RUU MKN: Kuasa terlalu luas - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

RUU MKN: Kuasa terlalu luas

TAHUKAH anda bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat sekiranya berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam?

Tahukah anda bahawa sekiranya darurat berkuat kuasa dan Parlimen tidak bersidang, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memasyhurkan apa-apa ordinan atau undang-undang sebagaimana yang didapati perlu mengikut hal keadaan?

Tahukah anda juga bahawa suatu Rang Undang-undang (RUU) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini yang secara natijahnya memberikan kuasa-kuasa darurat kepada pihak Kerajaan Malaysia tanpa memerlukan

Yang di-Pertuan Agong membuat suatu pengisytiharan darurat? RUU ini dikenali sebagai RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia akan dibentangkan di Dewan Negara pula.

RUU MKN ini adalah suatu pengambilan kuasa yang dikhaskan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diberikan kepada MKN, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Siapakah ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara?

Selain Perdana Menteri, ia terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

RUU MKN memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan suatu ‘kawasan keselamatan’ sekiranya dinasihati oleh MKN bahawa mana-mana kawasan di Malaysia "diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara, atau benda yang menyebabkan atau berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius kepada wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain dan menghendaki tindak balas serta-merta".

Pengisytiharan kawasan keselamatan ini berkuat kuasa untuk tempoh enam bulan dan boleh diperbaharui untuk enam bulan lagi dan pembaharuan ini boleh dibuat tanpa had.

Peruntukan ini memberikan kuasa yang besar kepada Perdana Menteri untuk membuat pengisytiharan sedemikian, untuk perkara-perkara yang mungkin tidak ada kena-mengena dengan keselamatan negara langsung.

MKN mempunyai kuasa untuk membuat perintah eksekutif untuk mengatur kedudukan pasukan keselamatan (seperti polis dan tentera) di dalam kawasan tersebut. Seorang pengarah operasi yang dilantik oleh MKN dan bertanggungjawab hanya kepada MKN akan dilantik dan beliau mempunyai kuasa yang luas dan tidak terhad seperti kuasa menahan masuk orang, memerintahkan perintah berkurung dan mengawal pergerakan orang atau kenderaan.

Di samping itu, di dalam suatu kawasan keselamatan, pihak berkuasa juga punya kuasa untuk menangkap tanpa waran, memeriksa dan menyita tanpa waran, menggeledah premis untuk benda berbahaya dan mengambil milikan sementara tanah, bangunan dan harta mudah alih.

Jelas bahawa Kerajaan mempunyai kuasa-kuasa yang luas dan yang akan menjejaskan kebebasan asasi individu-individu di dalam kawasan tersebut.

Persoalan yang paling penting adalah apakah keperluan Parlimen menggubal undang-undang ini? Adakah undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi? Bukankah semasa insiden pencerobohan di Timur Sabah dua tahun lepas, Kerajaan telah menguatkuasakan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau Esscom tanpa memerlukan apa-apa undang-undang khas, apatah lagi yang memberikan kuasa meluas kepada pihak Kerajaan?

Mereka yang menentang RUU MKN ini bukan tidak mengiktiraf keperluan untuk menangani keadaan di mana keselamatan terancam. Tetapi RUU ini bukanlah jawapannya. Ia memberi kuasa yang terlalu luas tanpa perlindungan yang mencukupi bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Kita masih belum lupa bagaimana ISA dahulunya disalah guna. Kita juga masih belum lupa bagaimana Sosma telah disalah guna untuk menahan individu-individu yang membuat laporan terhadap 1MDB.
Adakah terdapat jaminan bahawa undang-undang MKN ini tidak akan mengalami nasib yang sama? Langsung tidak.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Related Post

0 Komentar untuk " RUU MKN: Kuasa terlalu luas "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ