Kisah Aylan cetus kesedaran sejagat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kisah Aylan cetus kesedaran sejagat

JASAD Aylan Kurdi, anak kecil yang ditemukan terdampar di pantai Turki pada 2 September 2015 mencetuskan kesedaran masyarakat dunia yang sekian lama dinanti-nantikan. Hakikatnya, Aylan hanya satu antara 13 juta kanak-kanak yang, menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak berpeluang menempuh alam persekolahan kerana berdepan suasana peperangan.

Hayat anak kecil ini mungkin berakhir dengan tragedi, tetapi bukan kerana keluarganya tidak berusaha mencari perlindungan secara sah. Keluarganya, yang kini hampir semuanya sudah mati, termasuk ibunya Rehan dan abangnya, Galip yang baru berusia 5 tahun, terjerumus ke dalam jurang yang kian membesar, iaitu mereka yang terselamat selepas mengharungi perjalanan begitu sukar, dilayan dengan buruk atau terperangkap dalam awang-awangan keseksaan sehinggakan mereka pula mengharapkan maut.

Aylan yang menjadi masyhur mungkin kini dikenali namanya, tetapi ada ramai lagi kanak-kanak yang tidak dikenali akan lenyap daripada pandangan masyarakat. Pada 3 September lalu, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengeluarkan laporan bertajuk Education Under Fire, sebagai sebahagian kempennya bertajuk, "Tiada Generasi Yang Lenyap" mendedahkan keadaan kanak-kanak yang terperangkap oleh krisis peperangan menyayat hati.

13 juta tidak bersekolah

Kandungan laporan yang menggusarkan itu, mendedahkan hakikat yang membimbangkan iaitu 13 juta kanak-kanak tidak bersekolah di kawasan yang terbabit kancah peperangan dan konflik. Ini bermakna seluruh generasi itu akan membesar tanpa pelajaran di kawasan peperangan dan kesusahan. Laporan itu menganggarkan kira-kira 8,805 sekolah tidak digunakan, sama ada kerana kebanyakannya sudah musnah akibat bom atau kini digunakan untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal. Menurut laporan UNICEF, pertempuran memusnahkan pelaburan ke dalam bidang pendidikan dan pencapaiannya memakan masa bertahun-tahun, boleh melumpuhkan perkembangan sistem pendidikan.

"Di Jalur Gaza, kanak-kanak menggunakan bangunan sekolah sebagai tempat berlindung kerana rumah mereka musnah. Sekolah di Syria pula menempatkan sebahagian tiga juta orang yang terpaksa melarikan diri daripada konflik," menurut laporan itu. "Di seluruh Syria, sebahagian besar Libya, Sudan dan Yaman, ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang akan keselamatan mereka dalam perjalanan atau di sekolah itu sendiri."

Harapan tipis 

Generasi kanak-kanak yang tidak berpelajaran itu mempunyai harapan tipis apabila perlu menyesuaikan diri sebagai orang dewasa kelak di Eropah, terutama sekali kerana mereka tidak mungkin dapat mencapai tahap kemahiran diperlukan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan di Eropah dan ini akan memundurkan mereka lagi sehingga lebih jauh terpinggir.

Lupakan sejenak kesan kekal akibat ketiadaan pendidikan ini terhadap generasi akan datang, dan fikirkan kesan pengalaman ini yang disaksikan kanak-kanak berkenaan sepanjang perjalanan mereka.

Dianggarkan seorang antara setiap lima kanak-kanak yang terperangkap oleh kancah peperangan, kini mengalami trauma yang mungkin tidak akan dapat dipulihkan, dan ini boleh membawa kepada pelbagai masalah yang bakal dihadapi kanak-kanak ini apabila mereka dewasa kelak.

Selain kesan emosi terhadap mereka yang memasuki Eropah, kanak-kanak juga mengalami masalah kesihatan, seperti kerosakan gigi, kekurangan zat makanan, dan penyakit kulit kronik, termasuk jangkitan parasit dan kutu akibat kehidupan yang berpanjangan dalam keadaan daif.

Tidak ramai menerima suntikan vaksin dan ini mencetuskan pula kebimbangan apabila mereka tiba di Eropah, mereka akan membawa masuk penyakit yang sudah lama dibasmi di benua itu.

Vaksin percuma 

Di sebuah kem pelarian berhampiran stesen kereta api Tuscolana di Rome, sukarelawan sudah mula menawarkan vaksin percuma bagi penyakit polio dan tetanus berserta segelas susu dan biskut protein. Mereka juga kerap mengasapi kawasan itu dengan racun serangga untuk membunuh nyamuk, kutu, lipas, dan serangga lain.

Tindakan yang kononnya begitu berperikemanusiaan memerlukan penilaian jujur kesan yang tidak disengajakan tetapi membahayakan mereka yang tertinggal. Dengan hanya menerima yang muda, tegap dan cukup berada untuk melarikan diri tidak sahaja membelakangkan nasib mereka yang tua, uzur, dan miskin, tetapi juga memburukkan lagi keadaan negara asal mereka dengan cara mengeluarkan golongan paling berupaya mengembalikan keamanan dan kemakmuran daripada rantau itu. Jika tiada keazaman politik untuk menangani krisis sebesar ini, maka tiadalah kemahuan untuk benar-benar menangani isu yang menjadi puncanya.

Elak penyelesaian 

Sebenarnya, penyelesaian sentiasa dielak oleh rantau Eropah dan dunia Barat sejak kawasan ini bertelagah sesama sendiri akibat Revolusi Arab Spring, iaitu cara menangani ketidakstabilan di rantau mereka dan kebangkitan kumpulan ektremis agama, The Islamic State of Iraq and The Levant (ISIL).

Tragedi kemanusiaan ini perlu diselesaikan dengan tuntas, melalui strategi jangka pendek dan jangka panjang. Pada jangka pendeknya, bantuan segera perlu diberikan kepada mereka yang melarikan diri dari ISIL.

Tahap sokongan luar biasa perlu diberi kepada negara seperti Jordan Turki atau Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG) Iraq serta negara lain yang menjadi tuan rumah kebanyakan pelarian. Usaha Malaysia yang memberi komitmen untuk menerima 3,000 pelarian Syria adalah usaha terpuji, walaupun keputusan itu sebenarnya tidak memberi impak dan penyelesaian berkesan terhadap krisis kemanusiaan ini.

Malah, ASEAN sendiri berdepan isu pelarian Rohingya yang masih tiada persepakatan dalam kalangan negara anggota mengenai penyelesaian berkesan. Perkara pokok yang memerlukan tekanan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap kuasa besar dunia ialah mereka yang terancam dan hendak melarikan diri perlu diberi keyakinan bahawa era ISIL akan berakhir serta kehidupan lebih baik menunggu selepas ISIL dihapuskan. Ini hanya akan dicapai jika usaha menyeluruh bagi menghapuskan ISIL dilakukan segera.

Iktibar kisah Aylan Kurdi boleh menimbulkan kesedaran dan mengubah pendapat umum, tetapi tidak mampu mempengaruhi kejadian yang berlaku. Sehingga dunia, khususnya negara Barat menyelesaikan masalah ISIL dengan serius, menghentikan sikap dan dasar Islamophobia dan penindasan negara Islam, pelarian akan terus datang, pedagang manusia akan terus melakukan kegiatan mereka dan mayat akan terus terdampar di pantai Eropah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/89968
0 Komentar untuk " Kisah Aylan cetus kesedaran sejagat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ