Demokrat Muslim perlu memimpin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Demokrat Muslim perlu memimpin

DALAM ucapannya di Persidangan Antarabangsa Kedua Forum Dunia Untuk Demokrat Muslim di Jakarta pada 23-24 November lalu, Pengasas-Bersamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para demokrat Muslim untuk memimpin ummah dalam menerangkan makna sebenar Islam sebagai rahmat buat semua, terutamanya dalam zaman penuh pancaroba hari ini.

Ucapannya dibacakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Persidangan itu dirasmikan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, Dr Anies Baswedan. Sesi plenarinya menampilkan dua tokoh, iaitu bekas Setiausaha Agung Asean, Surin Pitsuwan dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Persidangan ini adalah lanjutan kejayaan persidangannya yang pertama di Kuala Lumpur tahun lalu. Ia menghimpunkan pemimpin Islam dan demokrat terkenal Asia, Timur Tengah, Turki dan Eropah untuk mewujudkan pentas bagi diskusi intelektual tentang memperkasa demokrasi dan gerakan demokrasi di dunia Islam, dan menggerakkan perbincangan tentangnya dalam kalangan dunia Islam dan bukan Islam.

Ia suatu inisiatif berani yang mencuba untuk menunjukkan bahawa naratif tentang kebebasan, keadilan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang (rule of law) adalah sebenarnya menjadi agenda Islam juga. Ia bertujuan menekan kembali Islam yang sebenar, aman dan pluralistik, serta kebangkitan Islam yang menegakkan kedaulatan undang-undang, governans baik, keadilan sosial dan penghakupayaan kebudayaan, dan yang tidak diskriminasi gender, etnik atau agama. Ia juga bermatlamat untuk mengetengahkan sumbangan demokrat Muslim terhadap perdebatan teori dan amalan demokrasi di seluruh dunia.

Persidangan ini dianjur bersama The Habibie Center, Indonesia; Institut Kajian Dasar, Malaysia; SETA, Turki dan Yayasan Keamanan Sasakawa, Jepun.

Empat bengkel telah diadakan atas empat tema: negara Islam (IS), konflik sektorian dan ekstremisme Islam; hak asasi manusia dan pelarian (Rohingya dan Syria); Islamophobia dan minoriti (minoriti Muslim di negara-negara bukan Islam); dan keadilan sosial dan kedaulatan undang-undang (minoriti bukan Muslim di negara-negara Muslim).  

Saya diundang sebagai salah seorang ahli panel dalam bengkel keempat. Saya memulakan bicara dengan menyatakan bahawa, berdasarkan Projek Keadilan Dunia 2015 dan Laporan Kesejahteraan Dunia 2015, tidak ada satu pun negara Muslim berada di tangga 10 teratas. Ini menunjukkan bahawa negara-negara Muslim tidak begitu mengamalkan konsep “Islam rahmat untuk semua”, khususnya dalam aspek keadilan sosial dan kedaulatan undang-undang.

Keduanya, sesetengah negara Muslim sedang berhadapan masalah kebebasan beragama. Terdapat minoriti bukan -Muslim yang terpaksa berhadapan isu-isu diskriminasi, dan setengah-setengahnya, termasuk keganasan agama.

Akhirnya, saya menggariskan beberapa cadangan, antaranya, keselarian antara Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dan undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan, menghapuskan undang-undang drakonian dan menggubal dasar-dasar yang melindungi golongan minoriti.

Pada akhir persidangan, Pengarah The Habibie Center Rahimah Abdulrahim membentangkan resolusi persidangan, yang di samping desakan-desakan biasa, turut menyenaraikan beberapa cadangan konkrit:

Pendidikan: melaksanakan program-program pendidikan untuk belia di dunia Islam bagi melahirkan generasi baharu demokrat Muslim.

Keadilan Sosial, Kedaulatan Undang-undang dan Bidang Ekonomi: mendesak kerajaan-kerajaan negara-negara Muslim supaya memenuhi tuntutan Islam dengan menyediakan, antaranya, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan yang lebih baik.  

Outreach: meningkatkan literasi media dan bekerjasama dengan media dalam meluaskan dan memperdalam kefahaman masyarakat tentang pandangan-pandangan demokrat Muslim di dalam dan di luar dunia Islam supaya mengurangkan ketegangan di antara dunia Muslim dan bukan Muslim.

Laporan Tahunan: menerbitkan siri laporan tahunan bertema bagi menggalakkan lagi dialog untuk mempromosi demokrat Muslim.

Kejayaan persidangan ini membuatkan penganjurnya merancang siri ketiganya di Turki tahun depan.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Demokrat Muslim perlu memimpin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ