3 amalan bekalan penghuni syurga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

3 amalan bekalan penghuni syurga

Setiap Mukmin mempunyai impian untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT yang digambarkan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Allah telah menjanjikan kepada lelaki dan perempuan yang beriman dengan jannah (taman/syurga) yang mengalir sungai di bawahnya, kekal mereka di dalamnya dan (mendapat) tempat tinggal yang baik di dalam jannati (taman/syurga) 'Adni. Dan keredaan Allah itulah yang lebih besar, itulah kejayaan yang cemerlang." (Surah at-Taubah, ayat 72)

Menerusi program Tarbiah di IKIMfm jam 10.15 pagi, Ustazah Muzayyanah Abdullah memperincikan tiga amalan yang menjadi jambatan untuk seseorang Mukmin menjadi penghuni syurga Allah SWT yang amat indah seperti digambarkan itu. Pertama, membina hubungan yang akrab dengan Allah SWT melalui solat. Ibadah solat adalah amalan penting dan utama yang dihisab oleh Allah SWT pada saat tibanya hari perhitungan setiap amal baik serta buruk di akhirat nanti.

Amalan tak beri makna jika tak solat 

Jika amalan baik seperti sedekah, zakat serta berbuat baik sesama makhluk dilaksanakan, tetapi tidak solat, amalan itu tidak memberi makna kerana solat adalah tiang agama dan bagaimana amalan lain ingin berdiri jika tidak ada tiang tempat bersandar.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna seseorang itu perlu berhenti melakukan amalan kebaikan kerana Allah Maha Pengampun dan berkuasa untuk mengurniakan kefahaman ilmu serta hidayah-Nya yang boleh membuka hati seorang itu menunaikan solat apabila memahami kepentingan serta manfaatnya.

Sabda Rasulullah SAW: "Solat itu akan mencegah daripada sebarang perbuatan yang keji dan mungkar." Seseorang yang mendirikan solat dan faham suruhan itu pastinya mempunyai akhlak terpuji, malah mereka sentiasa memelihara akhlak setiap masa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Amalan kedua adalah mengamalkan sunah Rasulullah SAW sebagai jalan bagi seseorang Mukmin menuju seterusnya menjadi penghuni syurga Allah SWT. Amalan sunah ataupun berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah amalan sangat dituntut oleh Allah SWT.

Sesungguhnya bagi seseorang Mukmin ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, mestilah menurut sunah Rasulullah SAW. Ini bermakna, bagi seorang Mukmin yang menghidupkan sunah, menuruti seruan hadis Baginda akan mendapat keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna salam." (Surah al-Ahzab, ayat 56) Mukmin yang menghidupkan sunah Baginda pastinya mendapat keberkatan dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti.

Jaga hubungan kekeluargaan, jiran dan sahabat 

Muzayyanah berkata, amalan ketiga ialah membina silaturahim sesama manusia. Hubungan antara manusia dimulakan dari dalam rumah melalui hubungan kekeluargaan. Apabila seseorang Mukmin menjaga hubungan kekeluargaan, mereka akan menjaga hubungan dengan jiran, sahabat serta kawan kerana Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Indahnya Islam dan seruan Nabi Muhammad SAW terhadap Mukmin yang memelihara silaturahim diberikan khazanah kebaikan di dunia iaitu dipanjangkan usia serta dimurahkan rezeki. Ganjaran di akhirat pula, mereka yang menjaga hubungan sesama manusia ganjarannya adalah syurga.

Kehidupan Mukmin akan mendapat barakah dunia dan akhirat jika mentaati segala suruhan Allah SWT, menjauhi larangan-Nya dan mencintai sunah Rasulullah SAW.

Mukmin yang memahami tuntutan terhadap dirinya pasti akan memperbaiki diri untuk mencari reda Allah SWT. Berbekalkan amalan dan perbuatan mengikut landasan ajaran agama Islam, mudah-mudahan seorang Mukmin itu akan dipermudahkan laluan di titian sirat dan pada penghujungnya menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi. Penulis ialah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/87839
0 Komentar untuk " 3 amalan bekalan penghuni syurga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ