Kenaikan tambang dorong pengguna memandu semula - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kenaikan tambang dorong pengguna memandu semula

Pada 2 Disember lalu, pengguna pengangkutan awam berasaskan rel di Lembah Klang menyaksikan bermulanya kenaikan terkini tambang perkhidmatan tren komuter dan sistem transit aliran ringan (LRT). Sebagai pengguna perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya, perjalanan harian saya ke tempat kerja meningkat kepada RM3.50 iaitu tambahan RM1.20 bagi satu perjalanan.

Bagaimanapun, kerana menggunakan kaedah bayaran secara elektronik, diskaun diberikan, menjadikan peningkatan adalah 80 sen bagi satu perjalanan, bererti RM1.60 sehari. Namun, ia peningkatan yang agak tinggi kerana ang mana jika ditukar kepada tambang perkhidmatan bas perantara, kadar itu bersamaan bayaran sehari bagi satu perkhidmatan berkenaan (80 sen bagi satu perjalanan dikalikan dua selepas diskaun bayaran secara elektronik).

Alasan tidak boleh diterima 

Walaupun penyedia pengangkutan ini sudah meuar-uarkan akan kenaikan itu, namun dapat dikatakan pengguna tidak bersedia, apatah lagi dengan beban peningkatan dalam kos sara hidup yang dialami pada masa ini dan terpaksa menelan kenaikan itu. Alasan sudah lama kadar tambang pengangkutan awam ini tidak dikaji tidak dapat diterima.

Apa yang menjadi masalah adalah kenaikan yang begitu besar. Bagi saya sendiri, kenaikan yang dialami, kalau bersandarkan kepada kadar diterbitkan, adalah melebihi 50 peratus iaitu dari RM2.30 kepada RM3.50. Apa yang jelas di sini, jika dicampur dengan perkhidmatan bas perantara, kadar perbelanjaan sehari saya untuk pengangkutan awam berjumlah RM11 dan jika saya memandu yang kadarnya kira-kira 20 kilometer satu perjalanan, bayaran minyak kereta kurang daripada itu.

Dengan kadar kenaikan sebegitu, saya tidak nampak usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam memberikan hasil seperti diharapkan. Sebaliknya, kenaikan ini akan mendorong orang ramai, terutama golongan muda untuk memiliki kenderaan sendiri dan berkemungkinan menyaksikan kenaikan dalam jualan kenderaan cc rendah tidak lama lagi.

Ketika mengambil keputusan menggunakan pengangkutan awam kira-kira lima tahun lalu, saya melihatnya alternatif untuk mengelak kesesakan jalan raya, terutama apabila beberapa jalan utama sekitar Kuala Lumpur dalam pembaikan dan lencongan bagi pembinaan MRT dan juga pembaikan infrastruktur.

Dengan kenaikan ini, saya kini berkira-kira memandu semula ke pejabat. Walaupun saya mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, namun setidak-tidaknya saya boleh merancang perjalanan dan bukan seperti pada waktu ini, apabila yang mana saya perlu merancang perjalanan mengikut jadual perjalanan pengangkutan ini, terutama bas perantara yang ketibaannya ada masanya tidak menentu dan ada masanya tidak boleh diharapkan.

Saya rasa, kalangan pengguna pengangkutan awam ini tidak akan berasa terbeban jika kenaikan adalah dalam lingkungan 20 sen hingga 40 sen. Namun, apabila ia melebihi RM1, jelas ia tidak dijangkakan. Dengan beberapa syarikat sudah mengumumkan bahawa tiada kenaikan gaji pada tahun hadapan, melihat kepada situasi ekonomi pada masa ini, nampaknya tiada apa yang boleh diharapkan pengguna untuk mengganti kenaikan kos pengangkutan ke tempat kerja yang mereka alami.

Kaji semula kadar kenaikan 

Justeru, adalah diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula kadar kenaikan yang tinggi ini supaya beban pengguna tidaklah begitu besar selain ia mampu menjayakan beberapa strategi yang dirancang kerajaan antaranya menggalakkan orang ramai untuk tinggal di pinggir bandar Kuala Lumpur.

Pada masa sama saya juga melihat kenaikan ini juga berkemungkinan menyebabkan jajaran tambahan perkhidmatan LRT dan perkhidmatan MRT yang kini dalam pembinaan tidak akan menimbulkan keghairahan untuk orang ramai menggunakannya. Ia sebaliknya akan berterusan menjadi perkhidmatan pengangkutan awam untuk pelancong dan juga warga asing yang bekerja di negara ini, bukannya rakyat tempatan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/104617
0 Komentar untuk " Kenaikan tambang dorong pengguna memandu semula "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ