Malik pikat Rajinikanth pilih Malaysia lokasi penggambaran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malik pikat Rajinikanth pilih Malaysia lokasi penggambaran

MALAYSIA sememangnya antara negara yang sering menjadi tumpuan ramai pelancong. Bukan sahaja memiliki keunikan dek kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, latar belakang negara ini yang dihiasi banyak destinasi menarik juga antara faktor tarikan.  Mungkin perkara terpenting di kaca mata orang asing ialah penduduk Malaysia peramah dan cepat mesra dengan sesiapa saja termasuk pelawat asing. Tidak hairanlah Malaysia beberapa kali menjadi pilihan untuk lokasi penggambaran filem oleh produksi luar negara, antaranya filem Police Story arahan aktor terkenal Hong Kong, Jackie Chan dan Entrapment yang membariskan pelakon terkenal Hollywood iaitu Sean Connery dan Catherine Zeta Jones.

Malaysia pilihan Rajinikanth 

Yang terbaru, fenomena 'Superstar Rajinikanth' melanda negara, apabila pelakon terkenal India itu memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem terbarunya, Kabali dengan lokasi lain di Chennai, Hong Kong dan Bangkok. Mungkin ramai tidak tahu bahawa pada asalnya aktor itu memilih Singapura sebagai lokasi, namun mengubah haluan ke Malaysia gara-gara termakan pujukan seorang rakyat negara ini. Rakyat Malaysia berjaya memujuk Rajinikanth? Biar betul? Kenyataannya, ia benar-benar berlaku. 'Mantera' digunakan Datuk Abdul Malik Dasthigeer, 33, ternyata berhasil.

Pelakon paling berpengaruh di India itu bukan sekadar memilih Malaysia, malah menjadikan negara ini sebagai kediamannya selama lebih sebulan, sesuatu yang tidak pernah dilakukan selama ini. Sekadar info, Rajinikanth tidak pernah berada di luar negara melebihi seminggu atas pelbagai faktor, antaranya termasuk keselamatan, tetapi segala-galanya berubah selepas bertemu Abdul Malik. Khidmat cemerlang diberikan itu menerusi syarikatnya, Malik Stream Corporations Sdn Bhd bukan sahaja menjadikan aktor itu betah di negara ini, malah turut mempengaruhi produksi lain di India untuk datang ke Malaysia. "Saya sebenarnya tidak percaya dengan tuah yang jatuh ke riba. Siapa boleh percaya seorang pelakon yang sangat terkenal memilih saya antara sekian ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepadanya?

Naikkan nama negara 

"Saya sangat bersyukur sebenarnya, kerana berjaya memujuk beliau untuk memilih Malaysia berbanding Singapura. Ini cuma sebahagian usaha saya untuk menaikkan nama negara," katanya kepada BH di ibu negara, baru-baru ini.   Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau dan beberapa pegawai terbang ke India untuk bertemu dengan pengarah filem Kabali, Pa Ranjit sebaik mengetahui penggambaran filem berkenaan akan dilakukan di Singapura. "Di sana saya bukan hanya perlu meyakinkan pengarah, tetapi juga bertemu dengan Rajinikanth sendiri. Alhamdulillah, saya berjaya meyakinkan keseluruhan produksi untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran. "Saya mahu orang luar tahu bahawa Malaysia sebenarnya tak kalah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain. Kita mungkin tak ada ketulan ais seperti di Iceland, tapi kita ada banyak pantai, hutan dan kawasan pelancongan lain," katanya. Abdul Malik berkata, beliau berada bersama Rajinikanth setiap hari bagi memastikan segala keperluan serta kehendak produksi Kabali dapat dipenuhi.

Tidak hampakan peminat 

"Saya berada bersama beliau 24 jam dan hasilnya, kepercayaan yang terbina antara kami begitu utuh. Satu yang paling membuatkan saya kagum, walaupun kawalan keselamatan sangat ketat dan jadual Rajinikanth sangat sibuk, beliau tidak pernah menolak permintaan peminat yang ingin bersalaman atau bergambar dengan beliau," katanya. Rajinikanth juga jelas beliau, sangat merendah diri dan menolak ditempatkan di hotel mewah sepanjang berada di Malaysia. "Saya tak pernah bertemu dengan insan yang begitu merendah diri dan begitu ringkas walaupun sangat ternama. Berdamping dengan beliau membuatkan saya dapat mempelajari banyak nilai-nilai murni untuk diamalkan dalam kehidupan seharian," katanya. Apa yang menarik, produksi Kabali juga bersetuju untuk memuatkan iklan Tahun Melawat Malaysia 2016 apabila filem berkenaan ditayangkan di kesemua 6,000 pawagam seluruh dunia. "Ini satu penghormatan untuk kita, kerana seluruh dunia dapat menyaksikan keindahan Malaysia menerusi iklan 30 saat itu," katanya. Tidak hanya mempromosikan Malaysia, Kabali juga mencipta peluang untuk barisan pelakon Malaysia mempamerkan bakat masing-masing. "Beberapa pelakon tempatan turut dipilih bagi memegang watak antagonis dalam filem itu, antaranya aktor Datuk Rosyam Nor. Bayangkan pelakon kita bekerjasama dengan barisan pelakon terkenal dunia. Industri filem Bollywood lebih besar daripada Hollywood dan pelakon kita dipilih berlakon bersama," katanya.

Tambat hati produksi lain 

Kecemerlangan diberikan syarikat Abdul Malik turut menambat hati produksi lain untuk turut memilih Malaysia. "Selain Kabali, produksi filem Singam 3 iaitu prekuel kepada filem hit Singam dan Singam 2 yang dilakonkan aktor Suriya juga memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran. Mereka dijadualkan datang ke Malaysia bulan depan, dan kini sedang dalam proses memohon permit penggambaran daripada pihak berkuasa negara," katanya. Kedatangan Rajinikanth di negara ini juga adalah sejarah tersendiri untuk Abdul Malik. "Tidak pernah dalam sejarah, Rajinikanth merasmikan mana-mana pejabat atau premis perniagaan, tetapi pada 13 Februari lalu, beliau secara sukarela merasmikan premis perniagaan saya yang baharu. "Rupa-rupanya memang menjadi prinsip 'Superstar' itu untuk tidak merasmikan mana-mana premis perniagaan kerana tidak mahu namanya dimanipulasikan oleh mana-mana pihak,," katanya. Justeru, perasmian Wisma Malik dua bulan lalu membuka mata banyak pihak yang mula menyedari kehebatan anak jati Kuala Lumpur itu. "Rajinikanth saya sifatkan sebagai 'booster' yang melonjakkan nama dan perniagaan saya. Kerana beliau, orang ramai mula membuka mata dan menyedari kewujudan saya dalam sektor perniagaan," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139962
0 Komentar untuk " Malik pikat Rajinikanth pilih Malaysia lokasi penggambaran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ