Ramai kais makanan di tong sampah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramai kais makanan di tong sampah

DALAM keadaan di mana pembaziran makanan seolah-olah menjadi budaya di banyak negara, Perancis mengambil inisiatif menjadi negara pertama di dunia menggerakkan usaha secara berkesan ke arah memerangi tabiat buruk itu.

Ia telah mewajibkan pasar raya mendermakan makanan yang tidak habis dijual kepada mereka yang memerlukan. Maknanya, makanan yang tidak habis dijual tidak boleh dilupuskan, tetapi didermakan.

Undang-undang mengharamkan pembuangan dan pelupusan makanan itu dilaksanakan selepas menerima undi sebulat suara anggota senat lebih sebulan lepas.

Membuang makanan, khususnya barangan dapur yang tidak habis dijual, kini merupakan kesalahan di Perancis. Pengurusan pasar raya yang didapati bersalah boleh didenda sehingga £53,000 (RM319,823).

Maknanya, berkoyan-koyan makanan yang sebelum ini dibuang boleh diagihkan secara percuma kepada yang memerlukannya.

Bayangkan ketika banyak pihak membazir makanan setiap hari, berjuta-juta manusia lagi sedang menggeledah tong-tong sampah untuk mendapatkan makanan bagi menyambung hidup mereka dan anak-pinak yang kelaparan.  

Kini tukang-tukang kempen di Perancis, negara yang sebelum ini membazirkan 7 juta tan makanan setiap tahun, sedang berusaha meluaskan penguatkuasaan undang-undang seperti itu ke seluruh Kesatuan Eropah.

Penguatkuasaan undang-undang di Perancis itu bermula dengan kempen oleh pengguna, kumpulan antikemiskinan dan penentang-penentang pembaziran.

Kempen itu diikuti dengan petisyen oleh seorang ahli majlis, yang kemudian diluluskan melalui sidang dewan perundangan nasional, selepas dibentangkan oleh seorang bekas menteri berkaitan industri makanan.

Undang-undang itu dialu-alukan oleh pihak pusat pengumpulan makanan yang mula mendapatkan sukarelawan, lori, gudang dan bilik sejuk bagi bersedia menerima bertan-tan makanan yang hampir tamat tempoh.

Kedai-kedai besar ini diharamkan buang makanan yang masih boleh dimakan.

Antara sebab pembuangan makanan dihentikan adalah kerana mereka sedar makin ramai keluarga, pelajar, penganggur dan yang bergelandangan, yang kais di tong-tong sampah di negara mereka setiap hari.

Daripada 7.1 juta tan makanan yang dibazirkan di Perancis sahaja setiap tahun, 67 peratus dibuang oleh pengguna, 15 peratus oleh restoran dan 11 peratus oleh kedai.

Sebanyak 1.3 bilion tan makanan dibazirkan di seluruh dunia setiap tahun.

Perlu diingatkan, Islam menekankan amalan baik seperti menjaga kebersihan, bertanggungjawab, jujur dan amanah, tidak boros, menentang pembaziran dan memerangi rasuah, antara lain. Banyak negara, walaupun bukan Islam, mengamalkannya.

Kita macam mana? Bukankah kita patut lebih ke depan kerana banyak negara ingin belajar daripada kita bab-bab berkaitan Islam? Bukankah kita dikenali kerana menganjur tilawah al-Quran tiap-tiap tahun sejak 1960?

Takkanlah kita mahu dikaitkan dengan perkara yang memalukan seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, kemalangan jalan raya, 'kematrempitan', tandas kotor, pemborosan, pembaziran dan rasuah, sedangkan kita selalu mencanangkan iltizam kita untuk memerangi gejala buruk ini!

Menurut Kementerian Kesihatan baru-baru ini, 8 juta kilogram makanan dibazirkan di negara kita setiap hari. Amaun ini mampu menampung keperluan bagi 5.3 juta orang dengan hidangan tiga kali sehari.

Sebuah syarikat selia pepejal memberitahu baru-baru ini bahawa, setiap tahun, untuk tempoh sebulan Ramadan, rakyat negara kita membuang 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan masih boleh dimakan. Amaun makanan itu boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini, iaitu 27 juta.

Menurut statistik, dianggarkan 8 juta kilogram makanan dibuang setiap hari. Amaun ini dianggarkan mampu memberi makan kepada enam juta manusia sehari. Ini menunjukkan rakyat Malaysia banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan setiap hari.

Kalau negara bukan Islam boleh nampak kehebatan ajaran al-Quran dan sunnah, lalu melaksanakannya, tentulah kita yang hari-hari bercakap mengenai Islam dan sudah wujudkan institusi berasaskan Islam, seperti Tabung Haji, Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, antara lain, boleh lebih daripada mereka.

Jadi, bilakah kita mahu kuat kuasakan undang-undang secara berkesan bagi menghukum mereka yang membazir?

Kita mampu menghalang amalan buruk ini walaupun tanpa undang-undang kalau lebih ramai, apa lagi orang politik, mampu tunjukkan contoh yang baik.

Kalau orang politik tunjuk tabiat mengaut kemewahan sebanyak mungkin, membazirkan wang dan berbelanja dengan boros,  apa contoh yang boleh masyarakat teladani?

Untuk renungan: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” al-Isra’ ayat 27.

0 Komentar untuk " Ramai kais makanan di tong sampah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ