Hujan boleh sebabkan manusia beriman, kufur - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hujan boleh sebabkan manusia beriman, kufur

ALLAH SWT sentiasa melimpahkan segala nikmatnya sehingga dapat dikecapi sekalian manusia dan semua makhluk-Nya. Berbagai nikmat dikurniakan kepada manusia. Nikmat tidak terhitung itu adalah anugerah kepada manusia dengan sifat Rahman dan Rahim yang terkandung dalam nama suci Allah SWT.

Antara nikmat yang banyak itu, kita dapati antaranya ada nikmat yang keluar dari perut bumi berupa tumbuhan dan galian dan ada yang turun dari langit berupa hujan yang menyuburkan tanaman serta memberi manfaat kepada manusia dan seluruh makhluk yang lain.

Hujan adalah antara nikmat terbesar daripada Allah SWT sebagaimana penjelasan daripada Allah SWT bermaksud: "Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekali gus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai." (Surah Qaf ayat 9).

Inilah contoh hujan yang terbaik daripada Allah SWT yang diturunkan dengan kapasiti yang sesuai untuk manfaat manusia. Dengan kadar yang cukup inilah menjadikan hujan sebagai rahmat sebagaimana maksud firman Allah SWT. Ulama Tafsir menyebut bahawa setiap titisan air yang diturunkan diwakilkan seorang malaikat memikulnya dan menurunkan ia ke tempat yang diperintahkan. (Al-Hafiz Hakami).

Mengikut riwayat yang sahih, seorang lelaki daripada ulama sufi melihat kepulan awan yang membawa hujan lalu mengikuti pergerakan hujan tersebut sehingga sampai pada suatu kebun dan menurunkan hujan. Lalu, lelaki tersebut bertanyakan sebab mengapa hujan hanya turun di kebunnya saja. Lalu petani itu menjawab, sesungguhnya setiap kali aku memungut hasil tanaman, aku berjanji untuk membahagikan hasil tanamanku kepada tiga bahagian dan aku laksanakan semua janji tersebut. Sebahagian untuk upah pekerja, sebahagian untuk keluargaku dan sebahagian lagi aku sedekahkan kepada fakir miskin yang tiada apa-apa hasil tanaman. Cerita ini mengajar kita bahawa bahawa hujan yang didatangkan kepada orang yang beriman dan beramal salih adalah rahmat dan diturunkan dengan cara terbaik dengan kadar keperluan mereka.

Jelas bahawa segala keberkatan di langit dan di bumi hanya disediakan Allah SWT disebabkan kebajikan yang dilakukan seseorang. Justeru, Baginda SAW menganjurkan kita melakukan solat istisqa (minta hujan) sekiranya berlaku kemarau panjang. Daripada Anas r.a, pernah seorang lelaki masuk ketika Baginda SAW sedang berkhutbah dan memohon agar Baginda SAW mendoakan supaya diturunkan hujan kerana kemarau panjang. Lalu Baginda SAW menadah tangan memohon doa agar diturunkan hujan. Anas menyebut, ketika itu kami melihat kepulan awan hitam berkumpul umpama bukit yang besar sebagai tanda Allah memperkenankan doa Baginda SAW.

Turun bala sebagai amaran 

Namun demikian, perlu diingat bahawa tidak semua hujan adalah rahmat bagi manusia. Terkadang ia adalah malapetaka yang diturunkan Allah SWT sebagai peringatan buat mereka yang ingkar. Kaum Nabi Nuh diutuskan hujan yang lebat sehingga tenggelam bumi seluruhnya sebagai tanda azab lantaran keingkaran mereka terhadap seruan Nabi Nuh. Firman Allah SWT bermaksud: "Maka Kami bukakan pintu langit dengan hujan yang sangat dahsyat." (Surah al-Qamar ayat 11)

Bukan saja dari langit, bahkan bumi juga melimpahkan airnya sehingga Allah SWT menyifatkan kekuatan ombak ganas umpama gunung yang memusnahkan segalanya sebagaimana firman-Nya dalam surah Hud ayat 42 bermaksud: "Bahtera Nuh merentas gelombang ombak laksana gunung yang tinggi." Perkataan 'buka' pada surah Al-Qamar tersebut ditafsirkan ulama sebagai lafaz yang menunjukkan luasnya pintu langit dibuka berserta azab ke atas mereka. Demikian juga kaum Nabi Hud yang menolak seruan tauhid serta mempermainkan utusan Allah SWT malah mencabar Allah SWT untuk disegerakan azab.

Maka Allah SWT mengutuskan hujan azab ke atas mereka. Firman Allah SWT bermaksud: "Tatkala mana mereka melihat azab itu berupa awan yang melintasi kawasan mereka, mereka menyangka ia adalah hujan biasa. Bahkan ia adalah azab sebagai menyahut cabaran mereka agar disegerakan balasan. Maka angin dan awan yang datang adalah azab yang pedih. Menghancurkan segalanya sehingga tinggal kesan rumah-rumah mereka saja. Demikianlah Kami membalas kepada kaum yang berdosa". (Surah Al-Ahqaf ayat 24)

Hujan yang turun ke atas kaum A'ad ini juga disifatkan oleh Allah SWT sebagai hujan yang buruk melalui firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya mereka datang kepada sebuah kampung yang dihujani dengan hujan buruk. Tidakkah mereka melihat?" (Surah Al-Furqan ayat 40)

Ada juga ulama tafsir menyifatkan ia sebagai hujan kemerah-merahan umpama darah yang tidak memberi manfaat apa-apa. Menunjukkan bahawa bumi yang dikurniakan rahmat hujan, akan mendapat manfaat daripadanya. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Tidaklah dianggap baik jika sekiranya bumi yang menerima hujan itu tidak dapat manfaat darinya." (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh kerana itu, Baginda SAW apabila melihat angin dan awan gelap, jelas kelihatan kebimbangan terhadap wajah beliau sehingga Aisyah bertanya tentang perubahan wajah Baginda SAW sedangkan orang lain bergembira dengan kedatangan hujan. Jawab Baginda SAW: "Wahai Aisyah, sesungguhnya kita tidak mengetahui adakah ianya rahmat ataupun azab yang akan turun." (Hadis Riwayat Bukhari) Justeru, Baginda SAW menganjurkan kita berdoa apabila melihat awan dan angin kencang agar kita menyebut: "Ya, Allah jadikanlah ia sebagai Riyah (angin rahmat) dan janganlah jadikan ia sebagai Rih (angin azab).

Dua perkataan ini berasal dari lafaz yang sama namun membawa maksud yang berbeza sama sekali. Angin rahmat yang dimaksudkan Allah SWT terdapat pada ayat Al-A'raf ayat 57 bermaksud: "Dialah yang mengutuskan angin sebagai rahmat daripada-Nya." Bagi angin yang membawa azab dapat dilihat pada peristiwa ahzab melalui firman Allah SWT bermaksud: "Tatkala datang pihak musuh kepada kamu, maka Kami utuskan angin azab dan tentera malaikat yang tidak kelihatan." (Surah Ahzab ayat 9)

Demikian juga tindakan sahabat mengikut riwayat yang kuat di mana mereka turut berdoa apabila melihat guruh di langit dengan menyebut: "Maha suci Tuhan yang bertasbih padanya guruh di langit serta para malaikat yang sentiasa tunduk pada-Nya."

Syirik percaya makhluk lain 

Perlu juga diingat bahawa fenomena hujan juga boleh mendatangkan syirik kepada akidah umat Islam kerana mereka menyandarkan fenomena dan musim ini kepada makhluk selain daripada Allah SWT. Riwayat sahih menyebut bahawa, pada peristiwa Hudaibiyah umat Islam disapa hujan yang sudah sekian lama dinantikan mereka.

Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: "Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah SWT kepadaku. Jawab sahabat, tidak. Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: Sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur. Bagi yang beriman, mereka akan berkata, kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. Manakala orang yang kufur akan menyandarkan kepada bulan dan bintang serta perkara lain terhadap fenomena ini."

Demikian juga disebut tentang tanda kiamat di mana ramainya manusia yang mati akibat panahan petir. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya ketika dunia berada di penghujungnya, ramai manusia mati disebabkan panahan petir sehingga setiap hari ada yang bertanya, hari ini siapa yang mati dengan petir?" (Hadis Riwayat Ahmad dan lain-lain)

Perubahan dunia Arab dan fenomena banjir di akhir zaman juga pernah disebut oleh Baginda SAW. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga bumi Arab yang kontang menjadi padang rumput dan sungai-sungai". (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas ianya berkaitan dengan fenomena hujan yang menghijaukan bumi Arab yang tandus. Imam Muslim juga meriwayatkan ketika peristiwa perang Tabuk, ketika Jabir Bin Abdillah berwuduk bersama Baginda SAW lalu Baginda menoleh kepada Jabir dan bersabda: "Wahai Jabir, jika sekiranya engkau dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kamu akan melihat bumi Tabuk yang tandus ini akan dipenuhi dengan taman-taman hijau." Jelas kelihatan bumi Tabuk pada hari ini sudah menjadi hijau dengan tanaman dan kebun hijau.

Begitu juga dunia Arab yang dilanda hujan menunjukkan betapa benarnya perkhabaran Baginda SAW tentang menjelangnya akhir zaman. Kesimpulannya, fenomena hujan yang melanda adalah ketentuan Allah SWT yang perlu dilihat sebagai nikmat ataupun bencana berdasarkan kapasiti dan kadar turunnya hujan tersebut. Baginda SAW diutuskan untuk menyelamatkan akidah umat Islam serta menyeru kepada tauhid yang jitu dengan menyandarkan semua kejadian kepada kuasa, kudrat dan ketentuan Allah SWT.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/96019
0 Komentar untuk " Hujan boleh sebabkan manusia beriman, kufur "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ