Antara Zeti, ringgit dan gaya hidup - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara Zeti, ringgit dan gaya hidup

Dalam kekalutan kejatuhan ringgit, ada pasar raya meletakkan papan tanda berbunyi: 'kami terpaksa menaikkan harga barang kerana ringgit'. Rakyat gelisah, gundah gulana dan bimbang kejatuhan teruk ringgit akan menyebabkan harga barang naik. Orang ramai berasakan situasi sekarang tidak seindah digambarkan oleh kerajaan.

Penurunan nilai mata ringgit melebihi paras RM4 berbanding dolar Amerika, merisaukan dan persoalan bermain dalam fikiran ialah berapa lama lagi ringgit kembali ke paras yang lebih selesa atau pendeknya, ke paras seperti sebelum ini - RM3.30-RM3.50. Apakah negara kita menuju krisis seperti dialami pada 1998? Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bagaimanapun menolak andaian kononnya kerajaan menggambarkan semuanya baik-baik saja tetapi mengakui situasi sekarang agak mencabar berikutan perkembangan yang berlaku pada peringkat global, selain China melaksanakan beberapa dasar untuk menyeimbangkan serta menstruktur semula ekonominya.

Malah, Zeti juga dalam pertemuan eksklusif bersama kumpulan akhbar The New Straits Times Press (NSTP) baru-baru ini, menolak kemungkinan kita menuju kepada krisis. Alasannya - sistem kewangan mantap, paras pertumbuhan dan rizab tinggi, paras pengangguran rendah, paras simpanan tinggi dan hutang luar yang secara relatifnya adalah rendah. Kita percaya dan yakin apa yang diperkatakan oleh Zeti adalah benar. Bagaimanapun, ada pihak tertentu memberi gambaran seolah-olah negara berdepan krisis ekonomi.

Hakikat yang perlu diterima ialah krisis ekonomi sekarang jauh bezanya dengan apa yang berlaku pada 1998. Ketika itu, krisis kewangan Asia tercetus dan orang yang menjadi suspek utama seperti didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad ialah spekulator mata wang, George Soros.

Pada 1998 itu, krisis ekonomi bukan berlaku di peringkat global, cuma berlegar di wilayah Asia Pasifik. Pada masa itu, pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara dan Pasifik tumbuh dengan cepat menyebabkan spekulator melihatnya sebagai kelemahan dan berkemungkinan akan tumbang, maka mereka mula melakukan spekulasi. Itu keadaan tahun 1997. Tetapi kali ini, krisis ekonomi bersifat global hingga ringgit jatuh teruk sebaik China menurunkan nilai yuan, sekali gus turut mengheret hampir semua mata wang di Asia.

Ini juga berlaku serentak dengan perkembangan tidak menentu berhubung dasar faedah di Amerika Syarikat serta kejatuhan harga minyak. Bukan saja ringgit, malah lebih 120 mata wang negara lain turut jatuh berbanding dolar Amerika. Jika diteliti, negara yang bergantung kepada minyak dan komoditi adalah yang paling teruk menerima hambatan itu dan kita di Malaysia pula, berdepan beberapa isu domestik yang menjejaskan sentimen serta keyakinan. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat biasa? Ingat pesan Zeti, rakyat perlu belajar cara untuk menyimpan dan berjimat, justeru merancang semula bagaimana untuk hidup dalam keadaan seperti sekarang, kurangkan pergi ke luar negara sama ada untuk melancong atau bagi tujuan pendidikan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/83416
0 Komentar untuk " Antara Zeti, ringgit dan gaya hidup "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ