Tanglung, Islam dan muhibah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tanglung, Islam dan muhibah

SABAN tahun kerajaan menganjurkan pesta tanglung sebagai satu acara nasional untuk memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walaupun ia satu usaha yang murni namun persoalan timbul tentang bagaimanakah ia satu acara yang bersifat Malaysia sedangkan pesta tersebut lebih mempamerkan budaya satu kaum dan kaum lain mendapati sukar untuk mengaitkan pesta tersebut dengan budaya hidup mereka.

Orang Melayu umpamanya akan bertanya bagaimanakah pesta tersebut mencerminkan budaya hidup Islam dan Melayu walaupun ia digemakan sebagai budaya Malaysia.

Dalam erti kata lain, pesta tanglung yang bersifat Malaysia mestilah sesuatu yang peka kepada sensitiviti kaum lain supaya ia dapat memberi manfaat kepada mereka dan bukan sekadar menghiburkan hati semata.

Oleh kerana muhibah adalah asas kesejahteraan rakyat Malaysia, pihak penganjur boleh memilih satu tema setiap tahun untuk menunjukkan bagaimana muhibah boleh dijanakan melalui tema tersebut.

Sebagai contoh, rumah adalah rukun kebahagiaan keluarga, masyarakat dan negara. Sehubungan itu, apabila kerajaan mengadakan pertunjukan dan perarakan tanglung yang disertai pemimpin negara dan juga rakyat jelata, tanglung rumah mestilah mempamerkan rumah tradisional Cina, Melayu, India dan Peribumi Sabah dan Sarawak yang dipasang lilin di dalamnya, di samping membawa mesej bahawa kemajuan hidup tidak mengetepikan warisan dan nilai tradisional yang menjadi penghubung muhibah antara kaum.

Pada tahun berikutnya temanya boleh berkisar di sekitar pakaian rakyat Malaysia seperti baju tradisional Cina, baju Melayu dan baju kurung, baju tradisional India dan juga Peribumi Sabah dan Sarawak serta tanglung-tanglung berkenaan boleh mempamerkan corak pakaian tradisional Malaysia.

Selain itu, para pemimpin, rakyat jelata serta anak-anak kecil boleh mengenakan pakaian tradisional mereka semasa berarak dengan tanglung-tanglung tersebut. Lebih bermakna seandainya orang Cina memakai pakaian orang Melayu dan kaum lain dan begitu juga kaum lain memakai pakaian selain daripada kaum mereka.

Pesta tanglung yang demikian rupa boleh menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada negara lain yang mempunyai masyarakat Tionghoa dan Islam hidup bersama, seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Cara Malaysia menyambut pesta tanglung yang pada asalnya adalah pesta satu budaya tertentu boleh menjadi satu pesta yang bersifat keIslaman dan juga universal atau sejagat dengan cara negara kita melakukannya.

Muslim Tionghoa Malaysia juga boleh menunjukkan bagaimana pesta tanglung mencerminkan budaya hidup Cina sebagai budaya hidup Islam dengan sulaman puisi seperti berikut:


Musim tanglung kembali lagi
Anak kecil riang menanti
Memegang tanglung sambil menari
Cahaya lilin menyinar murni

Tua muda ikut sekali
Gelak ketawa menghibur hati
Bulan bintang di langit tinggi
Menghiasi malam segenap bumi

Muslim Tionghoa di negara ini
Musim tanglung tetap dirai
Adat Cina sebati diri
Selagi syariat landasan amali

Tanglung Cina berwarna-warni
Indah dilihat menusuk hati
Tanglung iman di sanubari
Menyuluh jiwa menambah seri

Sebagai sebuah negara yang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah hab Islam yang bersifat multikultural atau kepelbagaian rupa kaum menerusi industri pelancongan Islam umpamanya, pesta tanglung boleh menjadi satu kesempatan untuk mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang boleh menyambut acara budaya kaum lain sebagai sebuah acara Islam.

* Penulis bekas pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
0 Komentar untuk " Tanglung, Islam dan muhibah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ