Tarian Maori bantu All Blacks di padang ragbi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tarian Maori bantu All Blacks di padang ragbi

SEJAK 1905, tarian Haka kaum pribumi Maori di New Zealand, yang asalnya diguna untuk menakutkan lawan di medan perang, mula 'menggerunkan' saingan dalam arena sukan setiap kali pasukan ragbi negara itu, All Blacks, turun beraksi. Sejak itu, tarian Haka yang dikenali sebagai 'Ka Mate' dengan gerakan agresif itu sinonim dengan nama All Blacks. Bahkan ia turut ditiru pasukan lain kerana melihat keberhasilannya secara psikologi membantu melemahkan mental pasukan lawan. Ia sekali gus menunjukkan elemen budaya mempunyai kekuatan tersendiri untuk ditonjolkan dalam konteks berbeza seperti arena sukan sebagaimana dilakukan di New Zealand.

Gerak tari perang 

Tarian Haka turut dikenali sebagai 'gerak tari perang' boleh memukau sesiapa saja yang melihatnya kerana gerakan yang agresif, sekali gus menjadi simbol kekuatan dan keberanian pemainnya untuk menentang lawan. Sastera BH yang berkesempatan menyaksikan persembahan tarian Haka kaum Maori yang menggelarkan diri mereka Te Rerenga o Te R yang bermaksud 'Terbang Terus ke Syurga' pada Festival Kesenian Orang Asli dan Pribumi Antarabangsa 2015 di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kagum dengan kesungguhan mereka memartabatkan seni tradisi agar terus tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Tarian Haka yang dipersembahkan lebih 10 penari itu begitu unik kerana menggunakan keseluruhan anggota badan pemainnya termasuk suara, tangan, kaki, lidah dan mata, terutama gerakan popularnya iaitu hentakan kaki yang kuat ke atas tanah, menepuk badan sambil menjelir lidah. Kostum mereka juga unik apabila pemain lelaki cuma mengenakan kain berbulu dan penari wanitanya berpakaian warna senada dengan corak geometri memberikan nilai tambah kepada persembahan Haka berkenaan pada festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu. Berdasarkan sejarah, Tarian Haka asalnya ditarikan sebagai menghormati Te Rauparaha, pemerintah berkuasa North Island Ngati Toa yang menawan South Island pada 1830-an.


PERSEMBAHAN kebudayaan dari masyarakat Pribumi New Zealand ketika Majlis Perasmian Festival Kesenian Orang Asli dan Pribumi Antarabangsa 2015 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Langkah tari lembut 

Sastera BH turut tertarik dengan persembahan kebudayaan orang asli daripada bandar raya Koronadal, Selatan Filipina menerusi kumpulan Koronadal Hinugyaw Cultural Dance Troupe yang mempunyai tarikan tersendiri terutama gerak langkah tarinya yang lembut. Tarian yang berasal dari kaum orang asli Ilonggo itu dikenali dengan nama Hinugyaw yang membawa maksud keramaian dan sering digunakan dalam pesta, majlis perkahwinan dan upacara adat istiadat masyarakat di negara itu.

Gerakan tarian dan nuansa muziknya pula mempunyai persamaan dengan langkah tari tradisional Melayu terutama di Kepulauan Borneo termasuk nuansa muziknya, barangkali kerana rumpun Nusantara yang kuat sehingga berlaku asimilasi budaya secara tidak langsung termasuk dalam seni tradisi orang asli. Tidak malu untuk memperkenalkan tarian orang asli, masyarakat Hinugyaw terutama penggiat seninya berusaha menyebarkan khazanah budaya berharga itu ke seluruh dunia khususnya menerusi festival seni antarabangsa sebagai langkah mengangkat prestijnya lebih tinggi.


TIMBALAN Menteri 1, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah), bergambar bersama masyarakat Pribumi dari negara China ketika hadir di Majlis Perasmian Festival Kesenian Orang Asli dan Pribumi Antarabangsa 2015 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ilham berburu, lagak ngeri 

Selain itu, Sastera BH turut terpukau dengan persembahan kumpulan Nkrabea Dance Ensemble dari Ghana yang menampilkan tarian orang asli daripada puak Ewe yang menterjemah cara hidup masyarakatnya dalam gerak tari unik dan mengasyikkan. Kehidupan masyarakat puak Ewe yang terdedah dengan kegiatan berburu diangkat sebagai tema persembahan dengan kombinasi persembahan muzik gendang, tarian dan gerakan akrobatik termasuk aksi lagak negeri menyembur api daripada mulut.

Gerakan haiwan perburuan yang lasak dan sukar dikawal ditiru sehingga menjadi gerak tari bersahaja dengan pemainnya mengenakan aksesori kepala daripada tanduk rusa serta seladang. Tarian itu turut dikaitkan dengan upacara ritual kononnya menghalau roh haiwan daripada kembali dan mengganggu pemburu. Justeru, mengapa tidak seni budaya dan tradisi Melayu yang kaya dengan keunikan tersendiri seperti silat atau caklempong serta khazanah orang asli turut diangkat dalam pelbagai bentuk lain termasuk sukan untuk mengangkat prestijnya seiring nuansa budaya masyarakat dunia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/118451
0 Komentar untuk " Tarian Maori bantu All Blacks di padang ragbi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ