Optimis pelaburan naik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Optimis pelaburan naik

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) optimis nilai kelulusan bagi jumlah pelaburan untuk sektor pembuatan negara ini bermula Januari hingga September tahun ini menyamai jumlah pelaburan sepanjang 2014 iaitu RM71.9 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementeriannya yakin jumlah pelaburan bagi sektor itu sama ada domestik dan antarabangsa akan meningkat pada tahun ini.

“Malaysia akan terus menarik pelaburan asing, kementerian dan agensi akan terus bekerja keras untuk meningkatkan jumlah pelaburan dalam negara,” katanya selepas pengumuman pengembangan syarikat pembuat wafer, X-FAB Group, di Kuala Lumpur, semalam.

Mustapa berkata, selain sektor pembuatan, sektor pertanian, elektrik dan elektronik juga turut mencatatkan pertumbuhan yang baik berbanding 2014.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pencapaian pelaburan negara secara keseluruhan akan diumum dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai syarikat tersebut, beliau berkata, syarikat mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam perolehannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jumlah pelaburan sebanyak RM500 juta sangat signifikan untuk tempoh beberapa tahun. Syarikat juga mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan 70 peratus daripadanya mempunyai kelulusan akademik yang baik,” katanya.

Menurutnya, syarikat tersebut juga yakin dengan masa depan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif X-FAB Group, Rudi De Winter berkata, syarikat merancang melabur RM500 juta bagi mengembangkan operasinya di negara ini.

Katanya, syarikat juga menjangkakan peningkatan kapasiti pengeluaran produk dari kilang di Kuching, Sarawak bagi memenuhi permintaan pelanggannya di seluruh dunia.

“Pelaburan untuk pengembangan operasi itu termasuk perbelanjaan modal RM125 juta bagi tahun ini dan dengan pelaburan ini kami menjangkakan kapasiti pengeluaran wafer silikon akan meningkat dari 24,000 unit kepada 27,000 unit sebulan.

“Kami turut menyasarkan peningkatan dalam jumlah pendapatan syarikat iaitu sebanyak AS$150 juta tahun ini dan seterusnya meningkat 20 peratus bagi 2016,” katanya.

Beliau berkata, syarikat mempunyai kilang di Jerman dan Amerika Syarikat.

“Syarikat juga menyasarkan mulai 2016 ,X-FAB Sarawak akan menyumbang lebih 50 peratus perolehan kepada X-FAB Group,” katanya.

0 Komentar untuk " Optimis pelaburan naik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ