Menganjing atau menggunjing? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menganjing atau menggunjing?

DALAM dialek Kelantan, terdapat satu perkataan yang kerap digunakan oleh kebanyakan penutur jatinya yang agak menarik perhatian penulis. Perkataan yang dimaksudkan ialah menganyi.  

Di beberapa tempat, sebutannya kadang-kadang berubah menjadi menyanyi. Ada sesetengah penutur pula lebih selesa menyebutnya tanpa imbuhan, menjadikan perkataan ini kedengaran seperti perkataan nganyi ataupun nyanyi apabila diungkapkan.

Perkataan yang diujarkan dengan memberikan tekanan berunsur sengauan pada bahagian awal, tengah dan akhir kata ini, diungkapkan untuk menyatakan maksud melakukan sesuatu perbuatan (sama ada dalam bentuk aksi atau percakapan) dengan tujuan untuk mempermainkan, merendah-rendahkan, memperlekeh ataupun menghina (orang atau sesuatu perkara seperti agama, bangsa dan sebagainya).

Apabila menyebut perkataan menganyi, penulis sering mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. Seorang tuan guru di madrasah, tempat penulis belajar mengaji sering membacakan kitab-kitab agama yang ditulis oleh ulama tempatan dan ulama Nusantara.

Dari situlah penulis mula mendengar perkataan mempergunjing. Dari situ jugalah penulis memperoleh pengalaman bahasa dan pengetahuan yang tidak ternilai harganya.

Hadirin sering diingatkan oleh tuan guru agar tidak sesekali mempergunjing sesuatu perkara lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan soal agama. Beliau juga memberikan penjelasan bagi setiap bab yang diajarkan dalam dialek Kelantan. Perkataan mempergunjing itu diulas dengan sebutan yang berbeza, iaitu menganyi.

Menurut Kamus Dewan pula, kata gunjing merupakan kata yang berasal daripada suku Minangkabau yang bermaksud fitnah atau umpat.  Bagi kata terbitannya pula maksud diberikan ialah:

a)  Menggunjing - memfitnah, mengumpat, mengata-ngatai (orang dan sebagainya);
b)  Menggunjingkan - memfitnahkan, mencaci (orang), memperkatakan    keburukan (orang dan sebagainya)
c)  Gunjingan - umpat-mengumpat, perbualan (percakapan) memfitnah atau mengata-ngatai orang;
 
Penulis beranggapan bahawa kata terbitan mempergunjing membawa makna yang mempunyai perkaitan dengan menggunjingkan. Walaupun terdapat sedikit perbezaan makna antara kata menganyi yang digunakan dalam dialek Kelantan, namun makna asalnya boleh dikatakan bersinonim.

Perbuatan menganyi yang tujuannya mungkin sekadar untuk mempermain-mainkan sesuatu boleh membawa kesan buruk. Perbuatan menganyi lazimnya melibatkan ucapan ataupun kata-kata yang kurang sopan, tidak benar dan kadangkala disertai oleh aksi pelakunya yang menyakitkan hati orang yang terkena gunjingan itu. Hal ini berkemungkinan akan menimbulkan situasi memperlekeh sesuatu sehinggakan berlakunya cacian, umpatan, dan fitnah.

Di Kelantan perkataan menganyi masih digunakan dengan meluas hingga kini. Penulis mendapati bahawa tidak banyak penutur dialek Kelantan yang mengetahui asal-usul perkataan ini. Dalam kalangan penutur jati dialek Kelantan, banyak yang beranggapan bahawa kata dasar bagi kata menganyi ialah anjing, lantas ada yang cuba membakukannya dengan membentuk perkataan menganjing atau menganjing-anjingkan.

Perkataan ini juga kadangkala dijadikan unsur gurauan apabila perbuatan menganyi dilakukan secara tidak serius antara sesama rakan.

Sekiranya ditinjau dari aspek semantik, iaitu aspek kajian makna, perkataan menganyi, sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya tidak mempunyai perkaitan langsung dengan kata anjing. Walau bagaimanapun,  penulis tidak menemukan sebarang kata terbitan daripada perkataan tersebut yang tercatat di dalam mana-mana kamus.

Meskipun penggunaan kata menggunjingkan tidak popular dalam bahasa Melayu standard, sebagaimana kata menganyi yang popular di Kelantan namun perbuatan menggunjingkan orang lain atau sesuatu perkara berlaku di mana-mana.

Bahan gunjingan yang menyentuh keperibadian seseorang disalurkan melalui media sosial. Isu agama, bangsa, dan bahasa juga menjadi bahan gunjingan masyarakat. Jika aktiviti ini tidak dibendung, keharmonian negara serta kemurnian bahasa kita akan terganggu.

Oleh itu, hentikan perbuatan menggunjing. Cintailah Bahasa Kita. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

0 Komentar untuk " Menganjing atau menggunjing? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ