Perancangan 5 tahun tingkat pelaburan, aset Tabung Haji - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perancangan 5 tahun tingkat pelaburan, aset Tabung Haji

SAIZ dana Tabung Haji (TH) kini melonjak lebih empat kali ganda kepada RM60 bilion daripada RM13.3 bilion dalam tempoh kira-kira sedekad lalu, sekali gus muncul antara dana Islam terbesar dunia. Pada masa sama bilangan pemegang akaun TH meningkat kepada 8.8 juta. Namun, 7.5 juta pemegang akaun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, selain 1.9 juta pendeposit sudah mendaftar haji tetapi masih tidak berpeluang menyempurnakan Rukun Islam Kelima itu.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH, MUTAZAR ABD GHANI, AHMAD FIESAL OTHMAN dan MOHD ZIN ALI bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, TAN SRI ISMEE ISMAIL, yang mengulas bahawa agensi pengurusan haji itu mengimbangi sasaran untuk menjana keuntungan dan pada sama tidak menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya iaitu memudahkan umat Islam menunaikan haji.

S: Apakah teras utama pelan perniagaan TH untuk tahun hadapan? Apakah strategi pelaburan TH memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini?

J: Pada asasnya dari segi strategi, kami akan meneruskan apa yang kami gunapakai sekarang. Jika anda melihat pada aset atau saiz dana kami hari ini, ia berada pada aras RM60 bilion. Kami percaya peruntukan Alokasi Aset Strategik yang sedia ada masih relevan, yang mana ia dibahagikan kepada ringkasnya empat sektor iaitu Ekuiti, Hartanah, Pendapatan Tetap dan Tunai. Pada dasarnya kita akan mengekalkannya dan kita akan melakukan beberapa perubahan taktikal. Perubahan taktikal bermakna alokasi aset kami berubah berdasarkan iklim pelaburan semasa. Sebagai contoh, sejak dua tahun yang lalu, pelaburan ekuiti sebenar adalah pada sekitar 40 peratus, walaupun alokasi aset strategiknya adalah 50 peratus. Kini apabila pasaran ekuiti menurun ada kemungkinan peluang kita untuk meningkatkan pelaburan dlm ekuiti ke paras strategik 50 peratus. Keduanya, saya fikir ini adalah satu peluang yang baik bagi TH untuk mengkaji semula hala tuju dari tujuan asal penubuhan kami. Saya tidak mengatakan bahawa kami telah menyimpang daripada matlamat awal kami tetapi kita perlu lihat kembali. Jika saya boleh cerita sejarah sedikit, 10 tahun yang lalu ketika hari pertama saya memegang jawatan ini pada 1 Januari 2006, Insya-Allah tahun ini cukup 10 tahun saya di TH. Saiz dana TH ketika itu, setelah kewujudan TH selama lebih 40 tahun (1963-2006) adalah RM13.3 bilion. Tetapi hari ini, saiz dana kita adalah RM60 bilion, jadi dalam tempoh sedekad yang lalu sahaja saiz dana kami meningkat hampir empat kali ganda. Kami telah menjadi entiti yang berbeza. Justeru, kita perlu melihat sekali lagi terhadap hala tuju tujuan asal TH iaitu untuk memudahkan pendeposit, menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan haji. Kita perlu mengkaji semula fokus kita sekarang sama ada kita hendak fokus pada pengurusan haji atau aktiviti perniagaan dan pelaburan. Alhamdulillah, pada masa lalu, kita berjaya wujudkan persekitaran kedua-duanya iaitu pengurusan haji dan pelaburan. Namun, kita juga harus lihat profil pendeposit kita. Adakah semua pendeposit menyimpan dengan matlamat untuk menunaikan haji. Saya menjangkakan tahun depan saiz dana kami akan mencecah RM65 bilion, dengan melihat pada kadar pertumbuhan TH sejak 10 tahun lalu. Maka, sejajar perkembangan itu, kita perlu melihat kepada objektif kita, atau diingatkan mengenai misi asal kita. Kita tidak mahu menjadi sebuah institusi yang mana pendeposit menyimpan bukan kerana mahu pergi haji, tetapi semata-mata hanya kerana bayaran bonus antara terbaik di pasaran.

S: Bolehkah Tan Sri berkongsi profil pendeposit TH?

 J: TH mempunyai 8.8 juta akaun pendeposit hari ini, 85 peratus (7.5 juta akaun) memiliki simpanan kurang RM10,000 yang mana jumlah dana terbabit ialah RM 7.4 bilion. Dana selebihnya, kira-kira RM50 bilion adalah kebanyakannya daripada mereka yang mempunyai baki simpanan melebihi RM10,000

S: Bila Tan Sri merujuk kepada 7.5 juta akaun pendeposit yang memiliki simpanan di bawah RM10,000, adakah mereka belum atau sudah tunaikan haji atau semua pendeposit? 

J: Ia merujuk kepada akaun pendeposit yang belum menunaikan haji. Jumlah pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran haji adalah 1.9 juta pendeposit. Bukan semua pendeposit buka akaun di TH kerana hendak mendaftar pergi haji ada yang buka akaun hanya bagi tujuan pelaburan. Buka akaun di TH bukan bermakna mereka secara automatik sudah mendaftar untuk tunai haji, justeru pendeposit perlu mendaftar haji terlebih dulu sebelum boleh masuk dalam senarai menunggu giliran Haji. Sebab itu dahulu kita buat kempen untuk orang mendaftar haji. Pendeposit yang ada nilai simpanan minimum RM1,300 boleh mendaftar, atau kalau tidak cukup boleh menggunakan penyata KWSP untuk mendaftar. Sekarang tempoh menunggu giliran adalah kira-kira 77 tahun. Kita perlu fokus kepada kumpulan ini (7.5 juta) bagi membolehkan mereka mengumpul wang bagi mengerjakan haji. Seperti dua tahun lalu, kami melakukannya dengan mengumumkan bonus tambahan selain bonus tahunan iaitu Bonus Haji sebanyak dua peratus untuk mereka yang belum pergi haji. Bonus Haji ini menzahirkan matlamat asal kewujudan TH iaitu untuk menjaga kebajikan Jemaah Haji. Apa juga kita lakukan, kita harus permudahkan urusan rakyat Malaysia mengerjakan haji. Itu teras kami.

S: Selain tambahan dua peratus bonus Haji, apa lagi kaedah lain TH untuk bantu 7.5 juta pendeposit yang belum tunaikan haji?

 J: Saya rasa dalam bergerak ke hadapan, itu adalah model yang akan kita guna pakai, bagi saya adalah model yang baik kerana kita memberi fokus kepada majoriti pendeposit yang belum mengerjakan haji. Kemampuan (Istito'ah) untuk mengerjakan haji, termasuk kemampuan dari segi kesihatan dan kuota haji. Namun begitu isu kuota haji adalah di luar kawalan kita. TH cuba membantu dari segi kewangan melalui bonus tahunan dan bonus haji serta subsidi haji yang diberi setiap tahun. Musim haji yang lalu saja, subsidi TH (hampir 45 peratus ) adalah RM7,290 untuk seorang jemaah yang pertama kali tunai haji. Musim haji akan datang, jika bayaran haji masih sama maka subsidi Haji akan meningkat kepada RM8,910. Itu kiraan berdasarkan hari ini dalam keadaan pertukaran mata wang Riyal Arab Saudi. Peningkatan kos haji lebih kurang 10 peratus untuk musim hadapan. Bagi saya subsidi haji tidak jadi masalah selagi TH ada kemampuan kewangan, namun begitu isunya hanyalah berapa jumlah peratus subsidi kepada kos haji adalah 'ideal.' Saya rasa, ini boleh dianggap sebagai bentuk subsidi yang paling tinggi di Malaysia. Subsidi Haji ditanggung sepenuhnya oleh TH dan tidak ada bantuan dana daripada kerajaan. Musim haji yang lalu subsidi haji kira-kira RM150 juta. Kita anggap ini adalah tanggungjawab TH dan selagi ada kemampuan, kita akan terus laksanakan subsidi.

S: Adakah jumlah had simpanan di TH? 

J: Simpanan di TH tiada had jumlah dan masa. Akaun TH adalah seperti akaun simpanan mana-mana perbankan Islam, bezanya kita tiada buku cek. Ia jelas dinyatakan dalam Akta Penubuhan TH bahawa simpanan TH dijamin oleh kerajaan bagi setiap ringgit yang disimpan. Kami hanya boleh menerima simpanan daripada individu, warganegara Malaysia dan beragama Islam. Simpanan di TH tiada had yang juga menjadi cabaran kepada kami, kerana orang menjangkakan pulangan yang tinggi. Konsep simpanan di TH adalah Al-Wadiah Yad Dhamanah, iaitu simpanan yang dijamin tetapi tidak menjanjikan apa-apa pulangan, kalau ada pulangan pun dalam bentuk hadiah yang dipanggil Hibbah. Itu konsep Al Wadiah. Namun pada masa ini (pulangan bonus yang baik) sudah jadi satu jangkaan daripada pendeposit, tetapi Alhamdulillah setakat ini kami mampu melakukannya walaupun ia sebenarnya tertakluk kepada budi bicara TH dalam bentuk hibbah.

S: Orang ramai harap dividen yang bagus daripada TH tetapi pada masa sama kadangkala mempersoalkan pelaburan oleh TH. Apa komen Tan Sri? 

J: Jika buat perbandingan antara institusi pelaburan patuh Syariah, perbandingan paling hampir dengan simpanan di TH adalah mana-mana simpanan tetap di perbankan Islam. Simpanan di PNB , LTAT dan EPF ada syarat dan had-had yang tertentu. Maka, secara perbandingan, dari segi pulangan simpanan di TH dapat pulangan yang baik, risiko rendah, selain dijamin oleh kerajaan. Secara purata, kadar pulangan yang diberikan oleh TH sejak 10 tahun lalu adalah 6.2 peratus. Rasanya sekarang kadar pulangan simpanan tetap tertinggi hanya sekitar 4.5 peratus, tetapi perlu mengekalkan simpanan untuk setahun dan tidak boleh keluar masuk simpanan bila-bila masa seperti TH.

S: Pertumbuhan deposit dalam kalangan penyimpan begitu besar dalam TH sejak Tan Sri menjadi CEO. Bagaimana Tan Sri mengurus pelaburan deposit? 

J: Ada orang bertanyakan soalan sama dulu, saya katakan kami di TH kuat sembahyang dan setiap tahun pergi haji (ketawa). Bila saya bermula pada tahun 2006, deposit di TH adalah sebanyak RM13.3 bilion dan kini sudah mencapai RM60 bilion. Ia bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah melalui perancangan. Pada tahun 2006, ketika saya mula menjadi CEO, apa yang saya lakukan ialah saya bersama barisan kepimpinan tertinggi TH termasuk Pengerusi TH ketika itu, Allahyarham Tan Sri Zainol Mahmood merancang Pelan Perniagaan Lima Tahun TH. Ia adalah pelan perniagaan lima tahun TH yang pertama. Seterusnya, kami mengkaji peruntukan aset strategik dan menyusun semula keperluan sumber manusia. Hari ini, kita sudah berada pada tahap yang sangat baik. Anda boleh bayangkan jika kita tidak membuat pelan perancangan perniagaan. Mungkin kita hanya menerima deposit tetapi tidak mencapai prestasi kewangan seperti tahap hari ini. Merancang dan mempunyai wawasan untuk sebuah organisasi itu berkembang adalah penting. Dahulu, ketika kita mempunyai deposit sebanyak RM13.3 bilion, mereka menyangka akan mempunyai deposit sebanyak RM20 bilion dalam masa lima tahun tetapi pada tahun 2011, ternyata deposit TH sudah melebihi RM30 bilion. Seperti hari ini, kita perlu mula merancang, jika tak rancang, kita mungkin tidak dapat menanggung perkembangan ini. Dahulu, kita memulakan idea dengan melabur di luar negara dengan sebelumnya hanya dilakukan dalam negara. Kita memulakan pelaburan di Arab Saudi dengan memajak bangunan di Makkah dan Madinah. TH kemudian menembusi pasaran di UK dan Australia. Alhamdulillah, kita sudah terbukti di pasaran UK. TH sudah berjaya melengkapkan satu pusingan, kita beli, sewa dan jual serta kita mendapat untung. Ia adalah perkara yang telah terbukti tepat. Setiap tahun, pengurusan TH akan duduk berbincang mengenai pencapaian pelan perniagaan lima tahun kita. Tahun depan, kita akan buat pelan perancangan perniagaan terbaharu dengan lebih terperinci. Hari ini, masyarakat sudah berubah, kehendak pihak berkepentingan semakin mencabar dan perniagaan semakin kompleks. Oleh itu, kita perlu melihat semula keseluruhan dinamik perniagaan.

S: Apa komen Tan Sri mengenai pelaburan bangunan pejabat dalam negara dan adakah mahu menambah lebih banyak lagi? 

J: Segalanya bergantung detik masa yang sesuai. TH ada kelebihan melabur dalam projek hartanah terutama ruang pejabat komersial. Sekarang, ramai orang akan tanya siapa nak sewa dan kedua pasaran terlebih bekalan dan kalau beli nanti kosong dan tidak ada orang hendak sewa, tetapi TH ada kuasa pegangan. Selain itu kita boleh gerakkan pelaburan orang Islam, kerana secara individu, kita tidak boleh membeli, tetapi secara kolektif kita mampu. TH boleh beli bangunan kalau kadar sewa sama dengan kadar pulangan simpanan. Apa yang lebih penting adalah potensi peningkatan harga hartanah itu pada masa akan datang. Untuk jangka masa panjang harga hartanah akan meningkat. Di Kuala Lumpur, jika kita keluarkan bangunan milik bukan Melayu, apa yang tinggal? Maka TH ada peranan untuk dilaksanakan. Alhamdulillah di sekitar ibu kota sahaja, kita milik hartanah antaranya seperti Platinum Park, TH Selborn, KL Sentral dan TH Perdana Maju Junction antaranya. Kita ada peranan membangunkan pasaran Islam dan setakat ini bukan sahaja di UK, malah baru-baru ini di Australia. Kami melaksanakan pembiayaan kewangan Islam pertama di negara itu bila kami melakukan pembiayaan semula bangunan yang kami beli di Melbourne. Kami membuka jalan untuk beberapa negara terhadap Kewangan Islam. Kita juga memperuntukkan tanah kira-kira 57 ekar (22.8 hektar) di Bandar Enstek kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk mereka bangunkan rumah kos rendah dan mampu milik. Itu adalah sebahagian daripada sumbangan CSR kami.

S: Adakah TH juga mengintai peluang selain daripada syarikat tersenarai, seperti projek infrastruktur atau jangka panjang. Bagaimana corak perniagaan TH? 

J: Dahulu, kita pernah lakukannya seperti TH terbabit dalam projek ERL, tetapi di bawah kepimpinan saya tidak ada. Seperti saya kata, dari segi kerja pembangunan, kita lebih banyak terbabit dalam pembangunan hartanah. Ini pada asasnya dilakukan oleh sayap pembangunan hartanah kami, TH Properties. Dari segi perniagaan pula, perladangan adalah di bawah TH Plantations Bhd, dan ia di bawah peruntukan 50 peratus untuk pelaburan ekuiti. Pelaburan ekuiti terbahagi kepada dua iaitu dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai dan juga terbahagi kepada dua iaitu pelaburan teras dan bukan teras. Pelaburan Teras kita pegang seperti anak syarikat dan yang bukan teras kita niagakan sahamnya.

S: Bagaimana atau apakah syarat pelaburan TH dalam pembelian ekuiti? 

J: TH ada tadbir urus untuk pelaburan. Bukan mudah untuk kami mendapatkan kelulusan untuk melabur kerana kami perlu melalui panel pelaburan, lembaga pengarah dan akhirnya perlu mendapat kelulusan menteri, ini adalah mengikut akta. TH adalah satu-satunya organisasi dalam negara yang mana Ahli Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah terpisah sepenuhnya. Tidak ada ahli yang menduduki kedua-duanya, maka secara teknikal, setiap pelaburan yang ingin kami lakukan, perlu melalui dua panel ini. Ini adalah tadbir urus yang kami amalkan di TH. Kami menetapkan standard ini. Pengerusi dan ahli panel pelaburan tiada seorang pun dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah TH. Walaupun kita ada tadbir urus yang baik, dalam kita melaksanakan pelaburan, kita perlu terima realiti untung, rugi dan balik modal. Kalau tak sanggup berdepan dengan ketiga-tiga ini, jangan ceburi bidang perniagaan. Tetapi dalam konteks ini, yang paling penting ialah keseluruhannya kita mesti untung.

S:Apa rahsia TH mengurus kejayaan yang dicapai setakat ini dan adakah TH dihampiri mana-mana pihak yang ingin menubuhkan satu badan yang hampir sama seperti TH? 

J: Banyak pihak hendak ikut, tapi tidak terikut kerana kejayaan TH tidak dicapai semalaman, kita sudah wujud lebih 50 tahun. Untuk menubuhkan organisasi seperti TH tidak boleh inisiatif swasta kerana ia tidak akan berjaya. Sokongan kerajaan adalah sangat penting, TH diberikan mandat untuk uruskan haji. Tiada sesiapa selain TH boleh mempromosikan atau mengurus apa-apa berkaitan haji kecuali TH. Itu penting kerana ia dikira undang-undang dan jika negara lain ingin melakukannya, mereka harus mengikut kaedah sama dan kerajaan mereka harus memberi komitmen sama ke arah inisiatif seumpama itu dan jika tidak, mereka tidak akan berupaya melakukannya. Kita juga pernah didatangi kerajaan Bosnia Herzegovina dan masih lagi berbincang dengan Kerajaan Indonesia. Saya sendiri menemui Bapak Presiden Indonesia, bagi membincangkan bagaimana kita boleh membantu untuk membentuk satu badan seperti Tabung Haji di Indonesia serta beberapa negara di Asia Barat, tetapi masih dalam perbincangan.

S: Boleh Tan Sri jelaskan pandangan orang luar terhadap Tabung Haji (TH)? 

J: Alhamdulillah, di mana saja saya pergi, bukan sahaja di Makkah atau Madinah, malah, ketika saya melakukan lawatan perniagaan ke United Kingdom (UK), bila saya jumpa masyarakat Islam di UK, ramai orang Islam di sana tahu apa itu TH. Mereka cukup memandang tinggi kepada kita. TH bukan hanya terkenal di Makkah, Madinah dan negara Arab, tetapi juga di Barat. Pada saya, kita adalah satu gagasan yang menunjukkan kepada orang bukan Islam mengenai cara orang Islam berniaga. Pada saya, TH adalah proksi kepada agama kita dalam mengendalikan perniagaan. Oleh itu, saya mengatakan kepada pasukan saya supaya apabila mengendalikan perniagaan dengan orang luar, kita harus menunjukkan profesionalisme kita kerana ia bukan hanya TH tetapi ia adalah imej Islam.

S: Apa yang Tan Sri ingin lihat TH dalam tempoh lima tahun akan datang? 

J: Saya selalu bangga dengan TH hari ini. Jika ada yang tanya adakah saya atau kami boleh melakukan lebih baik lagi, saya katakan saya tiada sebarang rungutan atau pun tak puas hati. Pada keadaan hari ini, pengiktirafan yang kami terima bukan sahaja dari Arab Saudi tetapi juga di Eropah. Cuma, apa yang saya lihat, dalam bab pengurusan haji ini, kita boleh perhalusi perkhidmatan kita. Ia adalah satu proses penambahbaikan yang berterusan. Selagi ada Ibadah haji, adalah TH. Sama ada perniagaan berjalan atau tidak, operasi haji akan sentiasa berjalan, tetapi kelebihannya, kejayaan perniagaan dan pelaburan kita menyebabkan perkhidmatan haji boleh jadi terbaik kerana mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan operasi haji yang terbaik.

S: Adakah TH adalah dana Islam terbesar di dunia? 

J: Saya tidak rasa kita adalah terbesar. TH menerima dana daripada pendeposit dan ianya adalah secara suka rela, kita tak mendapat dana daripada kerajaan. Komitmen kerajaan dengan TH adalah jaminan kerajaan. Bagaimanapun, TH boleh dikatakan sebagai antara dana Islam yang terbesar dan dipercayai menjadi institusi kewangan Islam yang pertama di dunia. Kita wujud lebih awal sebelum Bank Islam dan kewujudan Bank Islam adalah hasil inisiatif TH.

S: Boleh jelaskan bentuk kepimpinan Tan Sri? 

J: Peranan saya ialah untuk menguruskan kira-kira 2,100 personaliti dalam organisasi ini dan mengharmonikan untuk memastikan mereka menghasilkan yang terbaik. Saya selalu katakan kepada pasukan saya, apa sahaja yang kita lakukan, tak kira pada tahap mana walaupun Pengarah Negeri TH, orang akan selalu melihat perwatakan kita. Jika waktu solat, walaupun kita bukan orang agama, orang ramai mungkin meminta kita menjadi imam kerana kita adalah orang TH. Takkan kita hendak tolak. Oleh itu, kakitangan TH perlu mengasuh diri dalam hal agama. Saya kadang-kadang menemu bual calon untuk jawatan kanan dalam TH akan bertanya sama ada mereka mampu menjadi imam. Sebagai contoh, jika ke majlis tahlil di rumah rakan, saya akan diminta mengetuai majlis tahlil jika ustaz tidak datang dan bagi mereka, ia adalah satu penghormatan kalau saya melakukannya. Ia sebenarnya terjadi kepada semua pegawai TH, orang memandang mulia sebab kita dari TH. Saya percaya TH kini mempunyai tarikan untuk menarik orang kerja dan pada masa sama kakitangan TH hari ini mempunyai nilai pasaran di luar. Terbaharu, satu kaji selidik yang dilakukan oleh satu agensi ke atas pelajar universiti di luar negara dan Malaysia, TH dikatakan berada pada kedudukan kedua dari segi majikan yang paling diminati. Alhamdulillah, kita sudah buat lebih daripada apa yang kita patut lakukan.

S: Pengalaman paling manis Tan Sri sepanjang CEO TH? 

J: Sebenarnya, jika awak tanya pada hari berbeza, saya pasti memberikan jawapan berbeza. Bagaimanapun, satu kepuasan saya ialah satu kejadian pada beberapa tahun lalu apabila seorang lelaki tua berkerusi roda datang berjumpa saya ketika saya meraikan jemaah yang pulang menaiki pesawat penerbangan terakhir di dewan ketibaan (KLIA). Dia katakan kepada saya: "Datuk, saya buat rayuan haji, datuk luluskan dan ini saya nak bagi tahu, saya dah balik." Dia kemudian seluk kocek dan dia memberikan saya minyak atar sebotol. Ia adalah satu saat yang paling manis, menyentuh hati saya dan kepuasan kerja di Tabung Haji.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/103059
0 Komentar untuk " Perancangan 5 tahun tingkat pelaburan, aset Tabung Haji "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ