Perlu sangatkah bidan lelaki? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perlu sangatkah bidan lelaki?

SEMASA saya kecil, bidan yang masyhur di kampung saya bernama Tok Bedah Banjar. Seorang lagi, Tok Piah. Di kampung sebelah, pun Tok Piah juga, iaitu nenek tiri saya.

Di tangan merekalah kebanyakan anak-anak kampung kami lahir. Ketika itu, hampir tidak ada anak kampung yang lahir di hospital kerajaan, apa lagi swasta.

Bukan tidak ada bidan ditempatkan di klinik kerajaan di Pekan Mahang. Namun apabila  ibu-ibu di kampung lebih selesa berbidan secara tradisional, fungsi Misi Hambiah dan Misi Habibah lebih tertumpu pada khidmat pemeriksaan sebelum dan selepas bersalin selain memberi nasihat sahaja.

Yang jadi pilihan untuk sambut bayi tetap sama ada Tok Bedah atau kedua-dua Tok Piah.

Tidak ada pula bidan yang bernama Tok Awang, Tok Usin atau Tok Bidin kerana bidan kampung seratus peratusnya wanita.

Hanya setelah usia meningkat remaja dan mula  membaca makalah-makalah berkaitan reproduksi manusia, barulah saya diperkenalkan dengan satu pemahaman bahawa lelaki sebenarnya ramai juga yang jadi bidan walaupun mereka tidak dipanggil bidan.

Ini satu pengetahuan baharu yang saya sambut dengan rasa yang menjengkelkan kerana saya faham,  tugas bidan adalah berkaitan dengan penglihatan dan sentuhan pada lokasi-lokasi sulit tubuh wanita.

Dalam Islam, daerah-daerah  itu disebut aurat,  yang juga adalah kawasan larangan bagi lelaki yang bukan suami, sekalipun mahram.

Itulah bidang tugas golongan yang dipanggil doktor sakit puan atau di hospital disebut pakar obstektrik dan ginekologi.

Mengikut rujukan saya, obstektrik merupakan istilah daripada perkataan dalam bahasa Latin yang maksudnya adalah bidan manakala ginekologi pula adalah kajian dan pengurusan penyakit yang menjejaskan organ wanita.

Maknanya, mereka yang melanggan perkhidmatan pakar-pakar dalam bidang ini adalah wanita sahaja namun pakar-pakar itu pula boleh sahaja terdiri daripada wanita dan lelaki.

Tidak. Saya sama sekali tidak bermaksud untuk mempertikaikan lelaki yang melibatkan diri dalam bidang perbidanan ataupun obstektrik dan ginekologi.

Namun mengimbas pengalaman masa lalu , terutama bagi kita yang lahir dan membesar di kampung, kejanggalan untuk menghadapi realiti seperti itu pasti terasa juga kerana ia mungkin akan melibatkan isteri kita.

Ini mungkin bersebab dengan latar belakang saya – dan juga mereka yang seperti saya – yang lahir disambut oleh bidan wanita dan tidak pernah pun dengar atau tahu mengenai adanya bidan lelaki sehinggalah mencapai umur tertentu pada ketika usia menghampiri dewasa.

Namun hidup di bandar,  bersalin dengan bayi disambut oleh doktor atau bidan lelaki sudah jadi budaya yang diterima, ataupun dipaksa untuk menerima.
Mengapa saya berkata begitu?

Ini kenyataan yang saya titip daripada komen di media sosial oleh seorang suami: “Tidak ada seorang suami pun sanggup jadi macam itu... kalaulah ada permintaan daripada isteri (mahu berbidankan doktor yang kacak), mungkin itu adalah juga permintaan untuk tapak tangan singgah di muka.

Saya pernah lalui saat isteri nak lahirkan anak, dipanggil doktor praktikal dua, tiga orang duduk di celah kangkang kononnya untuk periksa berapa sentimeter.

Lepas itu, siap jolok-jolok lagi. Saya nak tanya, adakah suami yang sanggup tengok depan mata sendiri macam itu?

Kenyataan suami ini adalah merujuk pada kontroversi membabitkan seorang ‘doktor hensem’ yang bersiaran menerusi ruangan soal jawab di radio baru-baru ini. Kekacakan doktor itu menyebabkannya begitu menarik perhatian ramai wanita hingga ada yang sanggup bercakap secara terbuka di udara menempah ‘doktor hensem’ itu membidankannya bersalin.

Apa pun, saya tetap percaya setiap doktor termasuk ‘doktor hensem’ itu bekerja secara profesional dan tidak melanggar batasan dan tujuan yang dihadkan dalam profesionalisme mereka.

Namun itulah yang berlaku apabila seorang yang rupawan dihadapkan kepada khalayak hingga ada yang terlupa untuk menjaga maruah diri dan suami hingga tergamak membuat kenyataan yang tidak sepatutnya itu secara terbuka.

Dalam keadaan ini, ada baiknya jika kerajaan kembali kepada prinsip Islam iaitu mengehadkan hanya doktor wanita sahaja yang bergiat dalam bidang obstektrik dan ginekologi membabitkan wanita Islam. Beberapa negara Islam termasuk Arab Saudi sudah pun mengamalkan sistem itu.

Dengan ini, maruah orang kita akan lebih terjaga dan mudah-mudahan hidup kita bertambah berkat serta dijauhkan daripada bencana yang membimbangkan seperti sekarang.

Ini  boleh dilakukan secara berperingkat dengan melatih pakar-pakar di universiti yang mana sedia diketahui wanita lebih cemerlang dalam akademik berbanding lelaki.

Tidak harus diragui tentang keperluan masa hadapan kerana sampai kiamat pun, lelaki tidak akan beranak!

0 Komentar untuk " Perlu sangatkah bidan lelaki? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ