Beradab dan biadab - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Beradab dan biadab

BERADAB dan biadab bunyinya hampir sama kerana kata dasarnya sama iaitu ‘adab’ tetapi berbeza penggunaan imbuhan awalan iaitu ‘beR-‘ dan ‘bi-‘.

Awalan beR- merupakan satu daripada imbuhan awalan dalam bahasa Melayu selain daripada beberapa bentuk awalan lain.

Manakala awalan ‘bi-‘ merupakan satu-satunya imbuhan awalan pinjaman daripada bahasa Arab-Parsi yang diguna pakai dalam bahasa Melayu.

Perkataan yang menerima awalan beR- akan melahirkan kata kerja terbitan.

Kata kerja terbitan ini bersifat kata kerja tak transitif sama ada memerlukan pelengkap atau tidak memerlukan pelengkap apabila digunakan dalam ayat.

Untuk kata kerja terbitan ‘beradab’  dan ‘biadab’ termasuk dalam golongan kata kerja tak transitif tidak berpelengkap dan boleh menerima kata bantu sebelumnya untuk menimbulkan makna-makna tambahan daripada segi aspek masa atau ragam pekerjaan yang dilakukan.

Contoh;
1.  Anak-anak seharusnya sentiasa beradab.
2.  Warganegara tidak wajar biadab di hadapan negaranya.
3.  Ketua jabatan yang cemerlang harus beradab supaya dihormati oleh orang bawahannya.
4.  Rita telah biadab terhadap organisasinya sehingga dia tidak dihormati oleh rakan.
5.  Kita mesti beradab jika hendak menyertai apa-apa program yang dianjurkan oleh orang lain.
6.  Anak tidak akan biadab terhadap orang tuanya jika mendapat didikan yang sempurna.

Satu keistimewaan kedua-dua perkataan ini ialah boleh berfungsi sebagai kata adjektif dalam ayat. Hal ini boleh terjadi kerana kata penguat boleh digunakan bersama-sama dengannya sama ada kata penguat hadapan, kata penguat belakang atau kata penguat bebas.

Contoh;
1.  Siti Fatihah terlalu beradab semasa majlis persandingannya.
2.  Percakapan menantunya sungguh biadab walaupun berada di hadapan mentuanya.
3.  Dia beradab sungguh apabila bercakap dengan orang tuanya.
4.  Perlakuan Rita sangat biadab walaupun telah diberi peringatan beberapa kali.

Pandangan dan pemikiran yang paling menarik tentang kedua-dua perkataan ini apabila ditinjau daripada aspek makna.

Perkataan ‘beradab’ dan ‘biadab’ mempunyai makna yang berlawanan atau antonim.

‘Beradab‘ membawa pengertian mempunyai, memakai atau menggunakan adab yang boleh diterima dan disenangi oleh manusia secara umum.

Manakala perkataan ‘biadab’ pula membawa makna tidak beradab iaitu perlakuan yang tidak disenangi serta berlawanan dengan kehendak umum.

Individu yang bersopan santun dikatakan beradab, manakala individu yang tidak bersopan santun dikatakan biadab.

Contoh;
1.  Remaja itu seorang yang beradab ketika berbicara.
2.  Pegawai itu seorang yang biadab ketika membuat keputusan.

Jika kita renungkan makna kedua-dua contoh ayat di atas, ayat pertama boleh menjadikan suasana yang harmoni; manakala ayat kedua boleh menimbulkan suasana resah dan gelisah walaupun pegawai itu merupakan seorang yang wajar dihormati.

Satu natijah yang sangat baik jika amalan beradab sentiasa diamalkan ialah akan terbentuk masyarakat yang dapat mengekalkan budaya bangsa yang telah terkenal dengan kehalusan budi dan kesantunannya.

Namun begitu, perlakuan yang beradab dalam kehidupan bermasyarakat bukanlah sesuatu yang boleh dicipta dalam jangka masa singkat tetapi sewajarnya dimulai sejak bayi lagi. Bahkan para ibu Muslim yang mengandung digalakkan memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran kepada bayi dalam kandungannya.

Ada juga digalakkan perdengar lagu atau syair yang indah-indah semasa mengandung. Ketika alam persekolahan, amalan beradab dititipkan melalui pelbagai nilai murni yang digarapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Begitu juga ketika dalam kerjaya, diwujudkan pelbagai program bercorak kesantunan supaya kakitangan awam beradab dalam kerja buat seharian.

Namun demikian, mengapalah perlakuan biadab masih diamalkan oleh sesetengah pihak walaupun tidak disenangi oleh umum.

Mungkinkah perlakuan negatif begini dilakukan secara tidak disengajakan atau ‘mencuri celah’ ketika manusia lain agak lalai? Kemungkinan juga perlakuan begini dilakukan oleh ‘manusia jahil adab’ yang beranggapan biadab itu sama seperti beradab dan jika dilakukannya tidak memberi apa-apa kesan.

Saya masih ingat pesanan orang tua ketika saya kanak-kanak dahulu iaitu ‘orang yang gemar melakukan perkara biadab, akhirnya dia akan menjadi manusia jahat’.

Oleh itu dalam pembentukan jati diri warganegara Malaysia, perlakuan yang beradab mesti sentiasa diamalkan; manakala perlakuan biadab dielakkan pada setiap masa supaya seluruh warganegara akan berada dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Related Post

  • Diksi berdasarkan situasi SALAH satu cara menilai tahap kesantunan seseorang adalah dengan melihat cara komunikasi yang diamalkan. Menyedari ha…
  • Jadikan pantun amalan biasa DAHULU, orang berpantun untuk menyampaikan nasihat atau pengajaran sambil bersantai dalam kelompok-kelompok tertentu.…
  • Sudah tahu bertanya pula HARI ini saya ingin berkongsi tentang budaya berbahasa khususnya amalan bertegur sapa dalam kalangan masyarakat di Ma…
  • “Boh” ada di mana-mana TIDAK dinafikan bahawa kewujudan perkataan baharu dapat menambahkan bilangan kosa kata sesuatu bahasa. Antara perkata…
  • Dialek dalam situasi formal PIHAK yang prihatin dengan pendidikan kerap membangkitkan isu kegagalan pelajar di daerah tertentu berkomunikasi dala…
0 Komentar untuk " Beradab dan biadab "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ