Jadikan pantun amalan biasa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jadikan pantun amalan biasa

DAHULU, orang berpantun untuk menyampaikan nasihat atau pengajaran sambil bersantai dalam kelompok-kelompok tertentu. Mereka berpantun untuk bergurau senda.  Mereka juga berpantun untuk berteka-teki. Begitulah gambarannya seni pantun yang begitu meriah digunakan sebagai medium komunikasi pada masa dahulu.

Namun, orang sekarang sudah tidak ingin bermesra dengan pantun. Telinga kita hanya kerap mendengar pantun ketika sesekali berada dalam majlis-majlis rasmi apabila pengacara majlis menyelitkan pantun dalam teks pengacaraannya. Hal ini menunjukkan bahawa, pantun tidak lagi biasa dengan masyarakat kita.

Sedangkan apabila terdengar pantun, ramai juga yang teransang dan teruja menyambutnya. Jadi, kita tidak sepatutnya mengabaikan atau meminggirkan pantun kerana ia masih mengujakan, masih dirasai keindahan bahasanya, jiwa kita masih tergoda dengan seni dan estetikanya.

Ada yang mengatakan susah hendak berpantun, mula-mula pembayang perlu dicari, kemudian maksudnya pula. Rumit. Begitulah tanggapan generasi muda sekarang. Bagi melihat mudah atau susahnya berpantun, mari kita kaji formatnya. Binaan pantun mempunyai dua komponen, iaitu pembayang dan maksud.

Pembayang ialah latar cerita pantun yang terdiri daripada satu baris untuk pantun dua kerat, dua baris untuk pantun empat kerat, tiga baris untuk pantun enam kerat, dan empat baris untuk pantun lapan kerat. Maksud  pula ialah mesej atau idea yang hendak kita sampaikan melalui pantun tersebut. Jumlah barisnya sama dengan jumlah baris pembayang seperti yang diterangkan di atas. Mesej atau idea itulah yang menjadi isi atau tujuan pantun tersebut diajukan. Cuba kita lihat pantun di bawah;

B.1: Burung belatuk di atas dahan
B.2 :Termengah-mengah mengejar kedidi
B.3: Jika mengantuk jangan ditahan
B.4 :Tidur sejenak elakkan tragedi

Baris 1(B.1) dan baris 2(B.2) ialah pembayang, manakala  B.3 dan B.4 ialah maksud pantun. Pembayang hanyalah latar cerita pantun, yang berfungsi sebagai pelengkap untuk disesuaikan dengan  kata-kata dalam baris maksud pantun. Kesesuaian tersebut adalah dari aspek rima tengah dan rima setiap bunyi hujung baris.

Contohnya perkataan belatuk (B.1 tengah)  sama bunyi dengan perkataan mengantuk (B.3 tengah), manakala perkataan dahan (B.1 hujung) sama bunyi dengan perkataan tahan (B.3 hujung). Begitulah  perkataan mengah(B.2 tengah) hampir sama bunyi dengan perkataan jenak (B.4 tengah), manakala perkataan kedidi (B.2 hujung) sama bunyi dengan perkataan tragedi (B.4 hujung). Persamaan bunyi pada setiap rima tengah dan rima akhir inilah yang melahirkan keindahan sesebuah pantun.

Perlu diingat bahawa pembayang boleh dicari daripada mana-mana suasana asalkan bersesuaian bunyi rima tengah dan rima akhir. Orang dahulu banyak mengambil suasana alam dan persekitaran mereka untuk membina pembayang pantun. Itulah yang digalakkan kerana  suasana alam itu sendiri menggambarkan keindahan dan kesantunan alam. Oleh hal yang demikian, janganlah kita mengatakan susah untuk mendapatkan pembayang kerana komponen ini tidak terikat dengan suasana atau bentuk-bentuk yang khusus dan terhad. Cuba kita perhatikan contoh di bawah ini;

Bergayanya datuk berjalan di pecan;
Membasah tekak di warung Tok Adi,
Jika mengantuk jangan ditahan;
Tidur sejenak elakkan tragedi.

Maksud pantun masih sama, akan tetapi pembayang boleh dipilih mengikut kemahuan sendiri asalkan mempunyai kesesuaian rima tengah dan rima akhir.

Perkara penting yang perlu difikirkan dahulu ialah isi atau mesej pantun yang kita hendak sampaikan. Apabila kita hendak berpantun, kita perlu tahu idea atau isi pantun dan bina komponen maksud dahulu, kemudian barulah dicari pembayang. Kalau hendak difikirkan pembayang tanpa ada komponen maksud memang terlalu sukar untuk berpantun.

Tegasnya, jangan sesekali mencipta pembayang dahulu sebelum adanya isi atau maksud pantun. Jika tidak, jadilah pantun itu sesuatu yang menggerunkan dan semakin dijauhi oleh masyarakat. Sedangkan berpantun tidaklah sepayah yang difikirkan, malah seni ini mampu meningkatkan ketajaman minda, memperkaya keindahan berbahasa dan boleh digunakan untuk kegiatan bersantai yang penuh dengan hilai ketawa.

Jadikanlah amalan berpantun suatu amalan biasa, bukan hanya dituturkan dalam majlis tertentu sahaja. Gunakannya untuk pelbagai tujuan, sama ada untuk berteka-teki, bergurau senda, atau menyampaikan nasihat dan pengajaran.  Mengayakan bahasa tanggungjawab kita semua. Bahasa jiwa bangsa.

0 Komentar untuk " Jadikan pantun amalan biasa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ