Pengetua menyamar gelandangan fahami masalah murid - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengetua menyamar gelandangan fahami masalah murid

BERMULA jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang pada hari persekolahan, Zulkernai Fauzi akan memulakan tugasnya sebagai pengetua di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang menempatkan 147 anak gelandangan dan 11 guru.

Namun, demi merealisasikan impiannya untuk mengubah nasib anak gelandangan, Zulkernai mempunyai misi khas untuk dilaksanakan selepas waktu persekolahan setiap hari, iaitu turun padang menyelami kehidupan masyarakat gelandangan di sekitar ibu kota.

Baginya, misi itu bukannya mudah, kerana Zulkernai perlu menyembunyikan identitinya sebagai seorang pengetua sekolah untuk mencari anak gelandangan yang tercicir pelajaran dan memujuk mereka supaya bersekolah.

Malah, beliau pernah menyamar menjadi seorang gelandangan di kaki lima sekitar Chow Kit untuk lebih memahami situasi mereka.

Keprihatinan dan usaha murninya itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membawa masuk 46 anak gelandangan berumur empat hingga 18 tahun untuk bersekolah di SBJK sejak dua tahun lepas.

PENGALAMAN MENCARI ANAK GELANDANGAN

Menceritakan pengalamannya menjalani misi khas itu, Zulkernai berkata beliau akan bersiap-sedia bersama-sama beberapa orang guru di SBJK untuk 'meronda-ronda' di sekitar ibu kota bagi misi pencarian anak gelandangan selepas waktu Maghrib.

"Kebiasaannya, kami yang terdiri daripada tiga hingga lima orang akan bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di celah-celah lorong sekitar Chow Kit untuk melihat sendiri kehidupan golongan gelandangan.

"Apa yang dapat kami lihat sepanjang misi tersebut sangat menyedihkan, ramai kanak-kanak gelandangan disorok di sudut tersembunyi, manakala ibu bapanya sibuk mencari rezeki dengan meminta sedekah dan ada yang terlibat dalam kegiatan pelacuran," katanya kepada Bernama.

Ada dalam kalangan anak gelandangan ini tiada dokumen pengenalan diri dan mempunyai kekangan kewangan yang merupakan faktor utama mereka tidak dihantar ke sekolah.

"Selain kekangan kewangan anak gelandangan, mereka juga mengalami masalah psikologi iaitu kemurungan dan takut untuk berkomunikasi akibat daripada keganasan rumahtangga dan penghinaan masyarakat terhadap mereka," katanya.

Situasi tersebut turut menyebabkan Zulkernai bertekad untuk menerokai setiap sudut ibu kota yang menempatkan warga gelandangan yang tercicir pelajaran, supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti masyarakat normal yang lain.

Beliau percaya masih ramai lagi anak gelandangan yang tercicir pelajaran di sekitar ibu kota belum lagi dikesan.

"Kami pernah menemui beberapa orang anak gelandangan yang berusia 17 tahun  yang masih belum pernah pergi ke sekolah dan mendapat pendidikan awal.

"Hal ini amat menyedihkan kerana berdasarkan undang-undang United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC), semua kanak-kanak berusia lebih enam tahun wajib mendapatkan pendidikan," katanya.

SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH

Zulkernai berkata SBJK yang menempatkan murid berumur empat hingga 19 tahun itu mempraktikkan konsep pembelajaran berbentuk santai atau 'fun learning'.

Guru-gurunya perlu kreatif dan bijak dalam mengenalpasti minat atau kebolehan pelajar untuk diberi bimbingan menyeluruh.

Sekolah itu menyediakan kemudahan tujuh bilik darjah termasuk bilik muzik, bilik pergigian atau rawatan, bilik rehat dan kemudahan makanan tiga kali sehari serta kelengkapan peralatan belajar percuma.

"Modul direka berlainan daripada sekolah harian biasa, selain mempelajari asas membaca, menulis dan mengira melalui Program Literasi dan Numerasi (LINUS), mereka turut didedahkan dengan kemahiran vokasional seperti menjahit, memasak dan melukis," katanya.

Katanya, oleh kerana kebanyakan anak gelandangan sudah terbiasa dengan kehidupan terbiar dan bebas membuat sesuatu, beliau serta guru-guru perlu mengendalikan sesi pembelajaran yang menyeronokkan bagi menarik perhatian mereka.

"Pada mulanya, mereka ini datang ke sekolah disebabkan ada kemudahan makanan percuma, namun lama-kelamaan, melalui usaha kita menyediakan 'fun learning', mereka merasa seronok untuk datang setiap hari ke sekolah," katanya.

TUGAS SEBAGAI PENDIDIK GOLONGAN ISTIMEWA  

Biarpun menyifatkan kerjaya sebagai pendidik golongan istimewa ini amat mencabar, namun menurut Zulkernai, bukan semua pendidik mampu menggalas tanggungjawab yang mulia itu.

"Guru-guru SBJK bukan sahaja menjadi pendidik kepada pelajar, malah pada masa sama menjadi ibu dan bapa yang sentiasa bersedia menghadapi gelagat mereka demi memastikan pelajar dapat menghadirkan diri ke sekolah setiap hari serta tidak bosan berada dalam bilik darjah.

"Kami menggunakan pendekatan psikologi dan konsep kekeluargaan iaitu membimbing murid sama seperti anak kami sendiri kerana kebanyakan anak istimewa  ini berasal dari latar belakang keluarga yang kurang bernasib baik," katanya.

Norita Masek, 36, guru bahasa Melayu SBJK menyifatkan dirinya sangat bernasib baik kerana dapat menjadi sebahagian daripada SBJK untuk membimbing serta membantu mengubah nasib dan masa depan anak gelandangan.

"Berbeza dengan sekolah harian biasa, kami perlu memberi lebih tumpuan terhadap proses pembelajaran anak di SBJK kerana ada dalam kalangan mereka  buta huruf dan tidak boleh bertutur biarpun pada usia remaja.

"Selain dari segi pembelajaran, kami berperanan sebagai kaunselor kepada anak gelandangan ini dengan menggunakan pendekatan psikologi kerana kebanyakan daripada mereka berasal dari keluarga bermasalah," katanya.

Norita berkata sebagai pendidik di sekolah istimewa ini, tugasnya begitu mencabar kerana sebelum ini, beliau merupakan seorang yang kurang penyabar.

"Selama dua tahun berkhidmat di SBJK, kesabaran serta kasih sayang saya terhadap anak-anak ini kian bertambah kerana hampir setiap hari saya membimbing, mendidik serta menjaga mereka sama seperti anak saya sendiri.

"Pada hujung minggu ataupun cuti sekolah, kami turut mengambil inisiatif sendiri untuk berkunjung ke penempatan anak gelandangan untuk lebih memahami masalah mereka dan cuba membantu sebanyak yang mungkin," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Pengetua menyamar gelandangan fahami masalah murid "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ