Kerja kemasyarakatan selari tuntutan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kerja kemasyarakatan selari tuntutan Islam

TANGGUNGJAWAB sosial korporat (CSR) perlu terus diperkasakan kerana peranan pentingnya dalam pembangunan masyarakat terutama untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara. Dalam proses pemerkasaan peranan CSR ini, pengupayaan instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan. Program CSR adalah satu konsep Barat yang sangat terkenal dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan alam sekitar. Howard R Bowen (1953) telah diberi jolokan sebagai bapa CSR berkata, tanggungjawab seorang ahli perniagaan bukan sekadar memaksimumkan keuntungan tetapi memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat sebagai panduan pelaksanaan perniagaan yang baik.

Tingkat reputasi syarikat 

Banyak manfaat bersifat jangka panjang dalam pelaksanaan CSR seperti meningkatkan reputasi syarikat, menambahkan lagi peluang perniagaan, memastikan pengurusan cekap dan kurang berisiko serta menambah baik kualiti hidup pekerja. Sebagai galakan, kerajaan menawarkan insentif kepada syarikat yang melaksanakan CSR dengan memberikan pengecualian cukai.

Terdapat tiga tunjang utama CSR yang dikenali juga sebagai 'tripple bottom line' yang merangkumi masyarakat, keuntungan dan alam sekitar. Tanggungjawab setiap perniagaan bukan untuk beroleh keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan masyarakat serta alam sekitar di sekelilingnya. Walaupun konsep CSR ini teori daripada Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan mencapai kejayaan material sahaja. Ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling.

Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakkan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosioekonomi sesebuah negara. Ramai penyelidik sudah mula mengkaji gabungan antara zakat dan wakaf yang dilihat mempunyai potensi besar dan saling lengkap-melengkapi bagi menjamin kesejahteraan pembangunan sosioekonomi negara secara menyeluruh.

Pada masa kini, peranan kedua-dua instrumen zakat dan wakaf dapat diperkukuhkan menerusi pembabitan syarikat perniagaan dalam program CSR. Amalan badan korporat menyumbang dana CSR kepada beberapa pihak secara selektif dengan memberi tumpuan hanya kepada sebahagian kelompok masyarakat. Aktiviti CSR biasanya diberikan kepada rumah anak yatim, rumah orang tua, biasiswa pendidikan dan gotong-royong. Peluang ini perlu diambil untuk mengubah cara penggunaan dana CSR sedia ada kepada sesuatu aktiviti yang menyumbang ke arah pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Pengagihan zakat produktif 

Ia dapat diupayakan menerusi pengurusan pengagihan zakat secara produktif dan inovasi kepada konsep wakaf seperti wakaf tunai dan wakaf korporat. Dana yang dikumpul daripada ketiga-tiga instrumen ini dapat dimanfaatkan dengan pelbagai cara. Secara praktikalnya, dana yang terkumpul boleh disalurkan dalam bentuk pembiayaan mikro, persediaan untuk menyediakan latihan asas membina model perniagaan dan pembangunan infrastruktur awam ke arah kebajikan masyarakat. Dana yang diberi bertujuan menambah baik taraf kehidupan masyarakat.

Pemberian bantuan wang secara langsung bersifat tidak kekal hendaklah dikurangkan. Kita seharusnya berikan kail bukan ikan menunjukkan penjanaan pendapatan berterusan adalah pemangkin untuk memastikan golongan miskin keluar daripada kelompok kemiskinan. Impak daripada aktiviti ini dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat. Ia dapat memperbaiki taraf kehidupan masyarakat dan pada masa sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara. Selain itu, ia juga galakan kepada golongan miskin menjana pendapatan sendiri yang akan mengurangkan kadar pengangguran. Zakat dan wakaf adalah instrumen atau wadah baharu bagi memperkasakan CSR sebagai landasan membangunkan sosioekonomi negara.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/96489
0 Komentar untuk " Kerja kemasyarakatan selari tuntutan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ