Akibat bergurau dengan wartawan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Akibat bergurau dengan wartawan

*ADA sesetengah wartawan– bukan dari Sinar Harian –dikatakan tidak peka, dan menjadikan gurauan semasa sidang media sebagai berita untuk siaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin ada menyebut perkataan ‘saya pun nak cari makan’ ketika didesak oleh wartawan sama ada beliau akan memanggil Datuk Seri Najib Razak berhubung 1MDB.

Beliau telah meminta wartawan jangan menjadikan kata-kata itu sebagai bahan berita sebab apa yang beliau cakapkan itu hanyalah gurauan. Tetapi ada akhbar menyiarkan itu sebagai berita.

Maka pengerusi baharu PAC itu pun berkecil hati. “Saya kecewa,” katanya.

*AGAKNYA sebab terlalu kecewa, Hasan berkata: “PAC tidak akan mengadakan sebarang sidang akhbar lagi, jika ada sebarang maklumat yang hendak diberitahu akan dimaklumkan melalui kenyataan bertulis rasmi.”

Sebagai orang surat khabar, saya memahami dan bersimpati kepada Hasan. Baru pertama kali mengadakan sidang akhbar PAC, sudah dimainkan wartawan. Tetapi pada hemat saya Hasan yang telah sekian lama menjadi YB – baik dalam Dun dan Parlimen – janganlah sampai merajuk tidak mahu lagi menemui wartawan.

Kedudukan sebagai Pengerusi PAC sepatutnya menjadikan dia lebih intim dengan media. Boleh jumpa wartawan, tetapi elakkan gurauan atau jenaka, terutama dalam hal-hal kontroversi seperti 1MDB. Bagi wartawan jenaka pun ada nilai berita!

*SETUJU betul saya dengan ketegasan Tan Sri Dr Rais Yatim dalam memartabatkan bahasa Melayu. Penasihat sosiobudaya kepada kerajaan itu menegur YB DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang sengaja menggunakan bahasa Inggeris ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Jabatan Perdana Menteri, minggu lalu.

Chong yang mulanya bercakap Melayu tiba-tiba menukar kepada bahasa Inggeris atas alasan Perlembagaan Malaysia memberi hak untuk sesiapa menggunakan bahasa lain.

Kata Rais, seperti yang dilaporkan Bernama: “Dia (Chong) hidup di negara ini, dia tentu tahu bahasa Malaysia. Kalau dia bertegas untuk menggunakan bahasa Inggeris, dia mesti bersedia meletak jawatan sebagai anggota Parlimen.” Jangan pula ada sesiapa menganggap kata-kata Rais itu sebagai rasis.

Hakikatnya ialah ramai orang kini memperlekeh bahasa Malaysia.

*PERIHAL mendaulatkan bahasa Malaysia, sesetengah pihak nampaknya tidak begitu sensitif, malah seperti mengutamakan bahasa Inggeris.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan bahawa kerajaan Negeri Kenyalang menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negeri.

Beliau memberitahu perhimpunan pegawai awam negeri bahawa semua suratmenyurat rasmi kerajaan boleh menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris, dan katanya “ini satu langkah yang logik.” Apa komen para pejuang bahasa Melayu?

*BEBERAPA orang teman yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji memberitahu peniaga di bumi anbia fasih menggunakan bahasa Melayu dalam apa
juga urus niaga dengan jemaah kita.

Baik di Madinah atau di Makkah, peniaga memujuk haji dan hajah dari Malaysia menggunakan bahasa Melayu. Tawarmenawar dan promosi barangan pun dilakukan dalam bahasa Melayu.

Maka, siapa kata bahasa Melayu @ bahasa Malaysia tidak boleh menjadi medium perantaraan perniagaan dan perdagangan antarabangsa?

Semua orang tahu beratus dulu Melaka menjadi pusat perdagangan dunia, dan bahasa Melayu digunakan sebagai medium ekonomi, baik oleh Portugis, Belanda dan pedagang-pedagang Inggeris sendiri.

Malang sekali setelah negara merdeka kita telah hilang keyakinan terhadap bahasa ibunda, dan ramai orang termasuk menteri dan pemimpin Melayu sendiri lebih senang bercakap bahasa Inggeris. Sebab itu orang berani pijak dan kencingkan bahasa kita!

*AKHIR kalam, masih mengenai bahasa. Semua bimbang dan kalut semacam apabila mendapati mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita – termasuk pada peringkat universiti – semakin merosot.

Konon beribu pelajar yang mengikuti kursus perubatan di universiti kita, tidak dapat meneruskan pengajian kerana lemah bahasa Inggeris. Yang sudah lulus dan hendak menjadi doktor pun memilih kerjaya lain sebab lemah bahasa Inggeris.

Dalam pada itu beribu-ribu lagi lepasan institusi pengajian tinggi gagal mendapat kerja sebab tidak fasih, atau tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Ada yang lulus universiti tetapi tidak dapat bercakap walaupun satu ayat dalam bahasa Inggeris.

Pelajar kita diajar subjek bahasa Inggeris sejak darjah satu hingga darjah enam, kemudian tingkatan satu hingga tingkatan enam, tambah lagi tiga tahun di universiti. 15 tahun belajar bahasa Inggeris mereka masih tidak tahu cakap orang putih. Mungkin kaedah pengajaran bahasa di sekolah kita tidak betul!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Akibat bergurau dengan wartawan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ