kediaman kekal, namun bagi golongan bujang dan berkeluarga kecil ia mampu memberikan keselesaan dan juga sebagai permulaan untuk mereka memulakan kehidupan sebelum mengumpul modal untuk berubah kepada bahan binaan yang lebih kekal sesuai dengan keperluan keluarga yang semakin membesar. Dari segi kos, ia lebih rendah daripada membeli pangsapuri yang tidak mampu diperbesarkan lagi apabila kewangan pemiliknya sudah semakin kukuh atau wujud keperluan memilik ruang yang lebih besar.  Apa pun, dalam mencari penyelesaian kepada kaedah pembinaan yang lebih menarik dan dapat memenuhi cita rasa pemiliknya selain harga yang berpatutan dan mampu dimiliki semua, kaedah pembinaan diperkenalkan pemaju perumahan Urban Splash dan arkitek shedkm di United Kingdom, melalui fasa pertama projek yang dinamakan hoUSe boleh dijadikan panduan serta ilham kepada pemaju perumahan di negara ini atau individu dalam menawarkan kediaman kepada pembeli rumah di negara ini. Namun, apa diharap adalah idea yang dicetuskan ini tidak digunakan pemaju perumahan di negara ini untuk mengaut keuntungan besar dengan menawarkan rumah sedemikian pada harga tinggi berbanding sikap ditunjukkan pemaju dan arkitek dari Barat ini dalam menyediakan penyelesaian kepada kediaman yang selesa dan mampu dimiliki semua terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sentuhan seni reka menarik 

Menawarkan orang ramai kediaman yang mendapat sentuhan seni reka menarik di kawasan terusan di New Islington, Manchester, pembangunan ini memberikan pembeli kuasa dalam menentukan reka bentuk rumah mereka.  Bagi projek pertama yang membabitkan pembinaan sebanyak 34 unit rumah, arkitek dan pemaju mengguna pakai pendekatan rumah teres tradisional, tetapi pelan lantainya boleh ditukar bagi kesesuaian pemiliknya sama ada mahukan satu, dua, tiga, empat atau lima bilik dengan pelan terbuka atau kekal dengan ciri lama. Pendekatan hoUSe dianggap sebagai alternatif kepada skim perumahan massa di sekitar United Kingdom dari segi reka bentuk dan tempoh siap. Rumah yang terletak di New Islington ini diperbuat daripada kayu keras dan dibawa ke tapak pembinaan dengan dipastikan pembinaannya tidak memberi sebarang gangguan kepada kawasan kejiranan. Kelebihan menggunakan kaedah ini adalah piawaian reka bentuk dapat dipantau di kilang yang bermakna rumah dihasilkan mampu memberikan kehangatan kepada penghuni selain jimat tenaga dan lebih fleksibel dari segi pelannya.

Revolusi pembinaan 

Dengan rekaan moden yang agak menonjol memaparkan bumbung senada, hoUSe agak popular dan mendapat permintaan yang baik yang mana semua 43 unit rumah berkenaan dapat dijual sebelum pelancarannya. Bukan sahaja kaedah pembinaannya dianggap sebagai satu revolusi tetapi juga penerimaannya dalam kalangan pembeli.  Bagi menghasilkan konsep ini, arkitek shedkm dan Urban Splash lebih melihat kepada kaedah penyampaian dan tapak pembinaan yang mana ia difikirkan sesuai dan dapat diterapkan dengan mudah di pelbagai bentuk muka bumi di seluruh United Kingdom. Tapak pembinaan bagi projek hoUSe di New Islington adalah panjang tetapi tidak lebar dan rumah yang didirikan di sini merangkumi jenis dua dan tiga tingkat. Reka bentuk luarnya yang diwarnakan kelabu menonjolkan tingkap unjur yang memberikan pemiliknya pandangan luar menarik iaitu bandar Manchester selain membenarkan kemasukan cahaya yang banyak ke dalam rumah. Struktur susunan ruang dalaman membolehkan pemilik menentukan sama ada mahukan lantai pertama bertindak sebagai kawasan penyimpanan atau ruang yang menghadap halaman, bermakna ruang tamu boleh berada di ruang bawah atau atas. Pendekatan atas bawah ini pertama kali dilaksanakan shedkm dan Urban Splash bagi sebuah projek di Chimney Pot Park, yang mana halaman terletak di tingkat satu bagi memberikan laluan kepada ruang meletak kenderaan di bahagian bawah yang mana penggunaan ruang adalah mengikut apa yang terbaik sesuai dengan kawasan bandar yang keluasannya agak terhad. Pembangunan ini kini menjadi kawasan perumahan contoh di kawasan ini.

Tangani masalah kekurangan rumah 

"Pihak kami gembira fasa pertama projek hoUSe berjaya disiapkan di New Islington. Konsep ini sudah lama untuk diterapkan dan kami percaya ia akan menjadi permulaan dalam menangani masalah kekurangan rumah di negara ini. Menariknya projek ini mampu membuatkan pemiliknya berbangga dapat tinggal di dalamnya," kata Pengarah shedkm, Ian Killick. Pengarah Urban Splash, Tom Bloxham pula menambah konsep hoUSe lahir daripada keinginan menawarkan pelanggan yang inginkan kediaman yang menampilkan reka bentuk menarik dan tinggal dalam persekitaran pusat bandar. "Apa yang kami perhatikan, di kebanyakan bandar di United Kingdom kurangnya kepelbagaian dari segi kawasan kediaman baharu dan pelanggan tradisi - yang selama ini membeli dan tinggal di pangsapuri Urban Splash - yang sudah tentu nanti akan mempunyai kewangan lebih kukuh dan semakin meningkat usia, akhirnya akan berpindah dan tinggal di rumah dengan reka bentuk Victorian dan Georgian di pinggir bandar. "Kaedah hoUSe adalah cara kami menawarkan sesuatu di kawasan bandar. Ia adalah satu prospek yang menarik dan saya amat teruja memandangkan projek kami yang pertama adalah lebih 20 tahun lalu. Dengan harga bagi satu kaki persegi lebih rendah dari pangsapuri di pusat bandar, juga kos penyelenggaraan yang rendah berbanding rumah gaya Victoria atau pangsapuri lain serta ruang lantai yang luas, siling tinggi dan tingkap yang lebar, ia akan diterima dengan baik dalam kalangan pembeli dan saya yakin ia akan memberikan masa depan yang baik kepada Urban Splash," katanya.

Elak keseragaman 

Kesimpulannya, walaupun di Malaysia sudah ada teknik pembinaan yang dikatakan sebagai pasang siap yang mana bahagian rumah dibina di kilang yang kemudiannya dipasang di tapak pembinaan, apa yang ditawarkan ini adalah pembaharuan yang boleh dicontohi dalam memberikan kepuasan kepada pelanggan dalam menentukan pelan lantai mengikut cita rasa dan kesesuaian mereka. Ia juga mengelakkan keseragaman yang membuatkan sesebuah pembangunan nampak bosan dengan apa yang lebih penting adalah ia mampu ditawarkan pada harga lebih berpatutan dan memberikan penyelesaian kepada masalah perumahan yang menghantui golongan muda di negara ini.  Apa yang dilihat juga, peranan ini boleh dimainkan kerajaan negeri melalui perbadanan kemajuan negeri masing-masing kerana akses kerajaan negeri kepada tanah yang mana selain memberikan sedikit keuntungan kepada kerajaan negeri ia sekali gus dapat memastikan kesejahteraan hidup rakyat bukan saja dalam tempoh jangka pendek.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/140588
0 Komentar untuk " hoUSe beri ruang tentukan reka bentuk rumah idaman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ