Usah pertikai keikhlasan seseorang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usah pertikai keikhlasan seseorang

SEMACAM menjadi kelaziman dalam masyarakat hari ini melihat sesuatu kebaikan pada orang yang melakukannya, berbanding dengan apa yang dilakukannya.

Lantas timbul prasangka dan andaian apabila kebaikan daripada orang yang tidak disukai, sewenangnya dipertikaikan bahkan ditolak kebaikan yang dilakukan orang tersebut.

Bagi mereka, apa sahaja kebaikan yang lahir daripada golongan yang dibenci adalah tidak ikhlas, dilakukan semata-mata kerana kepentingan, mempunyai niat politik, atau pelbagai bentuk label dan tohmahan yang dilemparkan.

Sebaliknya apa sahaja kebaikan daripada golongan yang mereka agungkan, akan dilihat betul dan hebat, manakala apa sahaja keburukan akan dijustifikasikan dan ditutupi.

Demikianlah perilaku dan sikap umat Islam kini, yang tidak sesekali berpandukan suluhan ilmu dan prinsip syariat yang benar. Saidina Ali berkata: “Janganlah kamu lihat kepada siapa yang berkata, tetapi lihatlah kepada apa yang dikatakan”.

Sebagai umat Islam. kita diajar dan ditarbiyah agar tidak sewenangnya menghukum manusia lain berasaskan nilai prejudis yang tercanai dalam diri, mahupun mempertikai kebaikan dan keikhlasan seseorang bagaikan boleh membaca isi hati.

Menelusuri sejarah awal Islam, banyak insiden yang boleh diambil pengajaran perihal menghukum atau melakukan sesuatu tindakan berasaskan sangkaan dan andaian.

Pada bulan Syaaban tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW mengutus Khalid bin al-Walid kepada Bani Jadhimah untuk menyeru mereka memeluk Islam, dan bukan untuk berperang. Khalid kemudiannya keluar bersama 350 orang Ansar, Muhajirin dan Bani Sulaim. Sampai di sana, Khalid menyeru Bani Jadhimah untuk memeluk Islam. Bani Jadhimah tidak senang untuk mengatakan: “Kami telah menjadi orang-orang Islam”, sebaliknya mereka berkata: “Kami telah meninggalkan agama kami”. Lantaran itu, Khalid telah menawan mereka. Setiap tawanan diserahkan kepada setiap anggota pasukannya. Kemudian disuruhnya setiap anggotanya membunuh seorang tawanan setiap hari.

Mereka yang terlibat membunuh kumpulan tawanan adalah Bani Sulaim. Manakala orang Ansar dan Muhajirin tidak mahu terlibat dalam hal ini. Ibnu Umar dan kawan-kawannya enggan terbabit sehinggalah mereka menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW menadah tangan dan berdoa: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlepas diri kepadamu daripada tindakan Khalid”. (Riwayat Bukhari). Rasulullah SAW mengulangi doa tersebut sebanyak dua kali, kemudian mengutus Saidina Ali untuk membayar diyat kepada waris mangsa dan kerugian yang mereka tanggung.

Dalam satu operasi perang yang lain, Usamah bin Zaid membunuh seorang yang mengucap kalimah syahadah kerana menyangka orang itu mengucap kerana takut dibunuh. Kemudian dia kembali kepada Rasulullah SAW dan memberitahu perkara tersebut. Rasulullah SAW bertanya: “Adakah dia berkata tiada tuhan melainkan ALLAH dan kamu telah membunuhnya?” Usamah berkata: “Wahai Rasulullah, dia mengucap syahadah kerana takutkan senjata”. Baginda bersabda: “Adakah kamu telah belah hatinya sehingga kamu tahu dia mengucap syahadah atau tidak?”. Rasulullah SAW mengulang-ulangi soalan itu kepada Usamah. (Riwayat Muslim)

Kata-kata Imam Syafei: “Sesungguhnya aku diperintahkan untuk menjatuhkan hukum berdasarkan perkara yang zahir yang jelas nyata, dan ALLAH yang menguruskan apa yang tersembunyi (berkenaan perkara hati dan apa yang tidak diketahui)”.

Jika Rasulullah SAW, golongan sahabat yang agung, dan Imam Syafei berhukum dengan apa yang zahir, siapakah kita untuk mempersoalkan keikhlasan seseorang dalam melakukan sesuatu kebaikan? Itu adalah urusan dia dengan Tuhannya yang tidak perlu kita campuri.

Dalam Islam, sesuatu kebaikan itu adalah digalakkan untuk dilakukan secara terang-terangan, terutamanya golongan pemimpin, yang dijadikan contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada orang lain.

Firman ALLAH: “Wahai orang yang beriman! Janganlah suatu golongan (daripada golongan lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan golongan lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi golongan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...” (Surah Al-Hujurat: 11)

Justeru, janganlah kita merasakan diri lebih baik daripada orang yang melakukan kebaikan, sedangkan kita hanya melihat, memberi komen negatif, dan mempersoalkan keikhlasan seseorang, jauh sekali hendak menggalakkan orang lain supaya turut sama melakukan kebaikan.

* Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri

0 Komentar untuk " Usah pertikai keikhlasan seseorang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ