Karya seni berkualiti jentik pemikiran masyarakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Karya seni berkualiti jentik pemikiran masyarakat

Karya seni lahir di tengah-tengah masyarakat dan dihasilkan untuk mengungkap mesej bagi memperbaiki pemahaman masyarakat terhadap kehidupan. Karya seni memiliki nilai tinggi bagi kehidupan pengkarya dan tidak sewajarnya dijadikan bahan dagangan bagi mengaut keuntungan di luar lingkungan batas harga. Karya seni yang bernilai tinggi bergantung kepada penilaian pencinta seni. Tetapi ada juga pengkarya mengambil kesempatan dengan meletakkan harga tinggi terhadap hasil seni meskipun nilai karya berkenaan tidaklah setinggi mana. Dalam keadaan begini muncul istilah 'pelacuran seni.'

Setiap hasil seni perlu memiliki nilai terhadap kehidupan manusia. Namun, apabila seni ditimbang tara menurut ukuran kewangan, harga karya seni itu akan ditentukan oleh khalayak seni tersendiri. Apabila perlu bagi pengkaryanya meletakkan ukuran harga bagi seni yang dihasilkan, maka nilai harga perlu sejajar dengan nilai bahan digunakan dan tahap kesukaran menyiapkan sesuatu karya itu. Peletakan sewenang-wenang harga kerja seni inilah yang diumpamakan sebagai satu pelacuran seni. Karya seni lukis yang dihasilkan dengan menggunakan bahan murah sewajarnya dinilai menurut harga dan ketahanan bahan itu. Lukisan yang boleh pudar dalam tempoh singkat, sewajarnya memiliki harga rendah. Karya seni seperti itu tidak boleh disamakan dengan karya seni yang mampu bertahan berabad-abad lamanya.

Harga karya seni 

Namun, harga juga ditentukan oleh pembeli. Sebab itu ada karya pelukis tempatan yang terjual puluhan ribu, malah mencecah sehingga RM90,000. Justeru, hasil seni yang mencapai nilai tinggi seperti itu meletakkan pengkarya di tempat yang sama tinggi dengan bidang lain. Dari sudut ekonomi, orang seni tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan profesion lain yang dipandang sebagai bidang utama penjana sumber yang tinggi. Dalam situasi tertentu, ada pula pihak yang memohon jasa baik terhadap bakat seni yang kita miliki. Umpamanya meminta penulis menghasilkan karya yang boleh mengangkat nama seseorang. Sebagai penghargaan, individu berkenaan sanggup memberikan imbuhan atau pangkat bagi mengungkapkan rasa terima kasih kepada penulis.

Dipandang dari sudut etika, moral dan kewajarannya, amalan itu termasuk dalam lingkungan konsep pelacuran seni. Justeru, penulis perlu tepuk dada tanya selera, adakah imbuhan atau pangkat sebegitu wajar diterima? Andaikan wajar, maka terima berserta keikhlasan hati orang yang memberinya. Sebaliknya, jika penulis berasa tidak wajar, maka penulis boleh menolak sagu hati itu atas sebab pemberian ganjaran seperti itu bukanlah matlamatnya untuk berkarya. Bagaimanapun, berdasarkan kerja penulisan yang dibuat, penulis kemudian menuntut pembayaran karya yang disiapkannya atau boleh jadi, ada pihak amat memerlukan ihsan penulis menyusun sesuatu karya berkaitan pihak yang memerlukan.

Pelacuran seni 


ANTARA hasil seni yang dipamerkan di pameran seni Tunas Ilham-16 di Galeri Seni UiTM Melaka, baru-baru ini.

Meskipun penulis tahu pihak berkenaan amat memerlukan sumbangan karangannya, namun penulis tetap meletakkan harga di luar kewajaran. Maka dalam keadaan seperti ini, pelacuran seni sudah berlaku. Jika dilihat dalam konteks seorang penyanyi menerima honorarium tinggi daripada lagu yang dirakamkannya atau persembahan yang ditampilkannya, maka wajar penyanyi menerima ganjaran yang tinggi disebabkan pihak penganjur memberi tawaran sedemikian.

Keduanya, bakat seni yang dicapai penyanyi berkenaan terbentuk melalui proses yang lama, sukar dan mencabar. Bukan mudah penyanyi berkenaan sampai ke tahap di mana dia berada. Maka, konteks itu dapat diambil kira sebagai wajar dan bukan pelacuran seni. Berbeza dengan penyanyi yang menghasilkan rakaman lagu dengan catatan 'hadiah istimewa buat peminat' tetapi rakaman lagu dalam bentuk CD itu dijual pada harga yang lebih tinggi. Konteks seperti ini boleh dikatakan sebagai cakap tak serupa bikin. Lain di bibir lain di hati.

Tidak ikhlas, tidak wajar dan mirip kepada pembohongan. Inilah yang kita ungkapkan sebagai satu lagi pelacuran seni. Wujud perdebatan yang sering menyatakan pelacuran seni berlaku kerana himpitan kehidupan. Keadaan itu bererti pengkarya menghadapi kekurangan sumber kewangan untuk membiayai keperluan hidup harian. Maka dengan itu, pengkarya berusaha mencari ruang untuk menghasilkan karya yang diperlukan orang tertentu.

Karya yang dihasilkan adalah berasaskan selera orang berkenaan dan penulis umpamanya, menyusun tulisan menurut selera orang berkaitan walaupun barangkali bertentangan dengan hati sanubarinya sendiri. Pelacur seni berbeza dengan pengkarya sejati. Pelacur seni menawarkan penghasilan karya kepada orang tertentu, menghasilkan karya yang menyeronokkan lalu meminta bayaran menurut kadar ditetapkan sendiri.

Bertentangan dengan pengkarya sejati yang menulis kerana misi kemanusiaan dan meningkatkan rasa estetika khalayak demi memperkaya ketamadunan. Imbuhan yang diperolehnya hanya dari sumber tetap (umpamanya gaji bulanan serta kedudukan di organisasi) atau bayaran berpatutan yang dikira wajar. Matlamat pengkarya kategori ini ialah membawa perubahan ke arah kebaikan bagi kehidupan manusia pada umumnya.

Karya perlu ikhlas, jujur 

Karya perlu lahir dari sanubari yang jujur dan ikhlas bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat. Karya yang jujur dapat menjentik pemikiran masyarakat dan diterima baik sehingga berabad lamanya. Kebanyakan karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee boleh diangkat sebagai satu karya jujur di mana setiap perincian mesej yang disampaikan sama ada menerusi skrip mahupun lagu, terus dari hati beliau kepada khalayak.

Dalam usaha memartabat dan melahirkan karya seni yang jujur dan ikhlas, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA Melaka menganjurkan pameran seni Tunas Ilham-16 di Galeri Seni UiTM Melaka, yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Dr Abdullah Mohammad Said, baru-baru ini. Justeru, pengkarya seni perlu menggalas tanggungjawab meningkatkan kualiti karya secara berterusan.

Tanggungjawab berkarya dengan jujur mampu memberi implikasi positif kepada masyarakat. Kehidupan tanpa seni sudah pasti tidak mengghairahkan, kering dan sama sekali tidak menarik. Seorang penulis tidak akan mampu menjadi pemimpin minda masyarakat jika tidak mengenal serta menghayati sisi indah dalam kehidupan.

Sebuah bangsa mengalami kehidupan yang kering dan kontang jika tidak mempunyai penulis yang berimaginasi untuk menghasilkan karya seni berkualiti.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/90741
0 Komentar untuk " Karya seni berkualiti jentik pemikiran masyarakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ