Ramadan bulan yang menghidupkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramadan bulan yang menghidupkan

TIDAK dapat dinafikan bahawa pada pandangan umum, Ramadan merupakan suatu bulan yang meletihkan dan melemahkan. Apa tidaknya, di bulan ini manusia dinafikan salah satu fitrah asasi yang selama ini memperkuatkan jasadnya dan meneruskan kelangsungan kehidupannya, iaitu makanan.

Akibat dari penafian ini perut menjadi lapar, badan menjadi lemah dan banyak aktiviti yang perlu dikurangkan.

Ramadan dilihat melemahkan kerana kita hanya melihatnya dari sudut jasmani. Namun hakikat kejadian ALLAH tidak tertakluk kepada hakikat jasmani sahaja. Jika diteliti, manusia sendiri dijadikan Tuhan bukan sekadar sebagai makhluk jasmaniah.

Berdasarkan ajaran al-Quran, manusia merupakan makhluk dwi-fitrah yang dicipta berdasarkan dua unsur, roh dan jasad.  Kedua-duanya, walaupun berkait rapat, dijadikan daripada sumber dan unsur yang berbeza.

Jasad dijadikan daripada unsur tanah (al-Mu’minun 23:12) dan berasal daripada air mani yang hina (al-Qiyamah 75:37), sementara roh merupakan hakikat halus dan tinggi yang ditiup terus daripada ALLAH (al-Sad 38:72, al-Hijr 15:29).

Roh adalah urusan ALLAH (al-Isra’ 17:85), justeru, hakikat dan rahsia ketinggiannya hanyalah berada pada ilmu ALLAH. Roh juga menurut al-Quran pernah mengangkat persaksian terhadap ketuhanan ALLAH sebelum ia digabungkan bersama dengan jasad dan diturunkan ke dunia ini. (al-A’raf  7:172)

Kedua-dua unsur yang membina manusia ini mempunyai kelebihan dan perlu disempurnakan. Jasad disempurnakan kelebihannya melalui makanan. Justeru, ALLAH menciptakan juga pada manusia shahwat yang melaluinya manusia akan tergerak untuk mengisi keperluan jasad.

Sementara roh disempurnakan kelebihannya dengan menimba ilmu, mengingati Tuhan (zikr) dan melakukan amalan ibadah sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba ALLAH yang harus tunduk kepada ALLAH. Matlamat akhir kesempurnaan roh ialah untuk mencapai ketaqwaan kepada ALLAH (al-Hujurat 49:13).

Satu lagi fitrah kejadian yang ciptakan ALLAH berkaitan roh dan jasad ialah kedua-duanya seringkali bertentangan dari segi arah tuju kewujudannya. Roh cenderung untuk ‘naik tinggi’ untuk menuju Penciptanya. Kedudukan roh yang tertinggi menurut al-Quran ialah yang kembali kepada Tuhannya dengan keadaan ia reda kepada Tuhannya dan ia diredai (al-Fajr 89:28).

Sementara fitrah jasad akan sentiasa menarik manusia ke bawah sesuai dengan asalnya daripada tanah. Justeru, sekiranya keperluan jasad diberikan secara berlebihan, ia akan memberi kesan terhadap pembinaan roh dalam ertikata ia akan melambatkan proses untuk mengisi keperluan roh.

Sehubungan itu, agama Islam mendisplinkan umatnya melalui ajaran Rasul untuk mereka berpada-pada dalam mengambil makanan. Sebuah hadis menyebut “Kami adalah kaum yang tidak akan makan sehingga kami lapar dan apabila kami makan, kami tidak akan (makan sehingga) kenyang.”

Kecintaan manusia terhadap makanan bukanlah satu rahsia. Sehubungan itu, Ramadan merupakan bulan khusus yang ditentukan oleh agama bertujuan mendisiplinkan manusia untuk mengimbangi kerakusan manusia untuk mengisi keperluan jasad mereka.

Maka dengan menjelangnya Ramadan, ia merupakan saat dan ketika yang memberi peluang kepada manusia untuk memperkukuhkan dimensi roh mereka yang merupakan hakikat dan intipati kepada kewujudannya.      

Dengan dinafikan hak jasad untuk mendapat kelebihannya buat sementara waktu, ia sebenarnya memberi ruang kepada roh untuk memperkukuhkan keadaan dan menyempurnakan kelebihannya. Dengan kata lain, lebih kuat roh seseorang akan lebih kuatlah kemanusiaannya. Ramadan adalah bulan yang menghidupkan dan memperkuatkan aspek sebenar manusia.

Kesimpulannya, Ramadan pada hakikatnya adalah bulan yang menghidupkan manusia berdasarkan hakikat berikut:

Pertama, kerana roh manusia adalah hakikat sebenar dirinya. Lebih kuat roh seseorang, lebih hidup zat diri seseorang manusia.

Kedua, memandangkan kecenderungan fitrah roh dan jasad yang kadangkala bertentangan, keterlaluan melebihkan pengisian keperluan jasad akan melemahkan roh. Oleh yang demikian, puasa, walaupun memaksa jasad untuk tidak menikmati keperluan biasanya, sebenarnya dalam proses memperkuatkan roh.

Sekiranya ini benar-benar difahami, insyaallah, Ramadan akan menjadi bulan yang menghidupkan dan menginsankan.

* Penulis ialah Pengarah, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, IKIM

Related Post

  • Hebatkah Polis Evo? SEBELUM dan selepas menyambut Hari Raya Aidiladha, media massa baik elektronik, cetak dan media sosial alam siber dip…
  • Perpaduan nasional satu keutamaan SIFAT perkauman bukan sahaja halangan kepada perpaduan nasional kita, tetapi merupakan ancaman kepadanya. Sekiranya d…
  • Bela dan tebus maruah Melayu! MENYELUSURI gerakan membela maruah Melayu pasti menemukan kita dengan pelbagai cabang perjuangan. Malah kebanyakan ca…
  • MCA perlu jadi jambatan MCA dalam kenyataannya baru-baru ini mahukan kembali kerusi Parlimen yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno dalam PRU13 iaitu…
  • Jerebu di mata, jerebu di hati *BANYAK sekolah ditutup, penerbangan tergendala, dan sana-sini kita melihat cuaca muram sepanjang hari. Semua terasa …
0 Komentar untuk " Ramadan bulan yang menghidupkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ